Wednesday, July 2, 2008

Kejahatan itu dari Tuhan? (updated)

"Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada, mengapa banyak orang yang sakit? mengapa banyak anak yang terlantar? Jika Tuhan itu ada, tentu tidak ada sakit dan penderitaan. Tuhan apa yang mengizinkan semua itu terjadi???" [1]

Manusia tatkala ditimpa musibah atau masalah, lancar sekali mulut menyalahkan orang lain. Sikap angkuh warisan Iblis ini seringkali merancu fikiran mereka yang lemah imannya dan sangat sedikit pergantungan kepada Tuhan lantas sering mengkambinghitamkan Tuhan atas segala keburukan yang menimpa.

Kalau ada Tuhan, mengapa ada kejahatan? Kalau Tuhan itu baik, mengapa dunia ini tidak dihiasi dengan kebaikan semata? Mengapa masih ada sakit dan penderitaan?

Muslim apabila diajukan persoalan sebegini, acapkali cuba mengelak untuk memberi jawapan dengan alasan ia adalah was-was syaitan. Kaedahnya, 'beriman sajalah, jangan banyak soal'. Sekiranya iman umat Islam kini seperti Saidina Abu Bakar RA, maka tiada masalah dengan jawapan itu. Namun pada hemat saya, dalam keadaan kita kini diserang dari pelbagai sudut khususnya pemikiran, membiarkan persoalan tersebut terbengkalai tanpa jawapan yang memuaskan akal pastinya bakal mengundang padah.

Privatio Boni


Lima tahun lalu, masih lagi segar di ingatan saya bahawa saya pernah terbaca satu artikel di sebuah majalah sekolah tentang perdebatan antara seorang professor atheis dengan seorang pelajar Muslim, bertajuk "Why science fails to explain God" [2]. Artikel ini yang sudahpun diterjemahkan [3] membicarakan seputar persoalan wujudnya kejahatan kerana Tuhan yang mencipta kejahatan. Konklusinya, Tuhan adalah jahat.
"Let's start again, young fella." "Is God good?"

"Er... Yes."

"Is Satan good?"

"No."

"Where does Satan come from?" The student falters.

"From... God..."

"That's right. God made Satan, didn't he?" The elderly man runs his bony fingers through his thinning hair and turns to the smirking, student audience.


Dan berikut adalah argumen yang dilontarkan seorang pelajar Muslim sebagai membalas provokasi yang dibangkitkan oleh professor atheis.
The young man holds up a newspaper he takes from the desk of a neighbor who has been reading it.

"Here is one of the most disgusting tabloids this country hosts, professor. Is there such a thing as immorality?"

"Of course there is, now look..."

"Wrong again, sir. You see, immorality is merely the absence of morality. Is there such thing as injustice? No. Injustice is the absence of justice.Is there such a thing as evil?"

The Muslim pauses.

"Isn't evil the absence of good?"

The professor's face has turned an alarming color. He is so angry he is temporarily speechless.

Argumen ini adalah asalnya satu pendefinisian dari seorang ahli teologi kurun kelima, Augustine bahawa kejahatan adalah akibat tiadanya kebaikan [4]. Menurut pandangan ini, persepsi manusia sebenarnya adalah berasaskan perbandingan, seperti gelap dan terang.

Secara mudahnya, manusia melihat kegelapan bukan kerana ia adalah lawan kepada terang. Tapi kerana ketiadaan cahaya. Maka, kegelapan hanyalah ilusi manusia untuk menjelaskan keadaan yang tiada cahaya. Contoh ini yang disebut sebagai privatio boni secara umumnya dipersetujui untuk menjelaskan bahawa Tuhan hanya mencipta perkara yang baik. Kejahatan yang wujud hakikatnya tidak wujud kerana ia cuma ilusi manusia mentafsirkan suatu keadaan yang kurang atau tiada kebaikan.

Namun begitu, argumen ini secara keseluruhannya tidak dapat menyelesaikan permasalahan ini. Seseorang boleh mempersoalkan semula sekiranya Tuhan hanya mencipta kebaikan, mengapa pula Tuhan membiarkan wujud satu keadaan yang kurangnya unsur kebaikan. Mengapa Tuhan tidak saja memenuhi ruang-ruang di dunia ini dengan kebaikan sepenuhnya sehingga manusia tidak akan kenal apa itu kejahatan.

Falsafah Yin-yang

Dalam permasalahan ini, saya cenderung untuk bersetuju dengan falsafah Cina iaitu yin dan yang. Konsep ini mengetengahkan bahawa unsur yang berlawanan (positif/negatif, terang/gelap, baik/jahat) adalah satu kemestian dalam Hukum Alam (law of nature). Korelasi salingan antara fenomena yang berlawanan ini akan mewujudkan unity of opposites, iaitu keadaan yang mana kewujudan satu perkara itu bergantung kepada sekurang-kurangnya dua kondisi yang berlawanan antara satu sama lain.

Secara matematik, unity of opposites dapat dirumuskan seperti 2 = -2. Namun secara realitinya perkara ini tidak mungkin wujud kerana sekiranya kedua-dua lawan tersebut berada dalam keseimbangan, hal ini menyebabkan satu situasi kedua-dua lawan akan membatalkan satu sama lain (stasis). Contoh mudah boleh didapati dalam interferens pemusnah (destructive interference).

Kritik terhadap konsep 'kejahatan sebagai kemestian kepada kebaikan' walau bagaimanapun mengatakan bahawa konsep dualism ini perlu mampu menjelaskan dalam spektrum tanpa batasan dengan sifar sebagai titik keseimbangan. Penyejukan dan pemanasan sebagai contoh adalah saling berlawanan. Akan tetapi, penyejukan hanya mampu mencapai suhu sehingga sifat mutlak sahaja (-273 C) sebaliknya pemanasan boleh memberikan suhu yang infiniti. Nilai negatif yang terbatas dan positif yang infiniti tidak akan mencapai apa yang dinamakan titik keseimbangan kerana satu nilai akan sentiasa melebihi nilai yang lain.

Justeru, mentafsirkan kebaikan dan kejahatan melalui konsep yin-yang juga tidak dapat menjelaskan sebaiknya permasalahan sama ada kejahatan itu ciptaan Tuhan. Walau bagaimanapun, menurut pandangan saya masalah ini dapat dirungkaikan sekiranya kita mengambil kira falsafah Ex nihilo yang akan saya jelaskan selepas ini.

Daripada Tiada Kepada Ada

Ex nihilo adalah istilah Latin yang bermaksud 'daripada tiada kepada ada'. Konsep ex nihilo seringkali digunakan dalam menjelaskan penciptaan alam semesta ini daripada keadaan tiada kepada ada. Falsafah yin-yang sekiranya difahami secara songsang akan memberikan kita kefahaman bahawa alam ini hakikatnya adalah tiada. Dengan asal ketiadaan itu barulah wujudnya ada, 0 = x + (-x).

Wujudnya alam ini pada hakikatnya adalah satu ilusi sebagaimana nilai sifar menghasilkan +x dan -x yang sebetulnya cuma ilusi dalam fikiran kita. Begitu juga hakikat alam ini yang lahir daripada keadaan tiada kepada ada adalah sekadar ilusi kerana sebenarnya alam tidak wujud. Wujud cuma perkataan manusia bagi menghuraikan ilusi. Sebagai contoh, anda melihat sebatang pokok, tetapi sebenarnya tidak wujud apa yang dinamakan pokok sebaliknya yang wujud hanyalah imej di dalam otak. Perkara ini dibincangkan secara panjang lebar oleh Harun Yahya dalam 'Matter the Other Name for Illusion' dan 'Knowing the Truth'.

Mengambil kira semua premis-premis di atas, secara logiknya

1 Fenomena yang berlawanan adalah satu kemestian dalam hukum alam untuk mewujudkan keseimbangan
2 Titik keseimbangan (0) adalah mustahil secara realiti dan cuma wujud secara ilusi
3 Alam semesta lahir dari keadaan tiada kepada ada
4 Keadaan tiada adalah satu titik keseimbangan
5 Alam sentiasa berada dalam keseimbangan dan keseimbangan (ilusi) tersebut ditafsirkan manusia sebagai penciptaan alam semesta ini
6 Kebaikan dan kejahatan tidak pernah wujud, yang wujud cuma ilusi

Secara mudahnya disimpulkan bahawa Tuhan tidak perlu membentuk kejahatan, kerana kejahatan itu terbentuk di dalam proses membentuk kebaikan. Dia menciptakan tiap sesuatu dengan kadar tertentu dan berpasangan. Pasangan yang paling asas yang perlu kita ketahui ialah adanya kebaikan dan kejahatan [5].

Walau bagaimanapun, argumen ini tetap tidak memberi jawapan kerana seseorang boleh mempersoalkan semula bahawa walaupun kejahatan itu satu ilusi dan kemestian, ia tetap dicipta dari Tuhan. Justeru adakah Tuhan itu baik atau jahat?

Ilusi Relatif

Melihat ibu atau bapa kucing membunuh anaknya sendiri [6], atau labah-labah betina memakan pasangannya sendiri [7], atau seekor buaya menerkam ganas seekor kijang yang leka menghirup air di sungai lantaran kehausan, apakah persepsi kita? Sekiranya kita mengatakan perbuatan itu kejam dan tak 'berperikemanusiaan', sangkaan tersebut sebenarnya meleset. Manusia gemar menghukum dengan berkadarkan relatif sendiri. Menghukum alam haiwan dengan relatif manusia, adakah logik dan adil?

Dulu kita digemparkan dengan satu berita seorang bapa yang mengurung anak perempuannya sendiri selama 24 tahun dan merogol sehingga melahirkan 7 anak [8]. Setelah dikurung begitu lama, Felix Fritzl, 5 apabila melihat bulan kali pertama lantas terpacul dari lidahnya, "Is that God up there?" [9]. Jelas di sini Felix menisbahkan bulan sebagai Tuhan dengan merelatifkan pengalaman beliau selama terkurung 5 tahun. Beliau tidak mengenal bulan tapi beliau mengenal Tuhan. Bagi Felix, Tuhan itu tinggi dan berada di langit, lantas beliau mengaitkan bulan yang tinggi dan berada di atas langit dengan Tuhan.

Pada zaman kanak-kanak, kita sering dimomokkan dengan kisah-kisah dongengan ala Mastika berkaitan hantu. Anak-anak kecil ditakut-takutkan dengan hantu tetek (dalam bahasa jawa, Kalong Wewe) yang mempunyai buah dada yang sangat besar dan suka makan kanak-kanak yang masih berkeliaran di luar pada waktu senja. Walaupun tujuannya baik (mungkin), tapi sebenarnya telah menanam satu memori yang buruk di dalam kotak pemikiran anak-anak. Pohon beringin (Ficus benjamina) yang tidak bersalah dikatakan tempat berpenunggu hanya kerana terdapat pokok langsuyar yang menumpang pada dahan dan disalahsangkakan sebagai langsuir. Sekiranya anak-anak sejak kecil diterapkan dengan pelajaran flora dan fauna, saya jamin tidak akan lagi timbul masalah takut untuk pergi kelas mengaji selepas maghrib.

Otak manusia sentiasa mahu mengukur sesuatu dengan relatif. Dalam permasalahan ini, manusia merelatifkan pengalaman sendiri dengan perbuatan Tuhan. Segala perbuatan Tuhan yang pada pandangan manusia adalah baik, kita menisbahkan bahawa Tuhan itu baik. Tapi mengapa pula apabila melihat perbuatan Tuhan yang pada relatif manusia adalah jahat, kita tidak menisbahkan Tuhan itu jahat? Atas sebab ini, saya menolak untuk bersetuju dengan pandangan yang mengatakan Tuhan itu baik kerana perbuatan-Nya yang baik kerana perbandingan sama ada perkara baik atau jahat pada pandangan manusia itu tidak sama sekali dapat dinisbahkan dengan Tuhan. Hal ini akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

Baik Seperti Malaikat

Terdapat satu perumpamaan dalam masyarakat Melayu yang berbunyi 'baik seperti malaikat'. Saya terfikir, adakah ini bermakna malaikat lebih baik berbanding Tuhan? Tidak. Justeru, Tuhan itu baik atau jahat? Jika anda bersetuju dengan Ex nihilo dan ilusi relatif, maka saya perlu mengatakan di sini bahawa Tuhan itu tidak baik dan tidak juga jahat.

Terkejut? Nanti dulu. Jika anda bersetuju bahawa segala fenomena jahat yang menimpa tidak boleh dinisbahkan kepada jahat-Nya Tuhan, maka anda sepatutnya bersetuju bahawa segala fenomena baik tidak boleh dinisbahkan kepada baik-Nya Tuhan.

Saya ingin bertanya, atas dasar apakah kita mengukur bahawa baik atau jahat Tuhan?

Thales [10] pernah berkata, "Avoid doing what you would blame others for doing."

"Treat others as you would like to be treated" adalah satu nilai moral yang fundamental dan diterima pakai secara umum baik di kalangan mereka yang beragama mahu pun atheist. Nilai moral ini disebut sebagai ethic of Reciprocty atau The Golden Rule. Namun ahli falsafah seperti Immanuel Kant, Friedrich Nietzsche, dan Bertrand Russell berbeza pandangan dalam menerima nilai moral ini terutama dalam aplikasi.[11]

Kant berpendapat bahawa The Golden Rule ini tidak mampu diaplikasikan dalam situasi yang berbeza. Beliau memberi contoh, seorang penjenayah yang telah disabit kesalahan oleh hakim mahkamah boleh mempergunakan The Golden Rule ini dengan alasan hakim tersebut sudah tentu tidak mahu orang lain menyumbat beliau ke dalam penjara, tapi mengapa pula hakim tersebut tidak rasa bersalah menghukum penjenayah tersebut dipenjarakan.

Manusia mempunyai persepsi yang berbeza antara satu sama lain. Nilai moral di suatu tempat yang dilihat sebagai buruk kadangkala ada yang dilihat sebagai baik di suatu tempat yang lain. Kayu ukur nilai baik dan jahat adalah sangat relatif kepada pengalaman seseorang manusia.

Justeru, sekiranya kayu ukur manusia akan nilai baik dan jahat itu berbeza-beza, maka apakah kayu ukur yang sesuai untuk menghukum Tuhan itu baik atau jahat?

Jawapan dan juga pandangan saya, Tuhan itu tidak baik dan tidak jahat.

Penutup

Selama hampir sebulan saya 'diganggu' permasalahan ini, saya sendiri masih belum menemui satu jawapan mutlak dan benar-benar memuaskan hati dan akal. Setakat ini saya berpandangan seperti di atas, namun saya yakin pandangan saya masih terdapat paradoks serta ruang perbahasan masih terbuka luas. Saya mengalu-alukan sebarang kritikan dan cadangan bernas dan tidak akan melayan sebarang pandangan yang emosional.

Sekiranya anda menyedari, saya tidak menggunakan walau satu pun ayat-ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat ini. Namun hal ini tidak bererti saya menolak perkataan yang agung itu. Saya mengaku kelemahan dan kecetekan ilmu dalam bidang tafsir dan bahasa Arab. Oleh itu, saya akan sedaya-upaya mengelakkan diri dari menggunakan ayat-ayat Al-Quran (juga dalam penulisan akan datang) supaya tidak menyimpang dari maksud sebenar sepertimana kesilapan yang telah saya lakukan dalam artikel-artikel lepas.

Saya tidak tahu adakah dengan memikirkan permasalahan ini termasuk dalam kategori berzikir dan mengingati Allah. Sekiranya tidak, saya memohon ampun kepada Allah atas perbuatan yang sia-sia ini dan untuk anda yang membaca, campaklah artikel ini ke dalam tong sampah kerana ia terhasil dari pemikiran yang lagho dan sia-sia.

Sekian.

Nota kaki:

1] Seorang tukang cukur, http://mujahidtibb.blogspot.com/2008/06/seorang-tukang-cukur.html
2] Why science fail to explain God, http://humanists.net/avijit/article/debate/eshomabesh/why_science_fails_to_explain_god.htm
3] Sains dan Islam, http://isuhangat.blogspot.com/2007/08/sains-dan-islam.html
4] Does Evil Exist, Philosophy of Religion
5] Jangan merasa tertekan, sharudin.com, Sharudin
6] Cats That Kill Kittens, messybeast.com, Sarah Hartwell
7] Suicidal spider lovers, ScottS-M
8] http://news.scotsman.com/latestnews/Daughter-39kept-in-cellar-for.4024895.jp
9] http://www.bbc.co.uk/blogs/magazinemonitor/2008/05/thursdays_quote_of_the_day_9.shtml
10] Seorang ahli falsafah Yunani (624 BC–546 BC)
11] The Golden Rule, Only a Game