Sunday, March 9, 2008

PRU - 12: Ulasan Umum Ust Zulkifli Ismail

Oleh:
Abdul Rauf Bin Baharuddin


Kuliah Dhuha

Pondok BaitulQurra Melaka

9 Mac 2008

Alhamdulillah, kita meneruskan kuliah dhuha seperti biasa sebaik sahaja selesai Pilihan Raya yang ke-12 dengan mendapat satu keputusan yang menggambarkan betapa beratnya perjuangan Islam pada masa yang akan datang. Kerana apabila kita diberi kepercayaan, maka untuk memelihara kemenangan itu lebih berat daripada untuk mendapatkannya. Barangkali kerana itulah, dengan rahmat Allah, Allah tidak memberikan kemenangan kepada Melaka. Kerana tanggungjawab untuk memelihara kemenangan itu, satu tanggungjawab yang sangat berat. Boleh jadi kita di Melaka belum mampu untuk menunaikannya. Adapun saudara-saudara kita yang ada di Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat yang lain, kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka untuk menjaga nama baik Islam dengan kerja yang lebih keras, amanah yang tinggi, dengan komitmen dan integriti, moral dan tanggungjawab, bersungguh-sungguh. Because at this time,it is not the party in the state, instead it is Islam in the state. Pada masa akan datang, bukan parti sahaja yang dalam bahaya, tapi Islam yang berada dalam bahaya. Kita tidak boleh menerima sebarang kelalaian pada masa yang akan datang. Sebab itu kemenangan ini satu tanggungjawab yang berat. Marilah sama-sama kita melalui kurniaan Tuhan ini, dan ujian Tuhan ini, dengan penuh kesedaran, keikhlasan, dan tanggungjawab. Tuhan menyebut di dalam al-Quran dalam Surah al-Anfal ayat 17:


Maksudnya : Kamu tidak membunuh mereka, tapi Allah yang membunuhnya. Bukanlah engkau (ya Muhammad) memanah, ketika engkau memanah itu, tetapi Allah-lah yang memanah. Supaya Allah mencubai orang-orang beriman dengan cubaan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Oleh itu, dalam kemenangan ini ada ujian yang besar iaitu untuk kita menjaga Islam dan masa depan perjuangan Islam di dalam negara kita. Adapun di Melaka, boleh jadi kita belum mampu menanggung ujian kemenangan. Boleh jadi kita boleh tanggung lagi ujian kekalahan. Oleh sebab itu, dalam kita mengharungi perjuangan bagi menegakkan Islam di negeri kita ini, hendaklah kita melipatgandakan usaha berdasarkan pengalaman nabi-nabi dan rasul, dan pengalaman saudara-saudara kita yang berjuang di negeri lain. Pengalaman itu yang disebut oleh Rasulullah SAW:

Maksudnya : Sesungguhnya bagi agama ini ada kemajuan dan kemunduran. Daripada tanda kemajuannya ialah apabila seluruh anggota kabilah mempelajari agama, dan dari tanda turunnya agama itu ialah apabila mempelajari agama itu hanyalah seorang dua lelaki sahaja. (Riwayat Thabarani)

Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita mengenai 'perang maklumat' atau 'pertembungan maklumat' yang menentukan kemenangan Islam. Di luar sana, orang-orang Islam mendapat pendedahan maklumat yang sangat tinggi kerana mereka mempunyai barisan ulamak yang sangat ramai yang menerangkan Islam kepada masayarakat. Maka menyebabkan mereka mempunyai kefahaman terhadap Islam dan pertimbangan yang baik apabila mereka diminta menilai antara golongan yang mendokong Islam dan yang menolak Islam. Parti kita di Melaka, keadaan dia berbeza. Maklumat yang diterima oleh rakyat sangat terbatas di dalam bidang agama, menyebabkan pengetahuan mereka tentang syurga dan neraka, halal dan haram terbatas. Apatah lagi yang berhubung tentang muamalat, yang berhubung tentang hukum hakam, kenegaraan, fiqhus siasah, fiqh kepimpinan politik. Hal ini bagi kita orang Melaka seolah-olah tidak pernah didengar oleh mereka. Oleh sebab itu maklumat sangat sedikit. Walaupun berlaku satu arus yang hebat dalam negara kita, tetapi orang Melayu tidak membantu. Undi yang meningkat tinggi ialah undi bangsa asing. Undi Melayu tidak membantu perjuangan Islam di Melaka sedangkan undi-undi Melayu di tempat lain membantu. 'Final countdown'nya adalah undi orang Islam. Undi orang Islam ini tidak boleh kita dapat melainkan maklumat tentang agama sampai.

Dalam keadaan negeri yang kekurangan ulamak, maka kita kena melipatgandakan usaha melahirkan seramai-ramai ulamak yang diperlukan, insya-Allah. Kita yakin, apabila ramai ulamak yang mukhlis dan bersedia untuk menanggung beban dakwah, maka insya-Allah, maklumat akan sampai kepada rakyat. Tiada kurangnya orang Melaka dengan orang-orang di negeri lain. Cuma yang kurangnya ialah maklumat. Oleh sebab itu, apabila kita melihat keadaan ini kita dukacita dengan kedaan di negeri kita yang masih lagi belum berubah. Cuma, ini bukan kelemahan rakyat tapi kelemahan kita. Bukan kesalahan rakyat tapi kesalahan kita yang gagal untuk kita benar-benar berfungsi sebagai da'i yang mendekatkan rakyat kepada Islam dengan suatu kefahaman yang jelas dan betul. Oleh itu, tanggungjawab kita untuk memenangkan Islam pada masa yang akan datang perlu kita tunaikan sungguh-sungguh sekalipun agak ringan sedikit kerana di luar negeri sana, masyarakat telah ada kesedaran yang tinggi. Insya-Allah akan membantu Islam di negeri Melaka. Tapi walaubagaimanapun, bergantung kepada sejauh mana orang-orang Melayu di negeri Melaka ini mendapat kesedaran yang tinggi.

Tuan-tuan yang dirahmati oleh Allah.

Marilah sama-sama kita mendoakan supaya masyarakat dan rakyat di negeri Melaka ini diberi kesedaran oleh Allah Taala. Dalam suasana yang begini, saya nasihat janganlah kita melukakan perasaan yang ada di sebelah sana dari kalangan parti pemerintah kerana mereka orang jahil yang tidak tahu dan tidak mengerti. Maka tanggungjawab kita selepas diberikan kemenangan oleh Allah SWT di sebelah sana, kita kena melipatgandakan usaha dakwah dan bukannya mengambil sikap untuk kita merendah dan menjatuhkan mereka yang masih lagi menyokong parti pemerintah khususnya di dalam negeri kita. Dan itu adalah merupakan kehendak dakwah agar mereka faham, mengerti,dekat dan hampir dengan kita.

Jadi, alhamdulillah. Negara kita sudah berubah. Dan perubahan ini menjadi tempat pertimbangan Islam, kejayaannya pada masa akan datang berdasarkan sejauh mana kita menunaikan tanggungjawab kemenangan. Benda yang buruk akhirnya akan jatuh. Dia tetap akan jatuh. Benda yang rosak tetap akan jatuh. Tapi kita nak bila dia jatuh, dia tidak membawa kesan yang lebih buruk. Biarlah dia jatuh menjadi baja kepada tanah untuk menumbuhkan kemenangan perjuangan Islam. Jangan bila jatuh, akhirnya tanah menjadi rosak, tumbuh pun tak dapat. Maka ini kita minta jauh, nauzubillah min zalik. Jadi, sama-samalah kita bekerja bersungguh-sungguh selepas ini dengan cara yang betul.

No comments: