Monday, January 19, 2009

Konsep al-Tawfiq bayn al-Din wa al-Falsafah Ibn Rushd

Menulis sesuatu secara kasar dan tidak diperhalusi lagi bukanlah satu kerja yang boleh dikatakan kerja ilmiah tahap rendah sekalipun. Tetapi pepatah melayu mengatakan; tiada rotan, akar pun berguna lah. Justeru tulisan ini lebih berhasrat kepada membuka persoalan dan anggaplah ia sebagai satu lontaran awal.

Perbicaraan kali ini adalah mengenai konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah (konsep penyelarasan antara agama dan falsafah). Ia adalah keyword penting yang kita perlu fahami sebetul-betulnya untuk kita mengetahui letak duduknya ahli falsafah muslim dahulu mahupun kini. Tokoh falsafah muslim yang akan disentuh secara langsung di sini ialah Ibn Rushd.

Asas epistemologi yang akan mendasari perbincangan ini adalah yang berasaskan sumber-sumber di bawah ini :

1. Dr. Syed Ramadan al-Buti dalam karya agungnya itu ; Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah (Wujud al-Khaliq wa Wazifah al-Makhluq). Fragmen penting daripada kitab ini boleh dilihat dalam entri yang lalu di sini.

2. Islam dan Akal oleh Syeikhul Azhar Dr Abdul Halim Mahmud.

3. Usul 20 Imam Hassan al-Banna pada usul yang ke-19.

4. Ancaman Bahaya Sekularisme oleh al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail terutamanya pada bab Hakikat Kelemahan Akal.

5. al-Marja’iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa Sunnah oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi.


Apa itu al-Tawfiq Bayn al-Din wa al-Falsafah?


Al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah secara mudahnya ialah penyelarasan, penyatuan dan pengharmonian di antara agama dan falsafah. Ia telah menjadi gagasan pemikiran kepada ahli-ahli falsafah agama semenjak dahulu sehingga kini. Hal ini berkait rapat dengan proses interaksi budaya dan ilmu pengetahuan yang terjadi di antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun yang lain.


Ustaz Zulkifli Ismail menyentuh topik ini sebagai:


Penyelarasan antara agama dan falsafah atau naqal dan akal telah menjadi gagasan pemikiran kepada ahli-ahli falsafah agama semenjak dahulu sehinggalah ke zaman ini. Ahli-ahli falsafah itu bertolak dari kelemahan iman mereka terhadap kesempurnaan dan ketepatan nas-nas agama telah berusaha sedaya upaya menundukkan nas-nas agama kepada setiap penemuan-penemuan pemikiran falsafah sebagai jalan untuk mendamaikan agama dengan kesimpulan bersifat kufur yang dicapai oleh akal fikiran manusia. Melalui jalan ini ajaran falsafah telah meresap masuk ke dalam ajaran agama lalu mencorakkan ajaran agama dengan corakan falsafah.


Resapan ajaran-ajaran falsafah dan pemikiran manusia berhubung ketuhanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan alam fizikal ke dalam ajaran agama telah menghilangkan ketulenan ajaran agama, mewujudkan percanggahan di dalam ajaran ajaran agama, merosakkan kesempurnaannya dan seterusnya melemahkan pengaruhnya di dalam merubah dan memimpin hati manusia di dunia ini.


Kenapa Ibn Rushd?

Ibn Rushd, seorang ahli falsafah muslim merupakan tokoh klasik yang amat berpengaruh dalam gagasan ini. Usaha sintesis yang dibuat oleh beliau dalam mengharmonikan falsafah dan agama selepas falsafah disisihkan daripada umat khususnya selepas daripada kritikan al-Ghazali mewujudkan polemik hebat dalam tradisi keilmuan Islam yang masih dikaji sehingga kini.

Terdapat tiga kitab utama beliau yang membincangkan persoalan ini secara khususnya iaitu Fasl al-Maqal fi ma bayn al-Hikmah wa al-Sharicah min al-Ittisal, al-Kashf can Manahij al-Adillah dan Tahafut al- Tahafut.

Dalam konteks al-Tawfiq Ibn Rushd, beliau telah menetapkan keperluan takwil apabila berlakunya pertentangan antara rumusan daripada burhani (binaan hujah secara demonstratif seperti yang digunakan oleh ahli falsafah) dengan lafaz zahir syarak. Menurut beliau, sekiranya sesebuah pemerhatian burhani menghasilkan sebarang bentuk pengetahuan tentang sesuatu kewujudan, maka terdapat hanya dua kemungkinan yang akan timbul.

i. Sekiranya rumusan burhani tersebut merupakan sesuatu yang tidak disebutkan di dalam syarak, maka tidak ada pertentangan yang akan timbul

ii. Sekiranya syarak telah memperkatakannya, maka lafaz zahirnya sama ada bersesuai atau bertentangan dengan rumusan daripada burhani itu.

a) Sekiranya makna zahir ini bersesuaian dengan rumusan daripada burhani maka tiada masalah yang timbul

b) Sebaliknya, jika ia bertentangan, maka harus dicari takwil yang mungkin baginya (bagi lafaz zahir syarak itu)

Walau bagaimanapun, Ibn Rushd berpendapat bahawa hanya ahli falsafah yang menggunakan metode burhani dapat memberikan pentakwilan yang tepat. Beliau menolak pendapat para mutakalimun (baik Muctazilah mahupun Ashcariyyah), kelompok harfiah (Hashwiyah), pendukung-pendukung batiniyyah (iaitu Ismaciliyyah) dalam merumuskan ‘pentafsiran (pentakwilan) yang dapat dipercayai’ yang diperlukan oleh iman yang sejati. Menurutnya, sebahagian besar hujah atau interpretasi mereka adalah ‘inovasi-inovasi’ yang tidak mempunyai asas dalam sunnah. Dalam konteks ini, Ibn Rushd dilihat telah menobatkan ahli falsafah sebagai golongan yang paling memahami agama mengatasi golongan lain termasuk ulama kalam.

Sila lihat perkara ii (b).

Cuba bandingkan pula dengan kaedah yang dikemukakan oleh Imam Hassan al-Banna dalam Usul yang ke-19 dalam Arkan al-Baycah yang pertama iaitu al-Fahm. Kaedah itu berbunyi:

"Adakalanya penelitian syarak tidak meliputi penelitian akal dan demikian jualah sebaliknya.

  1. Namun, kedua-duanya tidak akan berselisih pada perkara yang qatci (pasti). Hakikat ilmiah [dalam apa-apa bidang ilmu perolehan sama ada dalam sains mahupun ilmu-ilmu humaniora] yang sahih tidak akan bercanggah dengan kaedah syarak yang thabit. [contoh dulu orang kata al-Quran tidak benar dalam bab matahari beredar. Sebab sains pada masa itu menemui kesimpulan bahawa bumi yang beredar mengililingi matahari. Kepercayaan lama bahawa matahari yang turun naik –mengelilingi bumi- sebab secara kasar begitulah yang kita dapat lihat. Tetapi setelah berlalunya masa, barulah saintis menemui kesimpulan bahawa matahari juga beredar pada orbitnya yang tersendiri. Dan bila semak semula ayat al-Quran tersebut, maka sahlah petunjuk nas dalam bab ini.]

  1. Dan setiap perkara zanni dari keduanya ditakwilkan agar sejajar dengan perkara qatci

    1. (maknanya kalau kaedah syarak zanni, iaitu iaitu dalam perkara yang zanniyyatul dilalah sedangkan kesimpulan dalam bidang ilmu tadi itu berasaskan epistemology dan metodologi yang menghasilkan kebenaran –maka kita peganglah kesimpulan ilmiah tersebut.

    1. Dan begitu juga sebaliknya sekiranya penelitian ilmiah bersifat zanni kerana metodenya yang menghasilkan ifadah yang zanni seperti dalam sosiologi kini, sedangkan dilalah di dalam nas bersifat qat’i –maka wajiblah kita berpegang kepada al-Quran. Contoh mudah kat sini ialah penggunaan kondom dan jarum dalam nak mengatasi HIV).

  1. Sekiranya keduanya adalah perkara zanni maka pandangan syariahlah yang lebih utama untuk diikuti sehinggalah pandangan akal itu thabit (kebenarannya) atau ia gugur dengan sendirinya."[apa-apa pandangan dan kesimpulan ilmiah yang masih belum mencapai ‘kebenaran hakiki’ mengikut metodologi yang memberi ifadah yang yakin yang serasi dengan tabiat subjek yang dikajinya perlulah di tawaquf dahulu dan tidak boleh dipegang. Dan pendapat syarak walaupun hanya bersifat zanni –tidak secara jelas menyatakannya- perlu dipegang. Contoh mudah tentang ini adalah pada perbahasan seputar evolution theory, creation theory dan id]

Kita nak mengucup tangan Imam Hassan al-Banna ke, atau tangan Ibn Rushd dalam bab ini? :)

Berkenaan perkara ini, Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Marja’iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa Sunnah menerangkan mengenai golongan ahli falsafah ini :

Para ahli falsafah al-Mashaiyyun (peripatetic) antara tumpuan mereka yang terbesar ialah menyelaraskan di antara ajaran falsafah yang mereka kagumi dan agama yang mereka warisi. Akan tetapi mereka menjadikan falsafah sebagai yang usul dan agama pula sebagai furuk. Dan mereka menganggap Aristotle itulah yang mereka membuat keputusan dengannya dan membuat sandaran kepadanya. Firman Allah subahanahu wa taala dan sabda Rasul-Nya sallallahu alayhi wassalam yang mulia pula yang dianggap sebagai pengikut kepada pendapat Aristotle itu. Sekiranya keduanya selari dengan pendapat Aristotle itu, maka adalah amat baik. Tetapi sekiranya tidak, maka wajiblah ditakwilkan makna keduanya sama ada takwil itu adalah hampir ataupun jauh dari makna sebenarnya.

Sheikh Abdul Halim Mahmud pula dalam konteks ini mengatakan bahawa:

al-Tawfiq (penyesuaian atau penyatuan) merupakan satu gagasan yang meletakkan dua pihak pada satu tempat yang sama dari sudut timbang tara, kemudian terheretlah salah satunya kepada yang lain atas nama pentakwilan, tafsiran, keterangan lanjut dan lain-lain lagi tanpa mengambil kira pengertian zahir sekiranya seandainya keadaan mendesak ke arah pemakaian makna yang halus dan sulit (batin) asalkan ia mempunyai kewajaran akal meskipun kadang-kadang ia bercanggah dengan kehendak bahasa, adat kebiasaan, tradisi dan fitrah manusia yang bersih dan waras. Penyesuaian juga bermaksud anda cuba menjadikan setiap pihak bertolak ansur mengorbankan beberapa aspek tertentu daripada prinsipnya supaya kedua-dua pihak boleh bertemu pada suatu titik pertemuan. Maka setiap pihak akan meringkaskan beberapa aspek tertentu untuk menyesuaikannya atau menjadikannya selari dengan tuntutan penyesuaian itu.

Di tempat yang lain, beliau rahimahumullah mengatakan:

Secara umumnya, ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi serta fakta-fakta sejarah banyak menunjukkan tentang Islam itu sebagai agama akal. Jika disoal apakah agama akal? Jawapan yang diberikan ialah, hukum-hukum aga­ma mestilah didasarkan kepada akal dan akal mestilah dijadikan penentu kepada pelbagai masalah, prinsip dan kaedah.

Jawapan seumpama ini kadang-kadang boleh membawa kepada penyelewengan yang akan berakhir dengan akal sebagai 'pemimpin' bukannya agama sebagaimana yang sepatutnya. Justeru itu berlakulah kesongsangan dan penyelewengan dari jalan yang lurus atau siratul mustaqim. Sebenarnya hubungan akal dengan agama hendaklah dilihat seperti berikut:

Agama datang sebagai pembawa hidayah kepada akal dalam beberapa masalah seperti berikut:

(a) Pada perkara-perkara di luar tabi'i iaitu persoalan­persoalan aqidah yang khusus mengenai Allah, Rasul, Hari Akhirat dan tentang ketuhanan yang ghaib (secara umum).

(b) Pada persoalan-persoalan akhlak iaitu berkaitan dengan kebaikan dan kelebihan (fadilat) yang perlu kepada seseorang untuk menjadi seorang Muslim yang salih.

(c) Pada persoalan-persoalan perundangan yang mampu memberi kedamaian kepada masyarakat.

Sesungguhnya agama datang membawa hidayah kepada akal dalam persoalan-persoalan tersebut kerana, penolakan agama akan membawa kepada kegagalan dalam memberi sebarang penyelesaian yang boleh diterima oleh semua. Maksudnya, jika dibiarkan kepada manusia dan akal untuk menyelesaikan persoalan tersebut, pasti mereka akan bertelagah kerana masing-masing menyokong pandangan yang bersimpang-siur, bercanggah dan berkrisis yang tiada penghujungnya. Oleh itu, perpaduan dan persefahaman serta ketenangan dan kedamaian tidak akan tercapai.

Justeru, percubaan Ibn Rushd (ataupun individu-individu yang menggunakan frameworknya ini dan menjelmakannya kembali di zaman ini) menyerasikan antara agama dan falsafah tidak boleh diterima dalam ketiga-tiga persoalan itu.

Inilah juga yang dikritik oleh Imam al-Ghazali di dalam Munqiz min al-Dholal ataupun di dalam Tahafut al-Falasifah ketika mengkritik al-Farabi dan Ibnu Sina. Pada zamannya, orientasi falsafah berkisar mengenai aspek metafizik. Falsafah sebagai hasil pemikiran manusia yang bersifat spekulatif belum dibezakan sains sebagai hasil pemikiran manusia yang berasaskan ujikaji dan pengamatan. Justeru, beliau secara berhati-hati memisahkan mantiq, matematik, geometri, ilmu tabii yang pada masa itu terangkum di dalam ilmu falsafah dan hanya mengkritik ahli falsafah ini dalam perkara-perkara metafizik, akhlak dan syariah. Sekiranya ada beliau mengkritik sains, ia hanyalah kritikan apabila sains (ketika itu falsafah) tidak menggunakan metodologi yang sepatutnya dalam mengkaji sesuatu subjek atau objek sehingga menyebabkan berlakunya kecelaruan epistemologi yang kronik.

Pada zaman ini juga, ulamak-ulamak tauhid terus menyambung jihad ilmu ini dalam memerincikan aspek-aspek epistemologi, ontologi, dan aksiologi dalam kita berinteraksi dengan sains sosial terutamanya dalam memahami gelagat dan tingkah laku di alam sosial mengikut perspektif yang lebih membetuli hakikat tauhid agar kita dapat menyesuaikan sesuatu kajian sosial bertepatan dengan metodologi dan epistemologi yang serasi dengan tabiatnya. Adalah menjadi kewajipan kepada umat untuk mendapatkan panduan daripada mereka tentang segala pengeliruan syubhat-syubhat pemikiran pada zaman ini.

Perspektif Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaaah perlu dirumuskan semula dalam bahasa falsafah moden kerana konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd yang meraikan pandangan Aristotle itu menjadi asas yang sama dengan pelataran kemunculan sains sosial seperti yang telah diasaskan dan dikembangkan oleh Auguste Comte serta tokoh-tokoh pemikir Barat lainnya. Justeru, bidang Usuluddin kini perlu mengalihkan perbahasan tauhid daripada musuhnya di zaman silam (seperti muktazilah) yang membincangkan falsafah ketuhanan kepada musuh baru tauhid abad ini iaitu sekularisme yang mengalihkan tumpuan falsafah kepada falsafah sosial.

Walau bagaimanapun, pengalaman-pengalaman silam perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam berinteraksi dengan khazanah keinteletualan barat ini dalam mana-mana bidang pun. Hal ini demikian kerana keperluan ‘kubu intelektual’ yang berpaksi daripada akidah itu sendiri boleh dipelajari melalui pengalaman ulama-ulama silam yang telah berhadapan dengan aliran-aliran bidaah yang dipengaruhi falsafah Yunani di zaman mereka. Dengan itu, barulah ‘pelantar yang kukuh dapat dibina’ untuk ‘belayar ke dalam’ khazanah keinteletualan barat yang kelihatan agam secara zahirnya itu (namun lemah dari sudut maknawinya) dalam kita membezakan pendirian dan pendekatan Islam daripadanya.


Selain itu, isu ini juga perlu dilanjutkan lagi dalam konteks perbahasan di dunia Islam iaitu perbincangan mengenai kesepaduan ilmu pengetahuan. Dalam penilaian semula pencapahan keceramukan pemikiran dalam kepelbagaian sekolah pemikiran yang wujud, kita perlu bertolak daripada premis ‘kegagalan dalam memahami serangan falsafah pusingan kedua’. Pengalaman Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah menangkis serangan falsafah ketuhanan di zaman silam perlu dimanfaatkan dalam usaha menapis khazanah keintelektualan Barat yang berasaskan falsafah sosial. Hal ini kerana Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah telah merumuskan prinsip-prinsip pemikiran dalam tiga aspek iaitu epistemologi, ontologi (world-view) dan aksiologi (sistem nilai). Justeru, sekiranya Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah tidak dirujuk dalam ketiga-tiga aspek tersebut, dikhuatiri sebarang idea mengenai gagasan ini akan ‘terperangkap’ dengan idea ahli falsafah ataupun muktazilah yang bersesuaian dengan sekularisme.

Alhamdulillah..

Kita beruntung kerana masih lagi dapat mengucup tangan ulamak-ulamak rabbani yang dapat memberikan pemahaman yang sebaiknya tentang hal ini. Umat sangat-sangat perlu bergantung kepada warasah al-anbia ini dalam menangkis serangan-serangan pemikiran sekaligus bertindak merumuskan konsep-konsep pemikiran Islam melalui epistemologi dan metodologinya yang tersendiri lagi muktabar.

Konsep Ibn Rushd tersebut tidaklah se‘simple’ ini. Di sana ada aspek-aspek lain yang berkaitan seperti pemaknaan nas menurut tahap kemampuan akal manusia, adanya makna lahiriah dan batiniah dalam syarak, pentahapan potensi manusia dalam memahami lafaz-lafaz syarak, prinsip-prinsip keagamaan yang disepakati dan diperselisihkan, dan metodologi al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd ini yang berasaskan takwil serta implikasi mengabaikan penggunaannya. Terdapat banyak lagi dimensi menarik yang boleh diteroka dalam pengkajian mengenai konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd ini. Tujuan artikel ini hanyalah satu lontaran awal supaya konsep ini diteliti dan diawasi dengan baiknya.■


8 comments:

Anonymous said...

1. Selamat sejahtera ke atas semua (SSAS). Lama tak mengunjungi blog yang berharga ini. Terutama bila difikirkan penulis-penulisnya bekerja keras cuba memahami isu-isu penserasian antara percaya dan bukti. Maaf kalau saya terlalu banyak memelayukan terma Arab yang sudah pasti selalunya membawa jangkauan yang berbeza. Itu juga termasuk dalam proses penserasian, jangkauan terma Arab dan jangkau terma Melayu. Saya berdasarkan kepada fakta bahawa kita perlu mengutamakan pengislaman daripada terus berligar pada isu pengaraban pegangan akidah, walaupun tidak dinafikan 'budaya jiwa bangsa' atau diterjemahkan di satu sudut, Agama Islam itu pesat berkembang ketika berada di Budaya Arab. Jadi tak kira akar ataupun rotan, yang penting Allah tidak berbangsa Arab, jauh sekali berbangsa Melayu. Maka saya setuju, pembukaan awal, "Justeru tulisan ini lebih berhasrat kepada membuka persoalan dan anggaplah ia sebagai satu lontaran awal."

2. 'Ala fi kull li hal. "Penyelarasan antara agama dan falsafah atau naqal dan akal telah menjadi gagasan pemikiran kepada ahli-ahli falsafah agama semenjak dahulu sehinggalah ke zaman ini." Ilmu berkembang, bukan kerana Carakerja Allah berubah, tetapi kerana akal atau minda manusia masih terus berkembang dan berevolusi. "Tidak sekali-kali engkau dapat Sunatullah itu berubah", tidak seperti Syariah Allah untuk menusia, yang telah berubah mengikut kesesuaian tempat dan masa. Empat Kitab dan tiga suhuf, yang merangkumi Syariat bebeza, telah diturunkan kepada manusia sepanjang zaman bagi menerangkan satu objektif utama, iaitu Tauhid atau Keesaan Allah. Ketujuh-tujuhnya berbeza bahasa untuk kaum yang berbeza. Dengan penurunan Al Quran, sebagai penutup Kitab, semua yang terdahulu dirangkum di dalamnya. Al Quran pula yang jelas kandungannya, terdiri dari peringatan berbentuk Mahkamat disamping peringatan berbentuk Mutasyabihat. Kandungan utamanya tidak berubah dalam pekara dasar mentauhidkan Allah dan menerangkan tidak berubahnya Sunnah Allah.

3. Falsafah berkembang dengan minda manusia. Dari membaca AQ, manusia yang disaran berfikir, terus mencari perincian tentang tanda-tanda yang dikemukakan di dalam AQ. Akhirnya mereka yang berfikir ini menjadi Ulil Al Baab, iaitu menghubung-kaitkan bahawa segala kejadian-kejadian dan pekara-perkara yang berlaku, tidak lain dan tidak bukan, adalah merupakan tanda-tanda kehadiran kekuasaan dan tenagaNya, yang ditajjalikan di Alam ini. Jangan sekali-kali difikirkan tentang hakikat ZatNya, kerana akal tidak mempunyai kekuatan untuk melakukannya sebagaimana saranan dari AQ, tetapi kehadiran bekas kewujudan ZatNya sangat sesuai untuk difikirkan manusia. Tidak lain dan tidak bukan itulah tujuannya akal diberikan kepada manusia, agar dapat memikirkan tentang kehadiranNya, dalam bentuk tenagaNya di Alam ini. Zat Allah tidak berada di dalam Alam ini, kerana segala yang ada di alam ini adalah merupakan mahluk. Tetapi ketahuilah tanda-tanda kewujudan ZatNya dapat dirasai dan cerap oleh manusia melalui segala apa yang berlaku di Alam ini.

4. Dengan berkembangnya akal manusia, falsafah yang tadinya hanya berdasarakan kepada pengalaman semata-mata, difikirkan perlu pembaharuan, dan akhirnya timul apa yang kita namakan Ilmu Sains, secara umumnya. Ilmu sain adalah tidak lain dari berasaskan falsafah dengan perbezaan bahawa segala apa yang dikemukakan sebagai dari sumber falsafah (yang asalnya pengilhamannya adalah bersumberkan Kitab-kitab Allah) menjadi hanya diterima, sekiranya ada pembuktian secara empirikal. Doktrin ini yang menjadikan ilmu sains itu sebagai alat yang terbukti baik untuk dijadiakn sebagai ilmu alat bagi mengenepikan kelemahan manusia dengan hanya berfalsafah. Bukan kita hendak mengenepikan kepentingan falsafah, tetapi perkembangan asal falsafah dulu, kepada falsafah modern (Ilmu Sains), menjadikan kepentingan menyelarasakan permikiran dan kepercayaan hanya selepas adanya pembuktian. Ia tidak menolak kepentingan kehadiran AQ sebagai Kitab Panduan asas. Ulul Al Baab, menggunakan pintu AQ untuk keluar mencari perincian kepada apa sahaja tanda-tanda awal (tanpa perincian) yang disebutkan di dalam AQ.

5. Jangan dipertikai persoalan bahawa apa yang disebutkan AQ sebagai qat'i (pasti). Yang perlu diingatkan ialah yang pasti itu di dalam bentuk tanda-tanda (signs), bukan dalam bentuk ilmu sains (terperinci). Kalau AQ terpaksa membawakan ilmu sains, maka penurunannya akan mengambil masa yang sangat lama, dan yang paling penting, adakah kehadiran minda mansuia ketiaka itu sedia menerimanya?

"[contoh dulu orang kata al-Quran tidak benar dalam bab matahari beredar. Sebab sains pada masa itu menemui kesimpulan bahawa bumi yang beredar mengililingi matahari. Kepercayaan lama bahawa matahari yang turun naik –mengelilingi bumi- sebab secara kasar begitulah yang kita dapat lihat. Tetapi setelah berlalunya masa, barulah saintis menemui kesimpulan bahawa matahari juga beredar pada orbitnya yang tersendiri. Dan bila semak semula ayat al-Quran tersebut, maka sahlah petunjuk nas dalam bab ini.]"

Inilah yang membezakan falsafah dulu dan Ilmu Sains (falsafah modern). Pemikiran manusia dahulu (termasuk 'saintis'nya ketika itu) adalah berdasarkan kepada percaya semata-mata kerana kemajuan peralatan belum mengizinkan mereka membuat pembuktian.

6. Sekarang ini kekuatan akal manusia, sudah pasti sumer ilhamnya datang dari Allah juga, telah mengizinkan saintis sekarang mereka-cipta alat yang lebih canggih untuk menjadi alat menjalankan pembuktian. Maka sudah samapai masanya, displin Ilmu Sains itu diubah ke tahap yang lebih tinggi piyawaiannya. Segala yang tidak dapat dibukti dengan cara empirikal tidak dapat diterima sebagai ilmu sains (falsafah modern). Tiada sesuatu yang boleh berdasarkan kepada HANYA kepercayaan, ia mesti boleh dibuktikan, melainkan sesuatu yang disaran oleh Kitab Panduan sebagai bukan untuk difikirkan, iaitu kewujudan Zat Allah. Tetapi tidak bermakna, tanpa kajian terus kepada Zat Allah menjadikan kita tidak dapat membuktikan kewujudan Allah secara empirikal. Ilulah canggihnya ilmu sains, yang perlu diserasikan dengan pegangan kita.

rauf said...

Salam. Pak Din, lama tak dengar khabar.

Yup. saya setuju sahaja dengan kesimpulan Pak Din. Dalam sains tiada masalah apa-apa.

Cuma tiga perkara sahaja yang akal perlu tunduk kepada agama seperti yang telah dijelaskan oleh Syeikhul Azhar Abdul Halim Mahmud itu.

elok gak Pak Din dapatkan kalau belum ada. Ada terjemahan bahasa Melayunya oleh DBP dengan tajuk 'Islam dan Akal'

tamer said...

شركة تنظيف بالمدينة المنورة
شركة تنظيف خزانات بالمدينة المنورة
شركة عزل بالمدينة المنورة
شركة عزل اسطح بالمدينة المنورة
شركة عزل خزانات بالمدينة المنورة
شركة كشف تسربات المياه بالمدينة المنورة
شركة تسليك مجاري بالمدينة المنورة
شركة تمديد غاز مركزي بجدة

على محمد said...


شركة رش مبيدات بالدمام
شركة رش مبيدات بالقطيف
افضل شركة مكافحة حشرات بالخبر
افضل شركة مكافحة حشرات بالجبيل
افضل شركة مكافحة حشرات بالاحساء
افضل شركة مكافحة حشرات بالقطيف

Shaimaa Elsadek said...

شركة تمديد شبكات الرى بمكة
تكريب وتنظيف وتلقيح النخيل بمكة
شركة تصميم شلالات بمكة
شركة تركيب وتوريد عشب صناعي بمكة

Mai said...

المغربي
تركيب صخور حجرية بدبى
فنى تركيب حجر في دبى
خدمات دبي

menna said...

طريق العروبة
شركات صبغ فى العين

Mai said...

تلال
شركة تعقيم وتطهير بالعين
شركة تعقيم بالبخار في العين