Tuesday, September 30, 2008

Feminisme - MASHAREF


Di Malaysia, perdebatan isu pembentangan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 di Parlimen mengundang polemik hangat berikutan bantahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen serta Senator Wanita di Dewan Parlimen termasuk NGO wanita yang dikenali sebagai Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) terhadap beberapa peruntukan baru di dalam undang-undang tersebut yang dikatakan tidak adil terhadap wanita. Pada 11 Januari 2006, Kabinet telah mengambil keputusan untuk tidak mewartakan pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005 Wilayah Persekutuan tersebut.

Dari manakah asal-usul feminisme?

Apakah gagasan-gagasan utama gerakan emansipasi atau pembebasan wanita di barat serta imbasnya di dunia islam?

Bagaimana perspektif islam dalam menyingkapi hal ini?


Kebencian Lelaki Terhadap Wanita

Tidak dapat dinafikan bahawa gerakan feminis di barat adalah reaksi masyarakat terhadap situasi di sana, terutama yang berkaitan nasib kaum wanita. Salah satu penyebabnya adalah sikap memusuhi perempuan (misogyny) dan pelbagai anggapan buruk (stereotype) yang dilekatkan pada mereka. Semua itu bahkan telah meresap dalam nilai masyarakat, kebudayaan, hukum dan politik.

Kebencian tokoh-tokoh teologi kristian terhadap kaum wanita hampir-hampir tiada pengecualian pada sekitar awal abad pembentukan agama kristian. Tertullian (160-225), Paderi Gereja Afrika, memanggil wanita sebagai pintu gerbang syaitan (the devil’s gateway) dan tercatat ungkapan:

“Tidakkah engkau menyedari bahawa engkaulah si Hawa itu? Kutukan yang dijatuhkan Tuhan kepada kaum sejenismu akan terus memberatkan dunia. Kerana bersalah maka engkau mesti menanggung derita. Engkau adalah pintu masuknya syaitan.”

Dalam pandangan Origen (185-254) yang terkenal dengan kebenciannya terhadap kaum wanita, menyatakan bahawa wanita adalah jauh lebih hina daripada binatang. St. Gregory (329-389) mengungkapkan, “Kebengisan ialah naga dan gigitan ular berbisa; Tetapi wanita memiliki sifat kedua-duanya". Tokoh sesudahnya, St. Jerome (342-420) menganggap wanita adalah akar dari segala kejahatan (the root of all evils). St. John Chrysostom (347-407) pula berkata: “Tidak ada gunanya lelaki menikah. Perempuan itu tidak lain dan tidak lebih adalah lawan dari persahabatan, hukuman yang tidak terelakkan, kejahatan yang diperlukan, godaan semulajadi, musuh dalam selimut, gangguan yang menyenangkan, ketimpangan tabiat, yang di lukis dengan warna-warna indah.”

Selanjutnya, St. Augustine (354-450) bahkan mendakwa bahawa hubungan intim antara suami dan isteri sebagai perbuatan kotor dan harus dihindari. St. Albertus Magnus (1200-1280) menguatkan dengan kesimpulannya yang aneh: Perempuan adalah lelaki yang cacat sejak awalnya, serba kekurangan berbanding lelaki. Makhluk yang tidak pernah yakin pada diri sendiri dan cenderung melakukan pelbagai cara demi mencapai keinginannya, dengan berdusta den menipu ala iblis. Demikian pula St. Thomas Aquinas (1225-1274) yang menyamakan dengan anak-anak, secara fizikal dan mental. Baginya, wanita adalah produk dari pencemaran alam persekitaran (product of environmental pollution).

Maka wajarlah jika kemudian wanita di barat hanya dibatasi lingkup rumah tangga sahaja dan tidak dibenarkan masuk campur ‘urusan orang lelaki’

Gerakan Emansipasi


'Mimpi ngeri’ yang dialami oleh kaum wanita di barat telah melahirkan gerakan-gerakan emansipasi atau pembebasan wanita. Mary Wollstonecraft (1759-1797) dianggap sebagai nenek moyang kaum feminis. Menerusi tulisannya yang sangat terkenal, A Vindication of the Rights of Woman (di cetak pertama kali di London pada 1792), ia mengecam pelbagai bentuk diskriminasi terhadap perempuan, menuntut persamaan hak bagi perempuan baik dalam pendidikan mahupun politik. Perempuan harus dibolehkan bersekolah dan memberikan suaranya dalam pilihan raya umum (suffrage). Menurutnya, kelemahan yang disebabkan kaum wanita lebih disebabkan oleh faktor lingkungan. Lelaki pun kalau tidak berpendidikan dan diperlakukan seperti perempuan, akan bernasib sama, lemah dan tertinggal, jelasnya.

Pemikiran Wollstonecraft bergema ke seantero Eropah dan Amerika. Tercatat tokoh-tokoh semisal Clara Zetkin (1857-1933) di Jerman, Alexandra Kollontai (1873-1952) di Rusia dan Victoria Claflin Woodhull (1838-1927), wanita Amerika pertama yang mencalonkan diri sebagai Presiden pada 1872.

Antara yang dituntut oleh aktivis perempuan itu adalah hak dalam pendidikan dan politik, reformasi hukum dan undang-undang Negara supaya tidak merugikan perempuan. Di lingkungan kerja, mereka menuntut supaya perbezaan atas pertimbangan jenis kelamin (gender based differentiation) dihapuskan sama sekali. Agenda emansipasi berikutnya adalah bagaimana membebaskan kaum wanita dari cengkaman kaum lelaki, bahawa mereka hidup dalam dunia yang dikuasai lelaki (male-dominated world). Konon dengan cara ini perempuan dapat membebaskan diri dari segala bentuk penindasan, eksploitasi dan subordinasi.

Radikalisasi Feminis

Kaum feminis tidak pernah mengambil peduli penderitaan manusia yang mereka timbulkan. Lihat kenyataan Maggie Gallagher, “Amerika pada hari ini memiliki bangsa yang cukup ironis termasuklah golongan elit wanitanya yang begitu lantang dan komited memperjuangkan nama baik feminisme berbanding menjadi pekerja kebajikan atau suri rumahtangga.” Gerakan feminis di barat kelihatan mengalami stigmatisasi dan seperti meludah ke muka sendiri. Munculnya feminis-feminis radikal yang bersikap anti-lelaki, anti-tuhan, anti-agama, anti-intelektual, menghalalkan pengguguran anak, mengutuk sistem partriarki, mencemuh perkahwinan, merayakan lesbianisme dan revolusi seks, justeru menodai reputasi gerakan itu.

Bagi para feminis radikal, tinggal bersama suami di rumah sama sahaja dengan living with the enemy. Mereka juga mengklasifikasikan jantina menurut pemahaman mereka kepada lima iaitu lelaki, wanita, lesbian, gay dan biseksual.

Reaksi tajam terhadap radikalisasi feminis datang dari banyak pihak. Semaklah komentar Pat Robertson, mantan calon Presiden Amerika, “Para feminis itu kerjanya hanya mendidik wanita agar meninggalkan suami dan membunuh anak-anak mereka sendiri, mengamalkan perdukunan, menjadi lesbian dan menghancurkan kapitalisme.” Penulis terkenal, Susan Jane Gilman pun menyatakan kesan serupa, “Banyak kaum wanita hari ini, keluhnya, menganggap feminisme mengarut dan tidak jelas apa mahunya. Sementara kalangan yang lain menilainya sebagai elitis, akademik, ketinggalan zaman, keanak-anakan, dan tidak releven lagi.”

Diakui atau tidak, emansipasi wanita dibarat telah merosak sendi-sendi masyarakat dan menghancurkan nilai-nilai keluarga. Gerakan feminisme juga disalahkan kerana menyuburkan pergaulan sesama jenis, mengubah perempuan menjadi makhluk gila kerjaya, hidup dalam kesepian, balik ke rumah hanya memberi makan anjing dan kucing.

Banyaknya wanita yang mencegah kehamilan dan menggugurkan kandungan akan memberikan dampak yang buruk. Negara-negara maju seperti Sweden, Jepun, Singapura, Jerman kini tengah berupaya mengatasi apa yang mereka sebut sebagai krisis demografik. (“This is the essence of the joint European family and population crisis of the 21st Century”)

Isu Gender di Dunia Islam

Di dunia islam, Mustafa Kamal Attartuk umpamanya telah menggubal undang-undang perkahwinan yang berdasarkan undang-undang barat pada 17 Februari 1926 dan menggalakkan wanita membuka aurat.

Namun ada juga yang menggunakan pendekatan secular-liberal iaitu Qasim Amin dalam dua buku controversial, Tahriru l- Mar’ah (Kairo, 1899) dan al-Mar’ah al-Jadidah (Kairo, 1900). ‘Bapa feminisme Arab’ ini menentang pemakaian purdah, menentang poligami, dan penceraian yang dianggap sebagai penghinaan terhadap wanita. Wanita islam mesti berpendidikan ala barat dan mesti dilepaskan dari kongkongan lelaki, adat resam dan tradisi.

Di Mesir, Dr Nawal El-Sadawy, seorang pakar perubatan telah menghasilkan sebuah buku yang menyeru wanita intelek supaya tidak mematuhi peraturan agama, seks dan politik yang mengongkong. Kemudian bangkit Huda Sya’rawi (1879-1947). Beliau adalah orang pertama yang membuka hijab di Kaherah dan menuntut persamaan gender dalam pendidikan dan hak politik. Gerakan beliau dinamakan sebagai gerakan pembangunan wanita. Selain itu, terdapat juga Fatima Mernissi dari Moroko (penulis sejumlah buku, antara lain: Beyond the Veil), Riffat Hasan dari Pakistan (pendiri International Network for the rights of Female Victims of Violence in Pakistan), Taslima Nasreen dari Bangladesh (penulis buku Amar Meyebela), Amina Wadud dari Amerika Syarikat yang sempat membuat heboh dengan menjadi khatib dan imam shalat jumaat di gereja beberapa waktu lalu dan banyak lagi.

Gerakan feminis radikal rupanya berpengaruh juga di Malaysia dan dijuarai oleh Zainah Anwar dari Sis-ters In Islam (SIS). SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka. Malah, kumpulan ini diberikan ruang yang luas untuk membentangkan citra pemikiran mereka melalui media massa.

Seperti yang kita ketahui, tidak ada satu ayat pun dalam Al-Quran yang menampakkan misogyny ataupun bias jantina. Semua ayat yang membicarakan tentang Adam dan pasangannya, sejak di syurga hingga turun ke bumi, selalu menekankan kedua belah pihak dengan menggunakan kata ganti nama untuk dua orang (dalam bahasa arabnya: huma atau kuma). Bukannya Adam dan Hawa yang disalahkan, melainkan syaitan yang dikatakan menggoda keduanya hingga memakan buah dari pohon khuldi. Kemudian, setelah berada di bumi, baik lelaki mahupun perempuan ditempatkan setara. Darjat mereka ditentukan bukan oleh jenis kelamin tetapi kadar iman dan amal soleh masing-masing (Ali-Imran: 195). Sebagai pasangan hidup, lelaki diibaratkan seperti pakaian bagi perempuan, dan begitu pula sebaliknya (al-Baqarah: 187). Namun, dalam kehidupan rumahtangga, masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan tanggungjawab berbeza, seperti kebiasaan hubungan antara manusia (al-Baqarah:228). Adapun pada skala yang lebih luas, dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara, lelaki dan wanita dituntut untuk melibatkan diri secara aktif, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar (al-Ahzab: 35). Nabi Muhammad Saw. juga mengingatkan bahawa sesungguhnya perempuan itu setara dengan lelaki (an-nisa’ syaqa’iqu r-rijal), menurut sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa’i.

Oleh kerana itu, apabila dikalangan Muslim pada kenyataannya masih selalu dijumpai diskriminasi terhadap perempuan, yang mesti diperbaiki adalah masyarakatnya dan bukan agamanya. Berdasarkan hasil sebuah tinjauan, walaupun undang-undang persamaan gaji (Equal Pay Act 1970) di Inggeris sudah berusia 30 tahun lebih, wanita yang bekerja sepenuh waktu digaji 18% lebih rendah dari pekerja lelaki. Sementara mereka yang bekerja separuh waktu menerima gaji 39% lebih rendah berbanding lelaki. Begitu juga di Amerika, pendapatan kaum wanita purata 25% lebih rendah dibanding lelaki. Penelitian lain menemukan bahawa purata dalam tiap 10 detik di Inggeris telah terjadi tindak kekerasan terhadap wanita, berupa pemukulan, pemerkosaan, atau pembunuhan. Ini belum termasuk tindak pelecehan seksual dan sebagaiya.

Sebagai mengakhiri bahasan ini, ada baiknya kita semak laporan sebuah majalah hukum di Perancis “LA VIE JURIDIQUE DES POLYPES”, menyatakan: “Dalam hukum islam, hak-hak kaum wanita jauh lebih luas daripada hak-hak kaum wanita dalam konsep hukum sekarang".■

Oleh: *Aizatnur
Salam Aidilfitfi Minal Idin Wal Faidzin

Saturday, September 27, 2008

Kebetulan yang berulang-ulang?

Gambar ihsan: Nature.com


Dipetik dari bab 9 : Falsafah sains dalam konteks kurikulum sains negara
buku Falsafah Sains pendekatan kualitatif
oleh Prof Mat Rofa.
muka surat 137-141.

Persoalan pertama dalam pemikiran falsafah ialah “Adakah Tuhan wujud?” Dua jawapan yang diberikan,seperti yang dijangkakan.Jawapan pertama dinyatakan dengan penuh yakin bahawa hanya orang yan tidak waras mengetakan Tuhan tidak wujud.Tuhan pasti wujud,dan kewujudan Tuhan sangat jelas bagi orang yang berakal.Golongan ini mewakili hamper keseluruhan ahli falsafah silam sejak zaman Yunani,Islam dan Barat hingga pertengahan kurun ke-19.Jawapan kedua menyatakan Tuhan tidak wujud dan ala mini terjadi dengan sendirinya.Golongan ini dijuarai oleh Charles Darwin menerusi teori evolusisme yang secara umum mewarnai dunia sains barat selepas era tersebut. Pandangan seperti ini sebenarnya bukan pandangan yang baharu tetapi berakar umbi sejak zaman Aristote. Pada masa itu,wujud golongan ateis yang dikenali sebagai golongan sofis.

Golongan manakah yang waras,dan golongan yang manakah yang tidak waras? Kita akan menghayati dialog antara dua golongan tersebut,yang pernah dicatatkan dalam sejarah pemikiran logic silam dan masa kini.

Dialog pertama 1 (antara professor biologi dengan siswa di dalam sebuah bilik kuliah di Eropah).
Profesor : Siapakah yang pernah melihat Tuhan? Tentulah tiada siapa yang pernah
melihatnya, maka Tuhan tidak wujud.
Pelajar : Siapakah yang pernah melihat akal Profesor? Tentulah tiada siapa yang
pernah melihatnya, maka Profesor tidak berakal.

Dialog kedua 2 (antara ahli falsafah dengan seoran sufastah atau sofis)
Sufastah : Adakah tuan percaya Tuhan wujud?
Ahli falsafah : Memang semua orang percaya demikian.
Sufastah : Saya tidak percaya Tuhan wujud.
Ahli falsafah : Jika demikian, siapakah yang yang mencipta manusia?
Sufastah : Sudah pasti ibu bapanya!
Ahli falsafah : Jika benar demikian,kenapakah ibu bapa tidak mendapat sifat anak
yang mereka impikan? Mereka berharap untuk mendapat anak lelaki,tetapi yang dilahirkan ialah anak perempuan.Mereka berharap untuk mendapat anak yang comel,tetapi dilahirkan ialah bayi yang hodoh. Mereka berharap mendapat bayi yang cerdik,tetapi dilahirkan ialah anak yang bodoh.Andainya benar mereka pencipta anak mereka, pasti mengikut cita rasa mereka sendiri.Oleh itu,ibu bapa bukan pencipta anak mereka.

Dialog ketiga 3 (antara kiyai Indonesia dengan pelajar sebuah universitas)
Pelajar : Adakah bapa masih percaya pada alam ghaib,seperti kewujudan Tuhan?
Kiyai : Sebagai orang Islam,saya wajib percaya pada Tuhan yang mencipta diri
Saya dan ibu bapa saya.
Pelajar : Tahukah bapa bahawa alam ini terjadi daripada proses evolusi tanpa
Pencipta seperti yang bapa sebutkan itu? Hidupan bermula daripada sel
Yang ringkas seperti ameba,berevolusi dalam tempoh jutaan tahun, membentuk hidupan dan tumbuh-tumbuhan;berevolusi lagi dalam tempoh jutaan tahun, lalu membentuk binatang darat,reptilian,amphibia dan Mamalia. Akhirnya,sepsis manusia terbentuk dalam peristiwa evolusi yang sangat panjang.
Kiyai : Dari manakah teori evolusi bermula? Siapakah yang memulakan teori demikian?
Plejar : Tokoh itu adalah Charles Darwin,saintis agung kurun ke-19,berdasarkan fakta saintifik yang diperkukuhkan oleh kajian saintifik saintis lain kemudianya.Seluruh dunia menerima paradigmasains kurun ke-19.Semua teks sains hayat memuatkan fakta ini, termasuk teks yang saya dan rakan-rakan saya gunakan di universitas. Hanya orang kolot yang menafikannya.
Kiyai : Ohh begitu,tetapi saya ada sedikit kemusykilan.Berapa lamakah masa daripada sel pertama untuk menjadi seekor ayam,misalnya?
Pelajar :Jutaan tahun tentunya.
Kiyai :Ayam jantan atau ayam betina yang terjadi lebih dahulu?
Pelajar : Mungkin ayam betina.
Kiyai : Kenapa ayam betina?
Pelajar : Supaya ayam lain bleh dibiakkan.
Kiyai : Bolehkah ayam betina bertelur tanpa ayam jantan?
Pelajar : Tentu tidak.
Kiyai : Bilakah pula ayam jantan terjadi,bermula daripada ameba?
Pelajar : Jutaan tahun pula.
Kiyai : Katakan ayam betina terjadi dahulu.Tentu ayam betina itu mati dahulu
sebelum ayam jantan tercipta. Bolehkah seekor ayam hidup jutaan tahun?
Pelajar : Kalau begitu,tentulah ayam jantan dan ayam betina terjadi serentak.
Kiyai : Jika benar demikian tentulah sel ameba itu mempunyai kuasa intelek yang
sungguh hebat. sel ringkas itu mampu membuat program canggih supaya
akhirnya dirinya menjadi seekor ayam jantan atau ayam betina.Untuk
membenarkan hipotesis itu terlalu banyak kebetulan yang perlu berlaku.
jutaan kemungkinan pula perlu berlaku,malah jutaan kebetulan perlu
Berlaku secara tertib dan tersusun rapi.
Pelajar : Kenapa pula?
Kiyai : Anakku yang dikasihi,
kebetulan pertama,di sana perlu ada dua sel ameba di dalam takungan air yang sama.
kebetulan kedua,kedua-dua ameba harus bersepakat supaya akhirnya selepas jutaan tahun mereka berdua akan menjadi ayam jantan dan satu lagi menjadi ayam betina,bukan menjadi tikus atau lembu.
kebetulan ketiga,faktor masa kewujudan haruslah diselaraskan supaya jarak masa terciptanya ayam jantan tidak jauh ketinggalan dari masa terciptanya ayam betina,jika tidak,ayam-ayam itu tidak sempat membiak
seperti yang ada pada hari ini.
kebetulan keempat,mesti ada dua sel ringkas lain yang harus berevolusi supaya sebaik sahaja ayam tercipta,ia akan berevolusi supaya sebaik sahaja ayam tercipta,ia akan menjadi sepohon padi.Jika tiada makanan, ayam betina akan mati sebaik sahaja ia tercipta sebelum terciptanya ayam jantan.
kebetulan kelima, pohon padi pula harus muncul pada masa yang sesuai agar sebaik sahaja ayam betina wujud,makanan telah tersedia.
kebetulan keenam,selepas wujud ayam jantan dan ayam betina serentak, kedua-dua ayam haruslah bersepakat agar yang betina sahaja yang bertelur,dan tidak perlu berevolusi lagi sebab dua sel lain yang boleh, bersepakat seperti duhulu sangat susah hendak cari.
kebetulan ketujuh,telur haruslah memprogramkan dirinya supaya apabila ia dipanaskan oleh ayam betina,kuning telur akan bertukar lalu mengeluarkan bulu, mati, kepala, hati,jantung ,usus, kaki, sayap dan lain-lain
akhirnya,seekor anak ayam yang comel,berwarna putih kuning, muncul dari rekahan kulit telur itu.Kalau saya teruskan banyak lagi kebetulan, demi kebetulan yang harus berlaku secara berulang-ulang,teratur mengikut tertib?
ketahuilah wahai anakku bahawa kebetulan tidak boleh berlaku secara
tertib berkali-kali.Alam ini berjalan dengan tertib, berulang-ulang secara
berulang-ulang secara harmoni dan sistematik dalam masa jutaan tahun.
alam angkasa bersimpang-siur dengan planet,bintang dan galaksi yang
berputar laju,berjalan mengikut tertib masing-masing,tetapi tidak pernah
kemalangan atau pertembungan.Perjalanan matahari pula tidak pernah
terlewat walaupun sesaat.adakah peristiwa sebesar itu boleh
dijustifikasikan dengan alas an kebetulan? Peristiwa yang berlaku secara
tersusun semestinya ada penyusunnya.Kebetulan tidak boleh berlaku
secara teratur.Orang inggeris menagatakan chance cannot create order.
Pelajar : Bapa boleh bertutur bahasa inggeris ya?

******************************************************************
1 : Hujah dalam dialog pertama dikenali sebagai analogi,dalam mantik Aristotle.Dalam masyarakat Melayu,ia dinamakan tamsilan,bidalan atau memulangkan paku buah keras.Soalan yang bodoh jangan sesekali dijawab secara cerdik,tetapi memerlukan jawapan yang lebih bodoh dari soalanya.Oleh itu masej diharapkan segera difahami.

2 : Hujah dalam dialog ini dikenali sebagai pembutian secara percanggahan.Dalam tradisi Yunani,hujah ini dinamai reduction ad absourdum,dan digunakan untuk menafikan sesuatu usulan secara kontra-positif.

3 : Hujah ini merupakan gabungan kaedah aruhan dengan percanggahan.

Wednesday, September 17, 2008

Histeria Penyakit Psikiatri

Gambar ihsan: Wikipedia

KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya.

Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju.

Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju.

Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan.

Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian.

Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal.

Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar.

Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain.

“Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya.

Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah.

“Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat.

Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan.

“Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan.

Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali

Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini

28 Ogos 2008
KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.

8 Ogos 2008

KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi.

KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.

7 Ogos 2008

SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.

4 Ogos 2008

TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.

24 Julai 2008

KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari.

Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.

17 Julai 2008

NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.

19 Jun 2008

CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.

24 April 2008

TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.

14 April 2008

SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.

31 Januari 2008

DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

Sumber: Beria Harian Online

Tuesday, September 9, 2008

Penjenamaan Semula Blog


Setelah hampir 8 bulan bertapak di laman sesawang, kami merasakan sudah tiba masanya untuk blog ini melalui proses penjenamaan semula bagi menyusun dan mengemas kini beberapa perkara. Mendapat inspirasi dari Harun Yahya Science Research Foundation, blog ini sebenarnya bermula dengan usaha separa serius dan sekadar cuba-cuba menghasilkan penulisan ilmiah. Walau bagaimanapun, kami tidak menyangka bahawa penulisan separa matang di blog ini menerima banyak komen dan kritikan yang meransang kami untuk terus melontarkan idea serta memperbaiki penulisan kami yang masih terdapat seribu kekurangan. Justeru, atas sambutan yang agak menggalakkan ini kami merancang memberikan blog ini satu nafas baru ke arah penulisan ilmiah yang lebih professional dan akademik.

Sekiranya Harun Yahya melancarkan perang terhadap Darwinism dan materialisme dan menjadikannya sebagai agenda utama, manakala kami pula memilih agenda pengislaman falsafah sains menurut kaca mata ahli sunnah. Hal ini bertitik-tolak dari kuantiti intelektual muslim yang masih terlalu sedikit keterlibatan mereka dalam mengetengahkan agenda pengislaman sains lantas mengakibatkan sebilangan besar masyarakat Muslim masih memandang sinis terhadap sains dan falsafahnya. Demi merealisasikan agenda tersebut, kami menggariskan beberapa objektif kami dalam merealisasikan ini iaitu:
  • untuk mengembalikan semula tradisi sains dan falsafah yang tidak terpisah dari prinsip-prinsip Islam
  • untuk menggalakkan kajian sains dan penyelidikan dengan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai salah satu sumber idea dan inspirasi
  • untuk mengenali kerangka pemikiran para sarjana Islam ahli sunnah sama ada silam atau kontemporari dalam lapangan sains dan falsafah

Penjenaman semula ini juga termasuk memperbaharui akronim bagi blog ini dari MSH Research Foundation kepada MASHAREF yang kelihatan lebih komersial dan mudah diingati.

Tidaklah kami merasakan tugas ini mampu dipikul dalam jumlah kami yang sedikit ini. Justeru, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan sekiranya ada di kalangan para pembaca yang berminat dan bersungguh dalam penulisan ilmiah dan aktiviti idealisme, serta dapat konsisten dalam menghasilkan idea-idea baru dalam bentuk penulisan. Sekiranya berminat, segeralah emel ke bluetorch45[at]yahoo[dot]com supaya kami dapat menjemput anda sebagai penulis blog ini. Kami amat-amat memerlukan penyertaan dan komitmen dari anda.

Monday, September 8, 2008

Bengkel Pengislaman Ilmu (II)

Memandangkan kepada sambutan yang agak baik terhadap Bengkel Pengislaman Ilmu yang diadakan baru-baru ini di ATMA, UKM, pihak ASASI sekali lagi akan menganjurkan bengkel yang sama sebagai kelangsungan sirinya. Butiran Bengkel Pengislaman Ilmu (II) ini adalah seperti berikut:

Masa: 8:45pg-5:00ptg
Tarikh: 18 Oktober 2008
Tempat: Bilek al-Khawarizmi, INSPEM, UPM
Anjuran: Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
Sasaran: Mahasiswa, Tutor, Pensyarah Muda, dan mereka-mereka yang berminat
Had Penyertaan: 30 Peserta
PERCUMA

Untuk mereka yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan di sini.

Sebagai tambahan, walaupun Bengkel Pengislaman Ilmu (II) adalah salinan tema kepada penerusan yang sebelumnya, tetapi kertas kerja yang dibentangkan adalah berbeza. Dan dalam waktu terdekat, pihak ASASI akan menerbitkan aturcara bengkel serta peta ke lokasi bengkel untuk kemudahan para peserta. Harap para peserta yang telah mendaftar sentiasa dapat buat semakan di sini. Manakala kertas kerja pembentangan akan diedarkan seminggu lebih awal untuk rujukan awal para peserta.

Sebarang pertanyaan mengenai Bengkel Pengislaman Ilmu (II) dan tentang ASASI bolehlah dirujuk kepada: asasi@kesturi.net.

http://www.kesturi.net/2008/09/08/bengkel-pengislaman-ilmu-ii

2nd International Conference On Science And Technology 2008

Applications in Industry and Education

Dates : 12 - 13 December 2008
Place : Dewan Seminar Utama, UiTM Pulau Pinang
Organized by : JTMSK, UiTM Pulau Pinang
No.Tel : +604-3823566
No.Fax : +604-3822768
E-Mail : icstie08@ppinang.uitm.edu.my / icstie08@icstie.com
Website : www.icstie.com/index.html

ICSTIE 2008 UiTM Pulau Pinang is a good platform for researchers, instructors, scientists, engineers and students to exchange their ideas and intellectual view on related topics. In addition, this conference will expand their communication network in developing knowledge and new discovery using the method state-of-the-art technology. The conference also focuses on Northern Corridor Economic Region (NCER) with various science and technology input that contributes to the development of NCER.

Click here for more information.

Wednesday, September 3, 2008

Al-Quran dan Evolusi 3

Teori evolusi dapat diringkaskan dengan akronim VISTA, iaitu Variation (tiada dua organisma atau individu yang serupa), Inheritance (organisma mewariskan trait-trait genetik kepada keturunan), Selection (organisma yang bervariasi berpotensi untuk terus hidup dan membiak berbanding organisma yang tidak bervariasi di sesebuah persekitaran), Time dan Adaptation (dalam tempoh beberapa keturunan, trait yang mempunyai kelebihan dalam sesuatu persekitaran akan berhimpun di dalam satu organisma untuk penyesuaian).

Allah telah memberi klu kepada kita di dalam Al-Quran bahawa dalam penciptaan manusia, Dia telah menjadikan manusia melalui transformasi dalam tempoh yang tertentu.

وَلَقَدْ خَلَقْنَـكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَـكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لأَدَمَ فَسَجَدُواْ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam", maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (7:11)

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ثُمَّ bererti suatu tempoh yang panjang. Perkataan صَوَّرَّْ pula memberi maksud membentuk sesuatu. Hal ini selari dengan konsep evolusi yang memerlukan masa yang panjang dan berlaku perubahan bentuk dari satu generasi ke generasi yang lain. Allah juga menggunakan perkataan كُمْ yang sepatutnya ditujukan kepada sekumpulan manusia, untuk merujuk kepada Adam.

الَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ, فِى أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu. (Q 82: 7-8)

لَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَـنَ فِى أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (Q 95:4)

Perkataan تَقْوِيمٍ bermaksud menyusun sesuatu dengan sebaik-baik perancangan, menunjukkan penciptaan manusia melalui satu aturan yang sangat rapi dan terancang.

Sekadar artikel pendek. Wallahua'lam.