Wednesday, December 24, 2008

Kondomisasi Gagal di Amerika Syarikat


Kondom masih menularkan HIV/AIDS kerana virus itu boleh menembusi pori-pori kondom. Di Amerika Syarikat (AS) terjadi kegagalan program kondom untuk menghindari AIDS, kerana para pemakai kondom masih tertular AIDS. Akhirnya kondom tidak dikempenkan lagi di AS. Ironisnya, di negara kita justeru dipromosikan.

Penelitian atas lima jenama kondom, dilaporkan dalam British Journal of Medicine Julai 11, 1987, menunjukkan kadar kegagalan 26% berpunca dari pecah (rupture) atau rosak (spillage) dengan sendirinya. Dan dalam New England Journal of Medicine Mac 23, 1989 turut melaporkan, kadar kegagalan kondom dalam mencegah kehamilan pada wanita dibawah umur 25 tahun mencecah 10-30%

Menurut H Jafe dari Pusat Pengendalian Penyakit Amerika Syarikat atau United State Center of Diseases Control (US CDC) menyatakan, kondomisasi yang dijalankan sejak tahun 1982 terbukti gagal. Evaluasi pada tahun 1995 amat mengejutkan apabila angka kematian akibat AIDS menduduki tangga pertama, mengatasi penyakit jantung dan kanser di AS.

32 000 PINHOLES PER CONDOM

Kondom memiliki 32 000 cacat mikroskopik (pinholes) dan kebocoran 30%. Kondom memiliki pori-pori 1/16 mikron dalam keadaan tidak meregang, jika meregang pori-pori akan membesar. Sementara itu, ukuran virus HIV/AIDS 1/250 mikron. Jauh lebih kecil berbanding pori-pori kondom. Virus HIV mampu melaluinya semudah duit syiling sepuluh sen masuk ke jaring basketball. [Gambar adalah alat yang digunakan untuk mengenalpasti cacat mikroskopik pada kondom]

Kondom juga dinilai sebagai alat pencegah kehamilan yang tidak baik (mencatat kegagalan 15% pada penggunaan tahun pertama) dan tiada perlindungan terhadap chlamydia atau HPV (Human Papilloma Virus).

Kerana itu, pakar AIDS dari Harvard AIDS Institute, Amerika Syarikat, J Mann sejak 1995, tak lagi menganjurkan program kondomisasi. Rekomendasi ini diikuti para pakar lainnya dan pemerintah AS hingga sekarang.

NASIHAT DARI PEMIMPIN AGUNG DUNIA

Pada zaman Saidina Umar bin Khattab menjadi Amirul Mukminin, terjadi gempa besar di salah satu wilayah kekuasaannya yang sangat hebat dan luas sehingga mengorbankan banyak jiwa.

Umar mendatangi wilayah tersebut, bersua dan mengumpulkan para penduduknya. Kalimat yang pertama muncul dari bibir Umar bin Khattab bukanlah ucapan takziah. Dan bukan juga rasa simpati. Pernyataan pertama yang keluar dari Umar bin Khattab justeru ajakan untuk memuhasabah diri.

“Wahai semua dari kalian, apa yang telah kalian perbuat? Maksiat apa yang telah kalian lakukan, sehingga Allah menurunkan peringatan sedemikian rupa? Hingga Allah menurunkan musibah begini dahsyatnya?” Itulah ucapan Umar pada penduduknya.

Pernyataan serupa selayaknya kita tanyakan pada diri kita, pada seluruh penduduk dunia, para umara dan pemerintah kerajaan, kelalaian apa yang telah kita lakukan sehingga Allah Swt. mendatangkan virus serta pelbagai penyakit bertubi-tubi?

World Largest Condom- Apabila akal berada di atas landasan Wahyu?

Kerana itu, saya tersenyum dan gembira ketika mendengar seruan pimpinan Parti Islam Se-malaysia (PAS) supaya menguatkuasakan hukum Allah Swt. di Malaysia. La taqrabuzzina. Banteras perzinaan (seks bebas, perselingkuhan, penyimpangan psikoseksual lainnya). Saya setuju sekali. Sangat setuju.■

Oleh: Aizatnur @ Malaydentist

Rujukan:

[1] Are Condoms Foolproof,
[2] Dr Lo’Lo’ http://drlolo.wordpress.com/2006/06/18/30/
[3] Condoms and AIDS prevention,
[4] Medical News Today,
[5] Validation of a Corona Discharge Technique to Test Male Latex Condoms for Pinhole Defects
[6] World AIDS Day

Wednesday, December 10, 2008

Tongue piercing


“Bertindik sama seperti memakai aksesori seperti gelang atau rantai. Mengapa pandang hina kami yang bertindik? Ia sama saja dengan orang lain yang pakai gelang hingga ke siku,” – Lisa Adina, Harian Metro

Tongue piercing adalah body piercing melalui mulut yang biasanya dilakukan melalui bahagian tengah mulut.

Walaupun ia sudah berabad lamanya, budaya tongue piercing kini sangat popular dikalangan masyarakat Barat. Dampaknya, para remaja kita yang menjadi ‘mangsa’ sistem secular Negara jadi terpengaruh sehingga pusat yang menawarkan perkhidmatan menebuk lidah kian bercambah di sekitar ibu kota. Hari ini, anda hanya dikenakan kadar bayaran serendah RM50 bagi mendapatkan besi tindik yang diskru dengan ketat bagi mengelak ia tertanggal. It’s cool.

Mahu yang mana satu?

Pilih saja mahu jangkitan dan luka pada mulut (infection), nanah di otak (brain abscess) atau mati (death). Itulah harga yang perlu dibayar sekiranya remaja berura-ura menindik bahagian tubuh mereka seperti lidah, pusat, kening atau kemaluan. Malah, pelbagai komplikasi lain yang mungkin timbul adalah pembengkakan (swelling), jaringan parut (scar tissue formation), kerosakan saraf (nerve damage) dan penyakit periodontal (periodontal disease).

Sidney B. Eisig, Professor dan Pengarah Jabatan Bedah Oral dan Maxillofacial Universiti Columbia melaporkan, “Walaupun jarang berlaku, beberapa pesakit terpaksa masuk hospital dan mendapatkan ubat antibiotik intravena untuk mengatasi jangkitan pada lidah dan dasar mulut”

Antara ‘Berani Buat’ dan ‘Berani Tanggung’

12 Resiko yang timbul akibat oral piercing, dilaporkan oleh ADA (American Dental Association):

1. Perdarahan atau kerosakan saraf: Jika jarum menusuk saluran darah ketika dilakukan penindikan, perdarahan serius dan sukar dikawal dapat terjadi.
2. Jangkitan kuman: Mulut mengandungi jutaan bakteria dan jangkitan bakteria menjadi komplikasi dari adanya tongue piercing.
3. Kesakitan: Luka akibat penindikan baru sembuh dalam 4-6 minggu.
4. Pembengkakan: Lidah yang ditindik dapat membesar dan menutupi saluran pernafasan.
5. Penularan penyakit: The National Institutes of Health (www.nih.gov) mengenalpasti bahawa penindikan secara umum berperanan sebagai faktor penyebaran hepatitis (hepatitis B, C, D dan G) dan memungkinkan penyebaran penyakit lain seperti HIV.
6. Risiko tersedak: Perhiasan yang digunakan pada tindik lidah mungkin terlepas dan menyebabkan risiko tersedak.
7. Gigi retak: Perhiasan yang digunakan pada tindik lidah dapat menyebabkan gigi retak.
8. Terhakisnya enamel: Perhiasan yang digunakan pada tindik lidah dapat membahayakan enamel gigi.
9. Penurunan gusi: The Journal of the American Dental Association (JADA) melaporkan bahawa tongue piercing meningkatkan risiko terjadinya penurunan gusi.
10. Hilangnya gigi: JADA melaporkan bahawa tongue piercing meningkatkan risiko hilangnya gigi.
11. Pembentukan tisu parut: Tisu parut yang tebal dapat terbentuk dikawasan tindikan.
12. Gangguan bertutur: Adanya perhiasan pada lidah dapat mengganggu pertuturan.

Jangkitan kuman, memungkinkan kematian

Mulut mengandungi jutaan bacteria dan lidah mempunyai saluran darah major yang mampu meluaskan jangkitan ke otak dan tempat lainnya. Ia boleh mencacatkan atau membunuh ANDA.

Brain Abscess


Di atas adalah satu contoh kes seorang remaja perempuan yang mati akibat jangkitan daripada tongue piercing. Sebahagian dari tempurung kepalanya dibuang untuk mengurangi tekanan yang disebabkan oleh jangkitan bakteria. This is rare, but it is real.

Islam sebagai suatu cara hidup yang terbaik berbanding pohon materialisme pragmatis yang lain, telah lama mengharamkan umatnya daripada melakukan perbuatan sia-sia yang mengancam nyawa ini. Antara firman Allah Swt. dalam surah Al-Baqarah Ayat 195, "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." Begitu juga dalam surah an-nisa' Ayat 29, “Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Wallahua’lam.

Oleh: Aizatnur

Check out these pages from:

1. Tongue Piercing - Wikipedia
2. Artis Melayu- Harian Metro
3. Tooth Piercing and Associated Tooth Fracture
4. Dangers of Tongue Piercing


Monday, November 10, 2008

"Islam Yes, Fanaticism No”


Usai pulang dari kuliah tadi, saya sempat berdiskusi dengan seorang muslimah, pelajar junior. Tidak ada isu lain melainkan permasalahan tarbiyah student yang sedang menuntut di perantauan ini.

"Pening, pening!"

"Kita nak bawa islam, tapi kenapa disini seperti ada perpecahan. Jemaah inilah, jemaah itulah. Mana satu yang kita nak ikut?"

Terkesan mendengar keluhan dari kader dakwah ini. Di saat manusia leka dengan gelak ketawa, senda gurau melampau, dan pergaulan bebas, masih lagi wujud Da’i yang sanggup menjadi penyambung mata rantai perjuangan dakwah Rasulullah Saw. sehingga dibukakan telinga, akal dan hatinya. “Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah..” (QS Al-A’raf 7:58).

From Greek to West
Para Da’i harus segera menyedari bahawa penyelewengan akidah pada zaman ini bukan lagi melibatkan falsafah ketuhanan di bidang metafizikal seperti yang berlaku pada masa lalu sehingga menimbulkan pelbagai aliran sesat semisal Muktazilah, Jabariah, Qadariah, Syiah, Khawarij, Murji’ah dan lain-lain (Hamka, 1908-1981). Kelompok ini keliru dalam membesarkan pemikiran ahli falsafah Greek (baca: Yunani) sehingga menolak hukum Allah Swt.

Pada zaman ini, disebabkan kecewa dan ragu dengan keaslian Bible, maka di Barat pada tahun 1720 Master of Trinity College, R Bentley, menyeru umat Kristian agar meninggalkan kitab suci mereka iaitu New Testament yang diterbitkan pada tahun 1592 versi Paus Clement,… the ‘textus receptus [is] to abandoned altogether!

Penyelewengan gereja di Eropah turut melahirkan penentangan yang di ketuai oleh intelektual rasionalis. Niccolò Machiavelli (1469 –1527 M) yang dianggap sebagai nenek moyang aliran politik sekular menyeru kepada penafsiran semula ajaran kristian dengan membatasinya menjadi kepercayaan peribadi dan tidak terlibat dalam urusan politik, ekonomi dan social. “Machiavelli thought of moral, religious, and economics factors in society as forces which a clever politician can turn to the advantage of the state, or which he can even produce for the sake of the state,” dikutip dari Ancaman Bahaya Sekularisme (2002) mengenai Machiavelli yang cuba ‘memperkosa’ agama bagi mencapai tujuan sekularisme negara.

Dunia islam, terutama setelah lenyapnya Khilafah Utsmaniyyah (1299-1922), sekali lagi dihadapkan dengan aliran bid’ah dan sesat yang berusaha ‘memadukan’ syariat islam dengan pemikiran moden yang timbul di Barat. Perlu difahami bahawa aliran sesat yang lahir di zaman ini tidak lagi dalam bentuk mazhab ketuhanan seperti pada masa lalu, tetapi muncul sebagai idealisme politik dan ekonomi yang disogok oleh sekular ala Muktazilah.

Di sisi lain, dalam sebuah kajian keislaman disebutkan bahwa Sayyidina 'Ali r.a pernah bersabda, "Bila akal menjadi pijakan agama, maka bahagian bawah kasut (Khuf) lebih layak untuk dibasuh, daripada bagian atasnya" (HR. Abu Dawud dan Tirmidzi). Hadits ini diperkuat dengan kenyataan Al-Syafi'i (767 M) bahawa manusia tidak akan bodoh dan tidak akan berbeza pendapat kecuali ketika manusia meninggalkan lisan Arab (Islam, al-Qur'an atau wahyu) dan cenderung pada lisan Aristoteles (falsafah, teori atau ideology).

Fenomena Fanatisme

Seluruh aktivis islam hanya berpihak kepada kebenaran jika ia dapat membebaskan dirinya dari sikap fanatisme terhadap pendapat orang, golongan atau gerakan tertentu. Allah Swt. tidak memerintahkan kita beribadah mengikut petunjuk ustaz atau imam tertentu, tetapi Allah Swt. memerintahkan agar beribadah sesuai wahyu Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya, “Katakanlah, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul.”

Orang-orang fanatic itu secara a priori cenderung menolak pandangan juru dakwah lain tanpa mahu mengkajinya dahulu. Bagi mereka, diam (baca: fanatik) adalah strategi, dan berpegang pada prinsip, ana hanya wala’ pada Mas’ul. Al-Quran mengecam kelompok ini sebagai peringatan kepada Muslimin agar tidak mengikut jejak langkah mereka (QS Al-Baqarah 2:91).

Saya menyeru, marilah kita bekerjasama melawan serbuan sekularisasi pemikiran, ideologi, politik dan aliran sosial. Tidakkah kita sepakat bahawa sekularisme bukan sahaja memerangi akidah dan menghentikan perlaksanaan syariat islam, mereka turut merusak gambaran syariat islam dikalangan masyarakat. Mengapa para aktivis islam dari pelbagai kelompok tidak bekerjasama menghadapi penipuan politikus atas nama agama demi kepentingan sekularisme itu?

Know Your Enemy

Perlu diulaskan disini bahawa para intelektual orientalis-missionaris semisal Sir Snouck Hurgronje (1889-1936) yang didokong oleh peradaban Barat dan Timur giat melakukan pelbagai penelitian menghendaki agar umat islam membuang ajaran dan tuntutan Rasulullah Saw., sebagaimana orang Kristian meragukan dan akhirnya mencampakkan ajaran Jesus dengan suntikan secular dari aspek ilmu sosial.

Hal ini diungkapkan oleh Prof. DR Yusuf Al-Qardhawy dalam bukunya yang berjudul: ‘Fiqah Daulah’, disaat melihat perpecahan dari kalangan umat islam, “Lupakanlah segala perselisihan dan perpecahan dalam menghadapi kekuatan secular, salib, zionis dan atheis yang memusuhi islam”. Dan ketika saya ditanya mengenai fenomena ‘multi-jamaah’ di kampus, saya hanya mampu menjawab, “Islam Yes, Fanaticism No”.

Rujukan Utama

Oleh: *Aizatnur
University of North Sumatra, Indonesia

Tuesday, September 30, 2008

Feminisme - MASHAREF


Di Malaysia, perdebatan isu pembentangan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 di Parlimen mengundang polemik hangat berikutan bantahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen serta Senator Wanita di Dewan Parlimen termasuk NGO wanita yang dikenali sebagai Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) terhadap beberapa peruntukan baru di dalam undang-undang tersebut yang dikatakan tidak adil terhadap wanita. Pada 11 Januari 2006, Kabinet telah mengambil keputusan untuk tidak mewartakan pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005 Wilayah Persekutuan tersebut.

Dari manakah asal-usul feminisme?

Apakah gagasan-gagasan utama gerakan emansipasi atau pembebasan wanita di barat serta imbasnya di dunia islam?

Bagaimana perspektif islam dalam menyingkapi hal ini?


Kebencian Lelaki Terhadap Wanita

Tidak dapat dinafikan bahawa gerakan feminis di barat adalah reaksi masyarakat terhadap situasi di sana, terutama yang berkaitan nasib kaum wanita. Salah satu penyebabnya adalah sikap memusuhi perempuan (misogyny) dan pelbagai anggapan buruk (stereotype) yang dilekatkan pada mereka. Semua itu bahkan telah meresap dalam nilai masyarakat, kebudayaan, hukum dan politik.

Kebencian tokoh-tokoh teologi kristian terhadap kaum wanita hampir-hampir tiada pengecualian pada sekitar awal abad pembentukan agama kristian. Tertullian (160-225), Paderi Gereja Afrika, memanggil wanita sebagai pintu gerbang syaitan (the devil’s gateway) dan tercatat ungkapan:

“Tidakkah engkau menyedari bahawa engkaulah si Hawa itu? Kutukan yang dijatuhkan Tuhan kepada kaum sejenismu akan terus memberatkan dunia. Kerana bersalah maka engkau mesti menanggung derita. Engkau adalah pintu masuknya syaitan.”

Dalam pandangan Origen (185-254) yang terkenal dengan kebenciannya terhadap kaum wanita, menyatakan bahawa wanita adalah jauh lebih hina daripada binatang. St. Gregory (329-389) mengungkapkan, “Kebengisan ialah naga dan gigitan ular berbisa; Tetapi wanita memiliki sifat kedua-duanya". Tokoh sesudahnya, St. Jerome (342-420) menganggap wanita adalah akar dari segala kejahatan (the root of all evils). St. John Chrysostom (347-407) pula berkata: “Tidak ada gunanya lelaki menikah. Perempuan itu tidak lain dan tidak lebih adalah lawan dari persahabatan, hukuman yang tidak terelakkan, kejahatan yang diperlukan, godaan semulajadi, musuh dalam selimut, gangguan yang menyenangkan, ketimpangan tabiat, yang di lukis dengan warna-warna indah.”

Selanjutnya, St. Augustine (354-450) bahkan mendakwa bahawa hubungan intim antara suami dan isteri sebagai perbuatan kotor dan harus dihindari. St. Albertus Magnus (1200-1280) menguatkan dengan kesimpulannya yang aneh: Perempuan adalah lelaki yang cacat sejak awalnya, serba kekurangan berbanding lelaki. Makhluk yang tidak pernah yakin pada diri sendiri dan cenderung melakukan pelbagai cara demi mencapai keinginannya, dengan berdusta den menipu ala iblis. Demikian pula St. Thomas Aquinas (1225-1274) yang menyamakan dengan anak-anak, secara fizikal dan mental. Baginya, wanita adalah produk dari pencemaran alam persekitaran (product of environmental pollution).

Maka wajarlah jika kemudian wanita di barat hanya dibatasi lingkup rumah tangga sahaja dan tidak dibenarkan masuk campur ‘urusan orang lelaki’

Gerakan Emansipasi


'Mimpi ngeri’ yang dialami oleh kaum wanita di barat telah melahirkan gerakan-gerakan emansipasi atau pembebasan wanita. Mary Wollstonecraft (1759-1797) dianggap sebagai nenek moyang kaum feminis. Menerusi tulisannya yang sangat terkenal, A Vindication of the Rights of Woman (di cetak pertama kali di London pada 1792), ia mengecam pelbagai bentuk diskriminasi terhadap perempuan, menuntut persamaan hak bagi perempuan baik dalam pendidikan mahupun politik. Perempuan harus dibolehkan bersekolah dan memberikan suaranya dalam pilihan raya umum (suffrage). Menurutnya, kelemahan yang disebabkan kaum wanita lebih disebabkan oleh faktor lingkungan. Lelaki pun kalau tidak berpendidikan dan diperlakukan seperti perempuan, akan bernasib sama, lemah dan tertinggal, jelasnya.

Pemikiran Wollstonecraft bergema ke seantero Eropah dan Amerika. Tercatat tokoh-tokoh semisal Clara Zetkin (1857-1933) di Jerman, Alexandra Kollontai (1873-1952) di Rusia dan Victoria Claflin Woodhull (1838-1927), wanita Amerika pertama yang mencalonkan diri sebagai Presiden pada 1872.

Antara yang dituntut oleh aktivis perempuan itu adalah hak dalam pendidikan dan politik, reformasi hukum dan undang-undang Negara supaya tidak merugikan perempuan. Di lingkungan kerja, mereka menuntut supaya perbezaan atas pertimbangan jenis kelamin (gender based differentiation) dihapuskan sama sekali. Agenda emansipasi berikutnya adalah bagaimana membebaskan kaum wanita dari cengkaman kaum lelaki, bahawa mereka hidup dalam dunia yang dikuasai lelaki (male-dominated world). Konon dengan cara ini perempuan dapat membebaskan diri dari segala bentuk penindasan, eksploitasi dan subordinasi.

Radikalisasi Feminis

Kaum feminis tidak pernah mengambil peduli penderitaan manusia yang mereka timbulkan. Lihat kenyataan Maggie Gallagher, “Amerika pada hari ini memiliki bangsa yang cukup ironis termasuklah golongan elit wanitanya yang begitu lantang dan komited memperjuangkan nama baik feminisme berbanding menjadi pekerja kebajikan atau suri rumahtangga.” Gerakan feminis di barat kelihatan mengalami stigmatisasi dan seperti meludah ke muka sendiri. Munculnya feminis-feminis radikal yang bersikap anti-lelaki, anti-tuhan, anti-agama, anti-intelektual, menghalalkan pengguguran anak, mengutuk sistem partriarki, mencemuh perkahwinan, merayakan lesbianisme dan revolusi seks, justeru menodai reputasi gerakan itu.

Bagi para feminis radikal, tinggal bersama suami di rumah sama sahaja dengan living with the enemy. Mereka juga mengklasifikasikan jantina menurut pemahaman mereka kepada lima iaitu lelaki, wanita, lesbian, gay dan biseksual.

Reaksi tajam terhadap radikalisasi feminis datang dari banyak pihak. Semaklah komentar Pat Robertson, mantan calon Presiden Amerika, “Para feminis itu kerjanya hanya mendidik wanita agar meninggalkan suami dan membunuh anak-anak mereka sendiri, mengamalkan perdukunan, menjadi lesbian dan menghancurkan kapitalisme.” Penulis terkenal, Susan Jane Gilman pun menyatakan kesan serupa, “Banyak kaum wanita hari ini, keluhnya, menganggap feminisme mengarut dan tidak jelas apa mahunya. Sementara kalangan yang lain menilainya sebagai elitis, akademik, ketinggalan zaman, keanak-anakan, dan tidak releven lagi.”

Diakui atau tidak, emansipasi wanita dibarat telah merosak sendi-sendi masyarakat dan menghancurkan nilai-nilai keluarga. Gerakan feminisme juga disalahkan kerana menyuburkan pergaulan sesama jenis, mengubah perempuan menjadi makhluk gila kerjaya, hidup dalam kesepian, balik ke rumah hanya memberi makan anjing dan kucing.

Banyaknya wanita yang mencegah kehamilan dan menggugurkan kandungan akan memberikan dampak yang buruk. Negara-negara maju seperti Sweden, Jepun, Singapura, Jerman kini tengah berupaya mengatasi apa yang mereka sebut sebagai krisis demografik. (“This is the essence of the joint European family and population crisis of the 21st Century”)

Isu Gender di Dunia Islam

Di dunia islam, Mustafa Kamal Attartuk umpamanya telah menggubal undang-undang perkahwinan yang berdasarkan undang-undang barat pada 17 Februari 1926 dan menggalakkan wanita membuka aurat.

Namun ada juga yang menggunakan pendekatan secular-liberal iaitu Qasim Amin dalam dua buku controversial, Tahriru l- Mar’ah (Kairo, 1899) dan al-Mar’ah al-Jadidah (Kairo, 1900). ‘Bapa feminisme Arab’ ini menentang pemakaian purdah, menentang poligami, dan penceraian yang dianggap sebagai penghinaan terhadap wanita. Wanita islam mesti berpendidikan ala barat dan mesti dilepaskan dari kongkongan lelaki, adat resam dan tradisi.

Di Mesir, Dr Nawal El-Sadawy, seorang pakar perubatan telah menghasilkan sebuah buku yang menyeru wanita intelek supaya tidak mematuhi peraturan agama, seks dan politik yang mengongkong. Kemudian bangkit Huda Sya’rawi (1879-1947). Beliau adalah orang pertama yang membuka hijab di Kaherah dan menuntut persamaan gender dalam pendidikan dan hak politik. Gerakan beliau dinamakan sebagai gerakan pembangunan wanita. Selain itu, terdapat juga Fatima Mernissi dari Moroko (penulis sejumlah buku, antara lain: Beyond the Veil), Riffat Hasan dari Pakistan (pendiri International Network for the rights of Female Victims of Violence in Pakistan), Taslima Nasreen dari Bangladesh (penulis buku Amar Meyebela), Amina Wadud dari Amerika Syarikat yang sempat membuat heboh dengan menjadi khatib dan imam shalat jumaat di gereja beberapa waktu lalu dan banyak lagi.

Gerakan feminis radikal rupanya berpengaruh juga di Malaysia dan dijuarai oleh Zainah Anwar dari Sis-ters In Islam (SIS). SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka. Malah, kumpulan ini diberikan ruang yang luas untuk membentangkan citra pemikiran mereka melalui media massa.

Seperti yang kita ketahui, tidak ada satu ayat pun dalam Al-Quran yang menampakkan misogyny ataupun bias jantina. Semua ayat yang membicarakan tentang Adam dan pasangannya, sejak di syurga hingga turun ke bumi, selalu menekankan kedua belah pihak dengan menggunakan kata ganti nama untuk dua orang (dalam bahasa arabnya: huma atau kuma). Bukannya Adam dan Hawa yang disalahkan, melainkan syaitan yang dikatakan menggoda keduanya hingga memakan buah dari pohon khuldi. Kemudian, setelah berada di bumi, baik lelaki mahupun perempuan ditempatkan setara. Darjat mereka ditentukan bukan oleh jenis kelamin tetapi kadar iman dan amal soleh masing-masing (Ali-Imran: 195). Sebagai pasangan hidup, lelaki diibaratkan seperti pakaian bagi perempuan, dan begitu pula sebaliknya (al-Baqarah: 187). Namun, dalam kehidupan rumahtangga, masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan tanggungjawab berbeza, seperti kebiasaan hubungan antara manusia (al-Baqarah:228). Adapun pada skala yang lebih luas, dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara, lelaki dan wanita dituntut untuk melibatkan diri secara aktif, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar (al-Ahzab: 35). Nabi Muhammad Saw. juga mengingatkan bahawa sesungguhnya perempuan itu setara dengan lelaki (an-nisa’ syaqa’iqu r-rijal), menurut sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa’i.

Oleh kerana itu, apabila dikalangan Muslim pada kenyataannya masih selalu dijumpai diskriminasi terhadap perempuan, yang mesti diperbaiki adalah masyarakatnya dan bukan agamanya. Berdasarkan hasil sebuah tinjauan, walaupun undang-undang persamaan gaji (Equal Pay Act 1970) di Inggeris sudah berusia 30 tahun lebih, wanita yang bekerja sepenuh waktu digaji 18% lebih rendah dari pekerja lelaki. Sementara mereka yang bekerja separuh waktu menerima gaji 39% lebih rendah berbanding lelaki. Begitu juga di Amerika, pendapatan kaum wanita purata 25% lebih rendah dibanding lelaki. Penelitian lain menemukan bahawa purata dalam tiap 10 detik di Inggeris telah terjadi tindak kekerasan terhadap wanita, berupa pemukulan, pemerkosaan, atau pembunuhan. Ini belum termasuk tindak pelecehan seksual dan sebagaiya.

Sebagai mengakhiri bahasan ini, ada baiknya kita semak laporan sebuah majalah hukum di Perancis “LA VIE JURIDIQUE DES POLYPES”, menyatakan: “Dalam hukum islam, hak-hak kaum wanita jauh lebih luas daripada hak-hak kaum wanita dalam konsep hukum sekarang".■

Oleh: *Aizatnur
Salam Aidilfitfi Minal Idin Wal Faidzin

Saturday, September 27, 2008

Kebetulan yang berulang-ulang?

Gambar ihsan: Nature.com


Dipetik dari bab 9 : Falsafah sains dalam konteks kurikulum sains negara
buku Falsafah Sains pendekatan kualitatif
oleh Prof Mat Rofa.
muka surat 137-141.

Persoalan pertama dalam pemikiran falsafah ialah “Adakah Tuhan wujud?” Dua jawapan yang diberikan,seperti yang dijangkakan.Jawapan pertama dinyatakan dengan penuh yakin bahawa hanya orang yan tidak waras mengetakan Tuhan tidak wujud.Tuhan pasti wujud,dan kewujudan Tuhan sangat jelas bagi orang yang berakal.Golongan ini mewakili hamper keseluruhan ahli falsafah silam sejak zaman Yunani,Islam dan Barat hingga pertengahan kurun ke-19.Jawapan kedua menyatakan Tuhan tidak wujud dan ala mini terjadi dengan sendirinya.Golongan ini dijuarai oleh Charles Darwin menerusi teori evolusisme yang secara umum mewarnai dunia sains barat selepas era tersebut. Pandangan seperti ini sebenarnya bukan pandangan yang baharu tetapi berakar umbi sejak zaman Aristote. Pada masa itu,wujud golongan ateis yang dikenali sebagai golongan sofis.

Golongan manakah yang waras,dan golongan yang manakah yang tidak waras? Kita akan menghayati dialog antara dua golongan tersebut,yang pernah dicatatkan dalam sejarah pemikiran logic silam dan masa kini.

Dialog pertama 1 (antara professor biologi dengan siswa di dalam sebuah bilik kuliah di Eropah).
Profesor : Siapakah yang pernah melihat Tuhan? Tentulah tiada siapa yang pernah
melihatnya, maka Tuhan tidak wujud.
Pelajar : Siapakah yang pernah melihat akal Profesor? Tentulah tiada siapa yang
pernah melihatnya, maka Profesor tidak berakal.

Dialog kedua 2 (antara ahli falsafah dengan seoran sufastah atau sofis)
Sufastah : Adakah tuan percaya Tuhan wujud?
Ahli falsafah : Memang semua orang percaya demikian.
Sufastah : Saya tidak percaya Tuhan wujud.
Ahli falsafah : Jika demikian, siapakah yang yang mencipta manusia?
Sufastah : Sudah pasti ibu bapanya!
Ahli falsafah : Jika benar demikian,kenapakah ibu bapa tidak mendapat sifat anak
yang mereka impikan? Mereka berharap untuk mendapat anak lelaki,tetapi yang dilahirkan ialah anak perempuan.Mereka berharap untuk mendapat anak yang comel,tetapi dilahirkan ialah bayi yang hodoh. Mereka berharap mendapat bayi yang cerdik,tetapi dilahirkan ialah anak yang bodoh.Andainya benar mereka pencipta anak mereka, pasti mengikut cita rasa mereka sendiri.Oleh itu,ibu bapa bukan pencipta anak mereka.

Dialog ketiga 3 (antara kiyai Indonesia dengan pelajar sebuah universitas)
Pelajar : Adakah bapa masih percaya pada alam ghaib,seperti kewujudan Tuhan?
Kiyai : Sebagai orang Islam,saya wajib percaya pada Tuhan yang mencipta diri
Saya dan ibu bapa saya.
Pelajar : Tahukah bapa bahawa alam ini terjadi daripada proses evolusi tanpa
Pencipta seperti yang bapa sebutkan itu? Hidupan bermula daripada sel
Yang ringkas seperti ameba,berevolusi dalam tempoh jutaan tahun, membentuk hidupan dan tumbuh-tumbuhan;berevolusi lagi dalam tempoh jutaan tahun, lalu membentuk binatang darat,reptilian,amphibia dan Mamalia. Akhirnya,sepsis manusia terbentuk dalam peristiwa evolusi yang sangat panjang.
Kiyai : Dari manakah teori evolusi bermula? Siapakah yang memulakan teori demikian?
Plejar : Tokoh itu adalah Charles Darwin,saintis agung kurun ke-19,berdasarkan fakta saintifik yang diperkukuhkan oleh kajian saintifik saintis lain kemudianya.Seluruh dunia menerima paradigmasains kurun ke-19.Semua teks sains hayat memuatkan fakta ini, termasuk teks yang saya dan rakan-rakan saya gunakan di universitas. Hanya orang kolot yang menafikannya.
Kiyai : Ohh begitu,tetapi saya ada sedikit kemusykilan.Berapa lamakah masa daripada sel pertama untuk menjadi seekor ayam,misalnya?
Pelajar :Jutaan tahun tentunya.
Kiyai :Ayam jantan atau ayam betina yang terjadi lebih dahulu?
Pelajar : Mungkin ayam betina.
Kiyai : Kenapa ayam betina?
Pelajar : Supaya ayam lain bleh dibiakkan.
Kiyai : Bolehkah ayam betina bertelur tanpa ayam jantan?
Pelajar : Tentu tidak.
Kiyai : Bilakah pula ayam jantan terjadi,bermula daripada ameba?
Pelajar : Jutaan tahun pula.
Kiyai : Katakan ayam betina terjadi dahulu.Tentu ayam betina itu mati dahulu
sebelum ayam jantan tercipta. Bolehkah seekor ayam hidup jutaan tahun?
Pelajar : Kalau begitu,tentulah ayam jantan dan ayam betina terjadi serentak.
Kiyai : Jika benar demikian tentulah sel ameba itu mempunyai kuasa intelek yang
sungguh hebat. sel ringkas itu mampu membuat program canggih supaya
akhirnya dirinya menjadi seekor ayam jantan atau ayam betina.Untuk
membenarkan hipotesis itu terlalu banyak kebetulan yang perlu berlaku.
jutaan kemungkinan pula perlu berlaku,malah jutaan kebetulan perlu
Berlaku secara tertib dan tersusun rapi.
Pelajar : Kenapa pula?
Kiyai : Anakku yang dikasihi,
kebetulan pertama,di sana perlu ada dua sel ameba di dalam takungan air yang sama.
kebetulan kedua,kedua-dua ameba harus bersepakat supaya akhirnya selepas jutaan tahun mereka berdua akan menjadi ayam jantan dan satu lagi menjadi ayam betina,bukan menjadi tikus atau lembu.
kebetulan ketiga,faktor masa kewujudan haruslah diselaraskan supaya jarak masa terciptanya ayam jantan tidak jauh ketinggalan dari masa terciptanya ayam betina,jika tidak,ayam-ayam itu tidak sempat membiak
seperti yang ada pada hari ini.
kebetulan keempat,mesti ada dua sel ringkas lain yang harus berevolusi supaya sebaik sahaja ayam tercipta,ia akan berevolusi supaya sebaik sahaja ayam tercipta,ia akan menjadi sepohon padi.Jika tiada makanan, ayam betina akan mati sebaik sahaja ia tercipta sebelum terciptanya ayam jantan.
kebetulan kelima, pohon padi pula harus muncul pada masa yang sesuai agar sebaik sahaja ayam betina wujud,makanan telah tersedia.
kebetulan keenam,selepas wujud ayam jantan dan ayam betina serentak, kedua-dua ayam haruslah bersepakat agar yang betina sahaja yang bertelur,dan tidak perlu berevolusi lagi sebab dua sel lain yang boleh, bersepakat seperti duhulu sangat susah hendak cari.
kebetulan ketujuh,telur haruslah memprogramkan dirinya supaya apabila ia dipanaskan oleh ayam betina,kuning telur akan bertukar lalu mengeluarkan bulu, mati, kepala, hati,jantung ,usus, kaki, sayap dan lain-lain
akhirnya,seekor anak ayam yang comel,berwarna putih kuning, muncul dari rekahan kulit telur itu.Kalau saya teruskan banyak lagi kebetulan, demi kebetulan yang harus berlaku secara berulang-ulang,teratur mengikut tertib?
ketahuilah wahai anakku bahawa kebetulan tidak boleh berlaku secara
tertib berkali-kali.Alam ini berjalan dengan tertib, berulang-ulang secara
berulang-ulang secara harmoni dan sistematik dalam masa jutaan tahun.
alam angkasa bersimpang-siur dengan planet,bintang dan galaksi yang
berputar laju,berjalan mengikut tertib masing-masing,tetapi tidak pernah
kemalangan atau pertembungan.Perjalanan matahari pula tidak pernah
terlewat walaupun sesaat.adakah peristiwa sebesar itu boleh
dijustifikasikan dengan alas an kebetulan? Peristiwa yang berlaku secara
tersusun semestinya ada penyusunnya.Kebetulan tidak boleh berlaku
secara teratur.Orang inggeris menagatakan chance cannot create order.
Pelajar : Bapa boleh bertutur bahasa inggeris ya?

******************************************************************
1 : Hujah dalam dialog pertama dikenali sebagai analogi,dalam mantik Aristotle.Dalam masyarakat Melayu,ia dinamakan tamsilan,bidalan atau memulangkan paku buah keras.Soalan yang bodoh jangan sesekali dijawab secara cerdik,tetapi memerlukan jawapan yang lebih bodoh dari soalanya.Oleh itu masej diharapkan segera difahami.

2 : Hujah dalam dialog ini dikenali sebagai pembutian secara percanggahan.Dalam tradisi Yunani,hujah ini dinamai reduction ad absourdum,dan digunakan untuk menafikan sesuatu usulan secara kontra-positif.

3 : Hujah ini merupakan gabungan kaedah aruhan dengan percanggahan.

Wednesday, September 17, 2008

Histeria Penyakit Psikiatri

Gambar ihsan: Wikipedia

KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya.

Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju.

Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju.

Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan.

Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian.

Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal.

Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar.

Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain.

“Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya.

Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah.

“Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat.

Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan.

“Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan.

Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali

Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini

28 Ogos 2008
KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.

8 Ogos 2008

KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi.

KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.

7 Ogos 2008

SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.

4 Ogos 2008

TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.

24 Julai 2008

KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari.

Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.

17 Julai 2008

NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.

19 Jun 2008

CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.

24 April 2008

TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.

14 April 2008

SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.

31 Januari 2008

DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

Sumber: Beria Harian Online

Tuesday, September 9, 2008

Penjenamaan Semula Blog


Setelah hampir 8 bulan bertapak di laman sesawang, kami merasakan sudah tiba masanya untuk blog ini melalui proses penjenamaan semula bagi menyusun dan mengemas kini beberapa perkara. Mendapat inspirasi dari Harun Yahya Science Research Foundation, blog ini sebenarnya bermula dengan usaha separa serius dan sekadar cuba-cuba menghasilkan penulisan ilmiah. Walau bagaimanapun, kami tidak menyangka bahawa penulisan separa matang di blog ini menerima banyak komen dan kritikan yang meransang kami untuk terus melontarkan idea serta memperbaiki penulisan kami yang masih terdapat seribu kekurangan. Justeru, atas sambutan yang agak menggalakkan ini kami merancang memberikan blog ini satu nafas baru ke arah penulisan ilmiah yang lebih professional dan akademik.

Sekiranya Harun Yahya melancarkan perang terhadap Darwinism dan materialisme dan menjadikannya sebagai agenda utama, manakala kami pula memilih agenda pengislaman falsafah sains menurut kaca mata ahli sunnah. Hal ini bertitik-tolak dari kuantiti intelektual muslim yang masih terlalu sedikit keterlibatan mereka dalam mengetengahkan agenda pengislaman sains lantas mengakibatkan sebilangan besar masyarakat Muslim masih memandang sinis terhadap sains dan falsafahnya. Demi merealisasikan agenda tersebut, kami menggariskan beberapa objektif kami dalam merealisasikan ini iaitu:
  • untuk mengembalikan semula tradisi sains dan falsafah yang tidak terpisah dari prinsip-prinsip Islam
  • untuk menggalakkan kajian sains dan penyelidikan dengan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai salah satu sumber idea dan inspirasi
  • untuk mengenali kerangka pemikiran para sarjana Islam ahli sunnah sama ada silam atau kontemporari dalam lapangan sains dan falsafah

Penjenaman semula ini juga termasuk memperbaharui akronim bagi blog ini dari MSH Research Foundation kepada MASHAREF yang kelihatan lebih komersial dan mudah diingati.

Tidaklah kami merasakan tugas ini mampu dipikul dalam jumlah kami yang sedikit ini. Justeru, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan sekiranya ada di kalangan para pembaca yang berminat dan bersungguh dalam penulisan ilmiah dan aktiviti idealisme, serta dapat konsisten dalam menghasilkan idea-idea baru dalam bentuk penulisan. Sekiranya berminat, segeralah emel ke bluetorch45[at]yahoo[dot]com supaya kami dapat menjemput anda sebagai penulis blog ini. Kami amat-amat memerlukan penyertaan dan komitmen dari anda.

Monday, September 8, 2008

Bengkel Pengislaman Ilmu (II)

Memandangkan kepada sambutan yang agak baik terhadap Bengkel Pengislaman Ilmu yang diadakan baru-baru ini di ATMA, UKM, pihak ASASI sekali lagi akan menganjurkan bengkel yang sama sebagai kelangsungan sirinya. Butiran Bengkel Pengislaman Ilmu (II) ini adalah seperti berikut:

Masa: 8:45pg-5:00ptg
Tarikh: 18 Oktober 2008
Tempat: Bilek al-Khawarizmi, INSPEM, UPM
Anjuran: Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
Sasaran: Mahasiswa, Tutor, Pensyarah Muda, dan mereka-mereka yang berminat
Had Penyertaan: 30 Peserta
PERCUMA

Untuk mereka yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan di sini.

Sebagai tambahan, walaupun Bengkel Pengislaman Ilmu (II) adalah salinan tema kepada penerusan yang sebelumnya, tetapi kertas kerja yang dibentangkan adalah berbeza. Dan dalam waktu terdekat, pihak ASASI akan menerbitkan aturcara bengkel serta peta ke lokasi bengkel untuk kemudahan para peserta. Harap para peserta yang telah mendaftar sentiasa dapat buat semakan di sini. Manakala kertas kerja pembentangan akan diedarkan seminggu lebih awal untuk rujukan awal para peserta.

Sebarang pertanyaan mengenai Bengkel Pengislaman Ilmu (II) dan tentang ASASI bolehlah dirujuk kepada: asasi@kesturi.net.

http://www.kesturi.net/2008/09/08/bengkel-pengislaman-ilmu-ii

2nd International Conference On Science And Technology 2008

Applications in Industry and Education

Dates : 12 - 13 December 2008
Place : Dewan Seminar Utama, UiTM Pulau Pinang
Organized by : JTMSK, UiTM Pulau Pinang
No.Tel : +604-3823566
No.Fax : +604-3822768
E-Mail : icstie08@ppinang.uitm.edu.my / icstie08@icstie.com
Website : www.icstie.com/index.html

ICSTIE 2008 UiTM Pulau Pinang is a good platform for researchers, instructors, scientists, engineers and students to exchange their ideas and intellectual view on related topics. In addition, this conference will expand their communication network in developing knowledge and new discovery using the method state-of-the-art technology. The conference also focuses on Northern Corridor Economic Region (NCER) with various science and technology input that contributes to the development of NCER.

Click here for more information.

Wednesday, September 3, 2008

Al-Quran dan Evolusi 3

Teori evolusi dapat diringkaskan dengan akronim VISTA, iaitu Variation (tiada dua organisma atau individu yang serupa), Inheritance (organisma mewariskan trait-trait genetik kepada keturunan), Selection (organisma yang bervariasi berpotensi untuk terus hidup dan membiak berbanding organisma yang tidak bervariasi di sesebuah persekitaran), Time dan Adaptation (dalam tempoh beberapa keturunan, trait yang mempunyai kelebihan dalam sesuatu persekitaran akan berhimpun di dalam satu organisma untuk penyesuaian).

Allah telah memberi klu kepada kita di dalam Al-Quran bahawa dalam penciptaan manusia, Dia telah menjadikan manusia melalui transformasi dalam tempoh yang tertentu.

وَلَقَدْ خَلَقْنَـكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَـكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لأَدَمَ فَسَجَدُواْ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam", maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (7:11)

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ثُمَّ bererti suatu tempoh yang panjang. Perkataan صَوَّرَّْ pula memberi maksud membentuk sesuatu. Hal ini selari dengan konsep evolusi yang memerlukan masa yang panjang dan berlaku perubahan bentuk dari satu generasi ke generasi yang lain. Allah juga menggunakan perkataan كُمْ yang sepatutnya ditujukan kepada sekumpulan manusia, untuk merujuk kepada Adam.

الَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ, فِى أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu. (Q 82: 7-8)

لَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَـنَ فِى أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (Q 95:4)

Perkataan تَقْوِيمٍ bermaksud menyusun sesuatu dengan sebaik-baik perancangan, menunjukkan penciptaan manusia melalui satu aturan yang sangat rapi dan terancang.

Sekadar artikel pendek. Wallahua'lam.

Friday, August 29, 2008

Pergi Main Jauh-jauh

KUANTAN 28 Ogos – Kejadian histeria yang berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini hari ini, bertambah serius apabila salah seorang mangsa pelajar perempuan menjerit-jerit “aku ingin darah dan nyawa.”

Pelajar itu adalah antara lapan pelajar perempuan yang terus menjadi mangsa histeria di sekolah itu yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Jeritan mangsa histeria itu menimbulkan kebimbangan kepada segelintir pelajar, ibu bapa dan beberapa pengamal perubatan tradisional yang berusaha keras untuk memulihkan keadaan.

Baca selanjutnya

Mari kita sama-sama menunggu dan menyaksikan sama ada fenomena ini adalah benar-benar perbuatan syaitan atau sekadar masalah psikologi (atau ayat kasar, sakit otak) menjelang Ramadhan ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wednesday, July 2, 2008

Kejahatan itu dari Tuhan? (updated)

"Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada, mengapa banyak orang yang sakit? mengapa banyak anak yang terlantar? Jika Tuhan itu ada, tentu tidak ada sakit dan penderitaan. Tuhan apa yang mengizinkan semua itu terjadi???" [1]

Manusia tatkala ditimpa musibah atau masalah, lancar sekali mulut menyalahkan orang lain. Sikap angkuh warisan Iblis ini seringkali merancu fikiran mereka yang lemah imannya dan sangat sedikit pergantungan kepada Tuhan lantas sering mengkambinghitamkan Tuhan atas segala keburukan yang menimpa.

Kalau ada Tuhan, mengapa ada kejahatan? Kalau Tuhan itu baik, mengapa dunia ini tidak dihiasi dengan kebaikan semata? Mengapa masih ada sakit dan penderitaan?

Muslim apabila diajukan persoalan sebegini, acapkali cuba mengelak untuk memberi jawapan dengan alasan ia adalah was-was syaitan. Kaedahnya, 'beriman sajalah, jangan banyak soal'. Sekiranya iman umat Islam kini seperti Saidina Abu Bakar RA, maka tiada masalah dengan jawapan itu. Namun pada hemat saya, dalam keadaan kita kini diserang dari pelbagai sudut khususnya pemikiran, membiarkan persoalan tersebut terbengkalai tanpa jawapan yang memuaskan akal pastinya bakal mengundang padah.

Privatio Boni


Lima tahun lalu, masih lagi segar di ingatan saya bahawa saya pernah terbaca satu artikel di sebuah majalah sekolah tentang perdebatan antara seorang professor atheis dengan seorang pelajar Muslim, bertajuk "Why science fails to explain God" [2]. Artikel ini yang sudahpun diterjemahkan [3] membicarakan seputar persoalan wujudnya kejahatan kerana Tuhan yang mencipta kejahatan. Konklusinya, Tuhan adalah jahat.
"Let's start again, young fella." "Is God good?"

"Er... Yes."

"Is Satan good?"

"No."

"Where does Satan come from?" The student falters.

"From... God..."

"That's right. God made Satan, didn't he?" The elderly man runs his bony fingers through his thinning hair and turns to the smirking, student audience.


Dan berikut adalah argumen yang dilontarkan seorang pelajar Muslim sebagai membalas provokasi yang dibangkitkan oleh professor atheis.
The young man holds up a newspaper he takes from the desk of a neighbor who has been reading it.

"Here is one of the most disgusting tabloids this country hosts, professor. Is there such a thing as immorality?"

"Of course there is, now look..."

"Wrong again, sir. You see, immorality is merely the absence of morality. Is there such thing as injustice? No. Injustice is the absence of justice.Is there such a thing as evil?"

The Muslim pauses.

"Isn't evil the absence of good?"

The professor's face has turned an alarming color. He is so angry he is temporarily speechless.

Argumen ini adalah asalnya satu pendefinisian dari seorang ahli teologi kurun kelima, Augustine bahawa kejahatan adalah akibat tiadanya kebaikan [4]. Menurut pandangan ini, persepsi manusia sebenarnya adalah berasaskan perbandingan, seperti gelap dan terang.

Secara mudahnya, manusia melihat kegelapan bukan kerana ia adalah lawan kepada terang. Tapi kerana ketiadaan cahaya. Maka, kegelapan hanyalah ilusi manusia untuk menjelaskan keadaan yang tiada cahaya. Contoh ini yang disebut sebagai privatio boni secara umumnya dipersetujui untuk menjelaskan bahawa Tuhan hanya mencipta perkara yang baik. Kejahatan yang wujud hakikatnya tidak wujud kerana ia cuma ilusi manusia mentafsirkan suatu keadaan yang kurang atau tiada kebaikan.

Namun begitu, argumen ini secara keseluruhannya tidak dapat menyelesaikan permasalahan ini. Seseorang boleh mempersoalkan semula sekiranya Tuhan hanya mencipta kebaikan, mengapa pula Tuhan membiarkan wujud satu keadaan yang kurangnya unsur kebaikan. Mengapa Tuhan tidak saja memenuhi ruang-ruang di dunia ini dengan kebaikan sepenuhnya sehingga manusia tidak akan kenal apa itu kejahatan.

Falsafah Yin-yang

Dalam permasalahan ini, saya cenderung untuk bersetuju dengan falsafah Cina iaitu yin dan yang. Konsep ini mengetengahkan bahawa unsur yang berlawanan (positif/negatif, terang/gelap, baik/jahat) adalah satu kemestian dalam Hukum Alam (law of nature). Korelasi salingan antara fenomena yang berlawanan ini akan mewujudkan unity of opposites, iaitu keadaan yang mana kewujudan satu perkara itu bergantung kepada sekurang-kurangnya dua kondisi yang berlawanan antara satu sama lain.

Secara matematik, unity of opposites dapat dirumuskan seperti 2 = -2. Namun secara realitinya perkara ini tidak mungkin wujud kerana sekiranya kedua-dua lawan tersebut berada dalam keseimbangan, hal ini menyebabkan satu situasi kedua-dua lawan akan membatalkan satu sama lain (stasis). Contoh mudah boleh didapati dalam interferens pemusnah (destructive interference).

Kritik terhadap konsep 'kejahatan sebagai kemestian kepada kebaikan' walau bagaimanapun mengatakan bahawa konsep dualism ini perlu mampu menjelaskan dalam spektrum tanpa batasan dengan sifar sebagai titik keseimbangan. Penyejukan dan pemanasan sebagai contoh adalah saling berlawanan. Akan tetapi, penyejukan hanya mampu mencapai suhu sehingga sifat mutlak sahaja (-273 C) sebaliknya pemanasan boleh memberikan suhu yang infiniti. Nilai negatif yang terbatas dan positif yang infiniti tidak akan mencapai apa yang dinamakan titik keseimbangan kerana satu nilai akan sentiasa melebihi nilai yang lain.

Justeru, mentafsirkan kebaikan dan kejahatan melalui konsep yin-yang juga tidak dapat menjelaskan sebaiknya permasalahan sama ada kejahatan itu ciptaan Tuhan. Walau bagaimanapun, menurut pandangan saya masalah ini dapat dirungkaikan sekiranya kita mengambil kira falsafah Ex nihilo yang akan saya jelaskan selepas ini.

Daripada Tiada Kepada Ada

Ex nihilo adalah istilah Latin yang bermaksud 'daripada tiada kepada ada'. Konsep ex nihilo seringkali digunakan dalam menjelaskan penciptaan alam semesta ini daripada keadaan tiada kepada ada. Falsafah yin-yang sekiranya difahami secara songsang akan memberikan kita kefahaman bahawa alam ini hakikatnya adalah tiada. Dengan asal ketiadaan itu barulah wujudnya ada, 0 = x + (-x).

Wujudnya alam ini pada hakikatnya adalah satu ilusi sebagaimana nilai sifar menghasilkan +x dan -x yang sebetulnya cuma ilusi dalam fikiran kita. Begitu juga hakikat alam ini yang lahir daripada keadaan tiada kepada ada adalah sekadar ilusi kerana sebenarnya alam tidak wujud. Wujud cuma perkataan manusia bagi menghuraikan ilusi. Sebagai contoh, anda melihat sebatang pokok, tetapi sebenarnya tidak wujud apa yang dinamakan pokok sebaliknya yang wujud hanyalah imej di dalam otak. Perkara ini dibincangkan secara panjang lebar oleh Harun Yahya dalam 'Matter the Other Name for Illusion' dan 'Knowing the Truth'.

Mengambil kira semua premis-premis di atas, secara logiknya

1 Fenomena yang berlawanan adalah satu kemestian dalam hukum alam untuk mewujudkan keseimbangan
2 Titik keseimbangan (0) adalah mustahil secara realiti dan cuma wujud secara ilusi
3 Alam semesta lahir dari keadaan tiada kepada ada
4 Keadaan tiada adalah satu titik keseimbangan
5 Alam sentiasa berada dalam keseimbangan dan keseimbangan (ilusi) tersebut ditafsirkan manusia sebagai penciptaan alam semesta ini
6 Kebaikan dan kejahatan tidak pernah wujud, yang wujud cuma ilusi

Secara mudahnya disimpulkan bahawa Tuhan tidak perlu membentuk kejahatan, kerana kejahatan itu terbentuk di dalam proses membentuk kebaikan. Dia menciptakan tiap sesuatu dengan kadar tertentu dan berpasangan. Pasangan yang paling asas yang perlu kita ketahui ialah adanya kebaikan dan kejahatan [5].

Walau bagaimanapun, argumen ini tetap tidak memberi jawapan kerana seseorang boleh mempersoalkan semula bahawa walaupun kejahatan itu satu ilusi dan kemestian, ia tetap dicipta dari Tuhan. Justeru adakah Tuhan itu baik atau jahat?

Ilusi Relatif

Melihat ibu atau bapa kucing membunuh anaknya sendiri [6], atau labah-labah betina memakan pasangannya sendiri [7], atau seekor buaya menerkam ganas seekor kijang yang leka menghirup air di sungai lantaran kehausan, apakah persepsi kita? Sekiranya kita mengatakan perbuatan itu kejam dan tak 'berperikemanusiaan', sangkaan tersebut sebenarnya meleset. Manusia gemar menghukum dengan berkadarkan relatif sendiri. Menghukum alam haiwan dengan relatif manusia, adakah logik dan adil?

Dulu kita digemparkan dengan satu berita seorang bapa yang mengurung anak perempuannya sendiri selama 24 tahun dan merogol sehingga melahirkan 7 anak [8]. Setelah dikurung begitu lama, Felix Fritzl, 5 apabila melihat bulan kali pertama lantas terpacul dari lidahnya, "Is that God up there?" [9]. Jelas di sini Felix menisbahkan bulan sebagai Tuhan dengan merelatifkan pengalaman beliau selama terkurung 5 tahun. Beliau tidak mengenal bulan tapi beliau mengenal Tuhan. Bagi Felix, Tuhan itu tinggi dan berada di langit, lantas beliau mengaitkan bulan yang tinggi dan berada di atas langit dengan Tuhan.

Pada zaman kanak-kanak, kita sering dimomokkan dengan kisah-kisah dongengan ala Mastika berkaitan hantu. Anak-anak kecil ditakut-takutkan dengan hantu tetek (dalam bahasa jawa, Kalong Wewe) yang mempunyai buah dada yang sangat besar dan suka makan kanak-kanak yang masih berkeliaran di luar pada waktu senja. Walaupun tujuannya baik (mungkin), tapi sebenarnya telah menanam satu memori yang buruk di dalam kotak pemikiran anak-anak. Pohon beringin (Ficus benjamina) yang tidak bersalah dikatakan tempat berpenunggu hanya kerana terdapat pokok langsuyar yang menumpang pada dahan dan disalahsangkakan sebagai langsuir. Sekiranya anak-anak sejak kecil diterapkan dengan pelajaran flora dan fauna, saya jamin tidak akan lagi timbul masalah takut untuk pergi kelas mengaji selepas maghrib.

Otak manusia sentiasa mahu mengukur sesuatu dengan relatif. Dalam permasalahan ini, manusia merelatifkan pengalaman sendiri dengan perbuatan Tuhan. Segala perbuatan Tuhan yang pada pandangan manusia adalah baik, kita menisbahkan bahawa Tuhan itu baik. Tapi mengapa pula apabila melihat perbuatan Tuhan yang pada relatif manusia adalah jahat, kita tidak menisbahkan Tuhan itu jahat? Atas sebab ini, saya menolak untuk bersetuju dengan pandangan yang mengatakan Tuhan itu baik kerana perbuatan-Nya yang baik kerana perbandingan sama ada perkara baik atau jahat pada pandangan manusia itu tidak sama sekali dapat dinisbahkan dengan Tuhan. Hal ini akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

Baik Seperti Malaikat

Terdapat satu perumpamaan dalam masyarakat Melayu yang berbunyi 'baik seperti malaikat'. Saya terfikir, adakah ini bermakna malaikat lebih baik berbanding Tuhan? Tidak. Justeru, Tuhan itu baik atau jahat? Jika anda bersetuju dengan Ex nihilo dan ilusi relatif, maka saya perlu mengatakan di sini bahawa Tuhan itu tidak baik dan tidak juga jahat.

Terkejut? Nanti dulu. Jika anda bersetuju bahawa segala fenomena jahat yang menimpa tidak boleh dinisbahkan kepada jahat-Nya Tuhan, maka anda sepatutnya bersetuju bahawa segala fenomena baik tidak boleh dinisbahkan kepada baik-Nya Tuhan.

Saya ingin bertanya, atas dasar apakah kita mengukur bahawa baik atau jahat Tuhan?

Thales [10] pernah berkata, "Avoid doing what you would blame others for doing."

"Treat others as you would like to be treated" adalah satu nilai moral yang fundamental dan diterima pakai secara umum baik di kalangan mereka yang beragama mahu pun atheist. Nilai moral ini disebut sebagai ethic of Reciprocty atau The Golden Rule. Namun ahli falsafah seperti Immanuel Kant, Friedrich Nietzsche, dan Bertrand Russell berbeza pandangan dalam menerima nilai moral ini terutama dalam aplikasi.[11]

Kant berpendapat bahawa The Golden Rule ini tidak mampu diaplikasikan dalam situasi yang berbeza. Beliau memberi contoh, seorang penjenayah yang telah disabit kesalahan oleh hakim mahkamah boleh mempergunakan The Golden Rule ini dengan alasan hakim tersebut sudah tentu tidak mahu orang lain menyumbat beliau ke dalam penjara, tapi mengapa pula hakim tersebut tidak rasa bersalah menghukum penjenayah tersebut dipenjarakan.

Manusia mempunyai persepsi yang berbeza antara satu sama lain. Nilai moral di suatu tempat yang dilihat sebagai buruk kadangkala ada yang dilihat sebagai baik di suatu tempat yang lain. Kayu ukur nilai baik dan jahat adalah sangat relatif kepada pengalaman seseorang manusia.

Justeru, sekiranya kayu ukur manusia akan nilai baik dan jahat itu berbeza-beza, maka apakah kayu ukur yang sesuai untuk menghukum Tuhan itu baik atau jahat?

Jawapan dan juga pandangan saya, Tuhan itu tidak baik dan tidak jahat.

Penutup

Selama hampir sebulan saya 'diganggu' permasalahan ini, saya sendiri masih belum menemui satu jawapan mutlak dan benar-benar memuaskan hati dan akal. Setakat ini saya berpandangan seperti di atas, namun saya yakin pandangan saya masih terdapat paradoks serta ruang perbahasan masih terbuka luas. Saya mengalu-alukan sebarang kritikan dan cadangan bernas dan tidak akan melayan sebarang pandangan yang emosional.

Sekiranya anda menyedari, saya tidak menggunakan walau satu pun ayat-ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat ini. Namun hal ini tidak bererti saya menolak perkataan yang agung itu. Saya mengaku kelemahan dan kecetekan ilmu dalam bidang tafsir dan bahasa Arab. Oleh itu, saya akan sedaya-upaya mengelakkan diri dari menggunakan ayat-ayat Al-Quran (juga dalam penulisan akan datang) supaya tidak menyimpang dari maksud sebenar sepertimana kesilapan yang telah saya lakukan dalam artikel-artikel lepas.

Saya tidak tahu adakah dengan memikirkan permasalahan ini termasuk dalam kategori berzikir dan mengingati Allah. Sekiranya tidak, saya memohon ampun kepada Allah atas perbuatan yang sia-sia ini dan untuk anda yang membaca, campaklah artikel ini ke dalam tong sampah kerana ia terhasil dari pemikiran yang lagho dan sia-sia.

Sekian.

Nota kaki:

1] Seorang tukang cukur, http://mujahidtibb.blogspot.com/2008/06/seorang-tukang-cukur.html
2] Why science fail to explain God, http://humanists.net/avijit/article/debate/eshomabesh/why_science_fails_to_explain_god.htm
3] Sains dan Islam, http://isuhangat.blogspot.com/2007/08/sains-dan-islam.html
4] Does Evil Exist, Philosophy of Religion
5] Jangan merasa tertekan, sharudin.com, Sharudin
6] Cats That Kill Kittens, messybeast.com, Sarah Hartwell
7] Suicidal spider lovers, ScottS-M
8] http://news.scotsman.com/latestnews/Daughter-39kept-in-cellar-for.4024895.jp
9] http://www.bbc.co.uk/blogs/magazinemonitor/2008/05/thursdays_quote_of_the_day_9.shtml
10] Seorang ahli falsafah Yunani (624 BC–546 BC)
11] The Golden Rule, Only a Game

Sunday, June 15, 2008

Hancurnya Peradaban Tanpa Iman

“Apakah benar, politik dan ekonomi menjadi jaminan bertahannya sebuah Negara?”

“Apakah anda berfikir bahawa banyaknya kekayaan dan tingginya teknologi akan menyelamatkan sebuah bangsa dari kehancuran?”

Akhirnya pemimpin tanah air mengumumkan akan kenaikan harga minyak sebesar 40%. Harga petrol naik sehingga RM2.70 seliter dan diesel melonjak sehingga RM2.58 seliter. Ramai yang terkejut. Harga barang makanan sudah mulai lari, nyaris tidak terkejar oleh daya beli rakyat. Demonstrasi penolakan sudah mulai memanaskan diri. Tetapi kerajaan tetap pada pendirian menaikkan harga minyak meski harus mencekik leher rakyat sendiri. Alasannya, mahu mengurangkan kejutan ke atas sistem ekonomi negara. (rujukan)

Para penganalisa pun memberikan pembenaran. Jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak, ekonomi negara akan membengkak, nyaris meletus. Padahal hari ini, harga minyak mentah dunia sudah melebihi 120 dolar Amerika per barrel. Dan insya Allah, akan terus meninggi dan tidak pernah turun lagi. Dengan demikian, apakah negara tidak lagi mampu membela rakyatnya sendiri? Besar kemungkinan, alasan bahawa keuntungan PETRONAS akan di gunakan untuk masa depan negara dan juga anak-anak dan cucu-cucu kita adalah idea 'cerdik' Pak Pandir sahaja.

Apakah angka-angka dalam anggaran bajet ekonomi negara jauh lebih penting daripada nyawa rakyat Malaysia? Tentu sahaja keduanya memiliki hubung kait tetapi apakah pembelaan kita lebih untuk angka-angka daripada nyawa manusia? Hari ini kita dililit oleh sistem yang memaksa kita percaya, bahawa kecanggihan teknologi, kekayaan financial serta kehebatan kita dalam berpolitik yang menjamin segala bentuk keselamatan.

“Tanpa kekuatan ekonomi kita hanya makhluk yang lumpuh.”

“Tak mengendahkan strategi politik, kita hanyalah manusia yang tak beradab.”

“Tanpa kecanggihan teknologi kita hanya manusia yang buta.”


Begitulah kita hari ini dibuat percaya, bahawa nilai-nilai ekonomi, politik dan teknologi adalah segalanya.

Apakah kita tidak menyakini bahawa sumber minyak dimanapun ia keluar, hanya betul-betul keluar kerana kasih sayang Allah semata? Adakah kita tidak sadar bahawa yang mengeluarkan emas dari bumi juga adalah Allah Yang Maha Mulia? Pernahkah kita menghitung perkembangan ekonomi global dengan world-view rezeki sebagai makhluk Allah? Dan pertolongan serta kasih sayang Allah itu, turun dengan berkah hanya untuk orang-orang yang beriman.

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. " (QS At-Thalaq: 2 – 3)


Erti Sebuah Peradaban

Dr Hamid Fahmy Zarkasyi, Pengarah Center for Islamic and Occidental Studies mengatakan, cara pandang atau world-view manusia hari ini telah dikuasai oleh falsafah barat yang menyakini dengan meninggalkan agama nescaya manusia akan lebih maju dan bertamadun. “Sekularisasi adalah proses sub-ordinan nilai-nilai melampau (transcendent) yang memisahkan agama dari kehidupan. Agama dipinggirkan, dan manusia dengan segala hasil ciptaannya menjadi ukuran dalam kehidupan,”

Lalu Dr Hamid Fahmy menjelaskan konsep ideal seorang manusia dalam islam dengan mengerti makna kata din. Istilah din berasal dari da-ya-na atau dana yang memiliki mashdar dayn. Artinya adalah: Hutang.

“Manusia berhutang pada Tuhan yang harus dibayar dengan menyerahkan kehidupannya kepada Tuhan. Penyerahan kepada Tuhan sekaligus pengakuan bahawa Tuhan adalah Dzat yang Maha Agung,” jelasnya.

Lalu ia melanjutkan. Manusia dalam jumlah yang banyak dan berkelompok, selalu memerlukan seorang pemimpin, yang disebut dayyan. Pemimpin yang tentu saja memiliki karakteristik pasrah pada hukum-hukum Allah. Din diamalkan dan diterapkan oleh sebuah komuniti di dalam suatu tempat yang disebut madinah. Dari madinah inilah lahir dan muncul ciptaan-ciptaan manusia yang kelak disebut dengan peradaban atau tamaddun.

“Dengan rentetan seperti itu, maka seharusnya islam menjadi sumber ritual, spiritual, intelektual dan juga peradaban,” tutur Dr Hamid dengan tegas.

Proses Kehancuran

Malek Bennabi, sejarawan Muslim asal Aljazair merumuskan proses jatuh bangunnya sebuah peradaban. Malik bennabi membahagikan umur peradaban menjadi tiga tahap; tahap spiritual (spiritual stage), tahap rasional (rational stage), dan tahap naluri (instinctive stage).

Malik Bennabi yang telah meninggal pada tahun 1973 percaya, bahawa faktor spiritual lah yang memberikan kesempatan kepada manusia untuk tumbuh dan maju. Ketika spiritual hilang, maka peradaban pun akan jatuh dan tumbang.

Tiada ada yang lebih kuat mengawal manusia daripada kekuatan spiritual yang ada dan berkembang dalam dirinya. Dan ketika kekuatan spiritual ini lemah, maka rational stage akan melahirkan tahapan baru iaitu instinctive stage. Semua digerakkan oleh nafsu, dan semakin besar sebuah nafsu berkuasa, maka semakin cepat peradaban manusia musnah.

Betapa sedihnya kita. Tahapan pertama belum kita tata, tetapi kehidupan kita sudah dibelenggu oleh nafsu dan syahwat yang menggelora. Kita belum lagi menjadi makhluk yang berspiritual tinggi. Kita belum mampu mengolah kehidupan dengan teknologi canggih, seperti halnya negara-negara maju. Tetapi kita sudah terjebak oleh kehidupan naluri yang tidak terkendali.

Sejarah Tamadun Dunia

Kemajuan dalam teknologi moden dan kekayaan kebendaan tidak akan menjamin kelangsungan sebuah peradaban. Lihat sahaja Mesir yang telah hidup dengan peradabannya yang sangat tinggi pada tahun 2300 sebelum Masehi. Pada zamannya, Mesir telah mampu menentukan waktu musim tanam dan meramalkan kemarau panjang. Para intelektual Firaun telah mampu merancang sistem pengairan dengan memanfaatkan Sungai Nil jauh sebelum Colombus, penemu Amerika itu lahir. Mereka menyusun piramid dengan sistem struktur presisi dan seni yang tinggi. Malah sehingga kini, susah di cari teknologi untuk menandinginya.

Namun kehancuran tidak boleh dihindarkan. Kecanggihan teknologi, kekayaan ekonomi dan kekuatan pemikiran tidak mampu membendung kebinasaan yang memang telah menjadi takdir ketika sebuah peradaban telah dijajah oleh hasrat syahwat. Ketika Firaun berkata, “Akulah Tuhan yang Maha Mulia.” Maka peradaban Mesir memasuki gerbang kehancuran.



Begitu juga Petra yang hingga kini masih dapat ditonton bekas pahatannya di lembah Rom, Jordan. Sisa kejayaan kaum Nabatean itu masih kukuh berdiri, menunjukkan betapa canggihnya teknologi kejuruteraan yang mereka kuasai. Petra diambil dari bahasa Yunani yang beerti batu. Dan ini adalah simbol pertahanan yang paling kuat yang pernah ada di muka bumi. Mereka membangun sistem pengairan yang canggih sekali gus sangat kompleks dalam kota yang memahat gunung-gunung batu dan mengalirkan air bersih bahkan sampai ke bilik. Mereka membangun sistem hidrolik untuk mengangkat air dan mencegah banjir. Mereka juga membangun sebuah teater yang mampu menampung 4000 orang pada zaman itu, zaman ketika manusia belum banyak jumlahnya.

Mereka bukan sahaja mengingkari, malah mereka membunuh unta Nabi Salleh yang seharusnya mereka jaga. Maka tiada balasan lain kecuali kebinasaan. Padahal mereka telah dikurniakan kemampuan yang tinggi oleh Allah Swt. agar lebih bersyukur kepada-Nya.

Tetapi justeru kerosakanlah yang mereka bangunkan. Mereka menternak dosa dan kezaliman. Lalu Allah menghancurkannya dengan gempa, juga sambaran petir yang mematikan. Dan tidak ada yang ditinggalkan dalam keadaan hidup.

"Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Rabb mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.” (QS Huud: 68)




Penyelesaian

Mungkin hari ini Allah tidak mengirimkan laut yang menggulung pemimpin-pemimpin yang zalim. Mungkin hari ini, Allah tidak lagi memerintahkan gempa dan petir untuk memusnahkan kaum yang derhaka. Tetapi percayalah, Allah memiliki seribu satu cara yang tak pernah difikirkan manusia. Kadang cara itu bernama krisis minyak dunia. Kadang cara itu bernama harga bahan makanan global yang kian menjulang. Lalu menyerbu negeri-negeri yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat dengan krisis multidimensi yang tidak mampu mereka selesaikan sendiri, kecuali dengan pertolongan Allah.

Pemikir Muslim yang telah terjerat dengan pemikiran Barat sering mengatakan bahawa idea al-Ghazali yang mengajak umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Hadith, adalah idea mundur yang tidak membawa kemajuan. Bahkan serangan al-Ghazali pada dunia falsafah buta dan kekuatan rasional manusia sering dianggap sebagai pemicu kemunduran peradaban Islam. Padahal pada masa itulah, abad ke-10, Islam sedang berada di puncak kejayaannnya hingga melahirkan Ala Al-Din Abu'l-Hasan Ali Ibn Ibrahim Ibn al-Shatir yang kelak karyanya memberikan inspirasi pada Copernicus dalam perjalanannya menemukan teori heliosentrik.

Sudah banyak sejarah yang membuktikan, bahawa ketika nilai-nilai mulia ditinggalkan, spiritual dan Al-Quran Sunnah di humban ke laut, yang terjadi hanyalah kehancuran. Bumikanlah Al-Quran, maka Allah akan melangitkan kehidupan manusia. Mengutip kata-kata dalam Zaharudin.net, ”jauhilah dari riba, hancurkanlah rasuah, hemat berbelanja wang PETRONAS dan negara, keutamaan dalam sektor pendidikan dan pembangunan manusiawi,..”. Kekuatan spiritual (SQ).

Kita bukan makhluk yang dengan gagah mengatakan cogito ergo sum (aku berfikir maka aku ada) seperti yang dikatakan Prof. Dr Rene Descartes. Kita adalah manusia yang dengan penuh rendah hati telah mengatakan, “Bahawa sesungguhnya solatku, hidupku, juga matiku untuk Tuhan penguasa alam semesta.”

Sekian

Ahmad Aizatnur Zakaria

www.msaidhawwa.blogspot.com

Rujukan

1. Khawarzimic Science Society
2. Wikipedia, The Free Encyclopedia
3. Hidayatullah.com
4. Zaharuddin.net
5. Utusan Online
6. Majalah Islam Sabili

Friday, June 13, 2008

Perlunya Umat Islam Kepada Suatu Sistem Pelajaran Baru



Nama Buku : Nahwut Tarbiatul Islamiah al-Hurrah / Ke Arah Pendidikan Islam yang Tulen
Pengarang : Syed Abul Hasan Ali An-Nadwi
Penterjemah : Abdul Kadeer Kahar
*artikel ini adalah kutipan secara langsung daripada perenggan-perenggan buku tersebut

MUQADDIMAH

Masalah pelajaran di dalam negara-negara Islam adalah merupakan suatu masalah yang unik dan tersendiri. Oleh kerana Islam itu sendiri adalah suatu umat yang unik dari segi watak (tabii) dan kedudukannya. Ia adalah suatu ummat yang memiliki prinsip dan aqidah, mempunyai ajaran-ajaran dan dakwah. Oleh sebab itu, sistem pengajarannya mestilah tunduk di bawah prinsip dan akidah ini, di bawah pengajaran dan dakwah ini. Pengajaran adalah merupakan alat untuk membina generasi-generasi yang beriman terhadap prinsip ini (Islam), generasi yang berpegang dengan akidah ini, yang mendokong risalah ini dan yang melaksanakan tugas-tugas dakwah ini. Setiap pengajaran yang tidak memenuhi tugas ini atau yang menyeleweng dari tanggungjawab ini serta mengkhianati amanahnya, maka ia bukanlah merupakan pengajaran Islam, sebaliknya ia adalah pengajaran asing. Pengajaran yang demikian sifatnya bukanlah merupakan pembinaan dan pengembangan tetapi sebaliknya adalah merupakan kehancuran dan pemusnahan. Adalah lebih baik bagi semua negara Islam menghindari dari sistem pendidikan ini serta lebih afdal baginya tidak mengambil apa-apa manfaat dari sistem tersebut. Buta huruf adalah lebih baik bagi sesuatu umat daripada memiliki sistem pendidikan yang menyeleweng tabiat semula jadinya dan ruh Islamiyyahnya.

Justeru itu, pendidikan Islam adalah suatu tugas penting dan sukar tidaklah semudah seperti yang dibayangkan oleh tokoh-tokoh pengajaran dan pendidikan di negara kita. Ia bukanlah semata-mata untuk mengajarkan ilmu dan teknik, mengajarkan bahasa ibunda dan bahasa-bahasa asing atau sekadar untuk memperkenalkan Eropah dan peradaban tempatan, tetapi sebenarnya ia adalah pembentukan suatu generasi yang baru, yang berbeza cara berfikir dan akhlaknya. Untuk tujuan-tujuan tersebut, tidak cukup hanya dengan menterjemahkan kitab-kitab, meminjam guru-guru dari luar atau mengadakan kuliah-kuliah dan universiti-universiti. Tidak juga sekadar menghantar para pelajarnya ke Eropah dan Amerika. Apa yang dikehendaki sebenarnya ialah kebijaksanaan dan daya kreatif bagi melahirkan buku-buku yang sesuai, pengajaran dan pendidikan Islam memerlukan suatu pengajian yang tertentu. Hingga kini belum ada sebuah negeri pun dari negeri-negeri Islam yang telah menjalankan sistem pendidikan yang sempurna. Apalah lagi negera-negara asing.

KE ARAH PENYUSUNAN SUATU SUKATAN PELAJARAN ISLAM

Mereka-mereka yang mendalami hakikat ilmu dan falsafah pendidikan ini mengetahui bahawa kitab atau buku-buku itu ada mempunyai ruh dan hati sama seperti haiwan-haiwan yang hidup. Inti dari ilmu tersebut, itulah yang menjalar di dalam kitab yang dibaca. Ada pun ilmu Islam itu ialah suatu ilmu yang dibentuk iman dan taqwa di dalam acuannya, yang mengalir di dalamnya ruh keimanan kepada Allah dan beriman dengan hari akhirat. Sementara ilmu-ilmu Yunani pula mengandungi khurafat-khurafat mereka yang bersifat jahiliyyah. Demikian juga ilmu-ilmu Eropah yang ada di dalamnya unsur-unsur ateis dan ilhad, hanya percaya kepada yang bersifat kebendaan sahaja, kepada apa yang dapat dibuktikan adanya di dalam percubaan-percubaan mereka; ruh yang seperti menjalar di dalam ilmu falsafah, syair-syair atau cerita-cerita mereka.

Oleh yang demikian amatlah tidak bijak menyuruh atau menasihatkan orang-orang Islam dari mengambil ilmu yang seperti itu, terutama untuk bahan-bahan bacaan tunas-tunas muslim yang baru muncul. Sepatutnya hendaklah disusun semula semua buku-buku tersebut mulai dari peringkat awal lagi menurut cara Islam, yang tersirat di dalamnya ruh Islam, yang akan mengeluarkan jiwa yang tidak menentang Islam. Sebaliknya menolong agama di dalam menanamkan keyakinan dan keimanan kepada pelajar-pelajarnya. Begini jugalah sepatutnya ruh yang terkandung di dalam buku-buku geografi, sejarah dan sains, semuanya itu harus berhubungan dengan agama dan meresapkan pengajaran agama.

Kita di negara-negara Islam kini amat berkehendakkan kepada suatu sistem pengajaran dan pendidikan Islam dalam ruh dan pendekatannya, semua buku-buku mengajarkan ilmu-ilmu mulai dari dasar ilmu bahasa hinggalah kepada buku-buku sains atau kesusasteraan Inggeris sekalipun hendaklah berisi ruh agama dan iman. Ini sekiranya kita berkeyakinan untuk membentuk suatu generasi baru yang berfikiran dengan pemikiran Islam, yang menulis dengan pena Islam dan mentadbirkan negara berdasarkan perjalanan muslim, mengorganisasi polisi pelajaran dan kewangan dengan pandangan dan kemampuan seorang muslim. Dengan cara begitu terdirilah sebuah kerajaan Islam dalam politik, ekonomi dan sistem pelajarannya.

Justeru yang demikian mencipta suatu sukatan pelajaran adalah sebahagian dari keperluan-keperluan negara Islam yang utama yang tidak patut dilupakan dan diabaikan. Itu adalah suatu tugas besar yang mengambil waktu yang panjang, bukan suatu tugas bersendirian atau kerja satu golongan kecil manusia sahaja. Sebaliknya ia adalah merupakan suatu usaha yang mesti dipelopori dan dijayakan oleh satu jamaah atau beberapa komiti atau badan-badan ilmiah dengan dokongan dan galakan dari kerajaan Islam sendiri. Semua tugas-tugas ini diserahkan kepada jamaah atau badan-badan yang berkeahlian di dalam bidang masing-masing.

IMPLIKASI PELAKSANAAN SISTEM PENGAJARAN BARAT DI NEGARA-NEGARA ISLAM

Adalah suatu yang tidak asing lagi bagi para sarjana pendidikan bahawa sistem pengajaran ini ialah ruh dan hati, seperti makhluk yang hidup ada mempunyai ruh dan hati. Adapun ruh kepada sistem pendidikan dan pengajaran ini bernaung di bawah akidah penciptanya, ia mengikut tujuan dan cita-cita mereka terhadap konsep ilmu dan hidup. Ia akan mencerminkan akhlak mereka, dan itulah yang dihasilkan oleh sistem tadi –pembentukan peribadi ruh dan hati. Ruh itulah yang kemudiannya mengalir di dalam tubuh badan pelajar-pelajarnya. Bukan setakat itu sahaja malah ia diserapkan ke dalam semua ilmu-ilmu yang diajarkan, di dalam sastera dan falsafah, di dalam sejarah, di dalam kesenian dan lain-lain; sehinggalah ilmu politik dan ekonomi, semuanya bersemangat menurut falsafah pencipta dan penggubalnya (iaitu Barat).

Tidaklah ada kemampuan semua orang untuk membezakan di antara yang benar dan tidak benar –di dalam falsafah pendidikan itu- kerana kemampuan seperti itu hanya terbatas kepada ahli fikir sahaja, kepada para kritikus ilmiah yang kuat dan tajam perhatiannya dalam membezakan manakah satu yang berguna –dalam sistem pendidikan Barat itu dan mana pula yang tidak berguna. Hanya mereka sahajalah yang berkemampuan untuk membeza-bezakannya, iaitu mengambil yang jernih dan membuang yang keruh, mengambil yang asal dan membuang yang mendatang.

Kerja-kerja mengenali mana-mana yang berguna dan tidak berguna itu senang sahaja diketahui dalam ilmu sains amali sahaja, sedangkan ia sukar diketahui dan amat halus wujudnya dalam ilmu sastera dan falsafah, dan demikian juga ilmu yang lain. Lebih-lebih lagi umat itu beriman dengan suatu akidah yang tertentu, dan telah mempunyai falsafah hidupnya sendiri, mempunyai cara hidup dan sejarah masa lampau yang tersendiri, yang sejarah itu bolehlah dikira sebagai pedoman dan penunjuk bagi generasi yang akan datang.


Keperibadian Rasulullah s.a.w dan zamannya adalah dikira sebagai contoh dan tauladan yang tertinggi bagi kehidupan manusia, tiada sebarang kehidupan yang mengatasinya. Sekiranya inilah yang menjadi sifat umat Islam itu ia terbentuk di atas asas sistem pengajaran umat yang berbeza asas dan yang lain akan berlakulah di sana satu pertentangan yang tidak putus-putusnya dalam semua peringkat yang dilalui oleh umat itu. Yang satu akan membina dan yang satu lagi meruntuhkannya. Yang satu membenarkan sedang yang satu lagi mendustakannya. Dalam suasana seperti ini berlakulah pertentangan fikiran, wujudlah kegoncangan dalam akidah dan penyelewengan beragama. Dan akhirnya berlakulah penerimaan kepada nilai-nilai fikiran baru menggantikan pemikiran masa lampau, sedangkan hal itu adalah suatu perkara tabi’e di masa yang lama akan digantikan oleh yang baru.

Penggantian itu bukanlah kerana ada suatu hasrat yang baik, atau ada suatu pergerakan berlaku atau kerana suatu keyakinan oleh pihak penguasa, tetapi ia sesuatu yang mesti berlaku hasil daripada falsafah pendidikan itu – ia adalah ibarat sepohon pokok yang tumbuh dan membesar menurut peraturan dan proses-proses yang biasa baginya, berbuah pada jangka masa tertentu. Manusia boleh tidak menanam pokok itu, tetapi manusia tidak berupaya menghadap pokok yang telah berbuah dan subur, atau manusia tidak berkuasa untuk memaksakan agar pokok itu membuahkan sesuatu yang bukan buahnya.

Itulah sistem pengajaran Barat. Ia mempunyai ruh yang tersendiri, mempunyai dhamir tersendiri terpancar pada sistem pengajarannya, bentuk akidah penciptanya, otak penggubalnya, dan itu adalah natijah dari kemajuan yang mereka capai dari beberapa ribu tahun yang lalu. Sistem pengajaran mereka adalah sebagai gambaran pemikiran orang-orang barat, keseluruhan kekuatan dan nilai diri mereka.

Maka apabila sistem itulah yang hendak dilaksanakan di dalam negara-negara Islam, atau masyarakat Islam, berlakulah di sana beberapa percanggahan fikiran, kemudian diikuti oleh kegoncangan akidah, menolak pemikiran agama dan akhirnya murtad dari agama. Itu adalah suatu peraturan alam bagi sesiapa yang mengikutinya, melainkan orang-orang tertentu yang telah dipelihara oleh Tuhan-Nya.

Seorang orientalis termashyur bernama H.A.R Gibb dalam bukunya bernama ‘Wither Islam’, mengungkapkan :

“Bahawa sejauh mana pembaharuan dan rasa keInggerisan di timur adalah bergantung kepada kadar sistem pelajaran Barat itu dilaksanakan, dan sejauh mana pula ia menguasai masyarakat Islam.”

Katanya lagi:

“Dan cara sebenar untuk menghukum sejauh mana pembaratan dan penginggerisan itu berjaya dilaksanakan adalah bergantung kepada setakat mana berjalannya sistem pelajaran itu menurut cara Barat, dasar-dasar Barat, dan pemikiran Barat… Inilah dia satu-satunya jalan dan tiada jalan lain lagi. Kita sebenarnya telah melihat peringkat-peringkat yang telah dilalui anak-anak Islam hasil ciptaan Barat di dunia Islam. Dan kita telah melihat sejauh mana kesannya terhadap pemikiran ketua-ketua negara dan sebahagian kecil dari pemimpin-pemimpin agama.”

Menurut pemerhatian Gibb bahawa aktiviti pelajaran dan kebudayaan (melalui sekolah-sekolah dan surat khabar) telah meninggalkan kesan yang jelas kepada umat Islam, tanpa mereka sedari mereka telah menjadi orang-orang yang tidak beragama; “dan itulah sebenar natijah yang dihasilkan oleh usaha-usaha Barat untuk mempengaruhi dunia Islam menurut kemajuan-kemajuan yang diciptakan”.

PERLUNYA UMAT ISLAM KEPADA SUATU SISTEM PELAJARAN BARU

Penyelesaian kepada masalah ini sekalipun sukar dan berliku-liku serta berharapkan kepada ketekunan dan kesabaran, namun ia terpaksa diatasi dengan membentuk suatu sistem pelajaran yang baru yang bersesuaian dengan akidah umat Islam dan dasar-dasar hidupnya, tujuannya dan kepentingan-kepentingannya, dan mengeluarkan dari dalamnya semua ruh-ruh kebendaan, membersihkannya dari semangat menentang hukum-hukum Allah. Di samping mengadakan suatu revolusi pemulihan akhlak. Membersihkan penyembahan terhadap benda, dan meniupkan ruh takwa dan kembali kepada Allah dan penentuan hidup di akhirat, belas kasihan sama manusia seluruhnya. Pembersihan pemikiran Barat dari ilmu bahasa, sastera, falsafah, ilmu jiwa, ilmu pembangunan ekonomi, dan politik semua ini hendaklah dikuasai dan diletakkan di bawah ruh ilmu-ilmu yang membanteras pengaruh Barat terhadap pemikiran umat dan menentang kepimpinan dan ketuanannya.

Demikianlah juga segala ilmu-ilmu Barat dan teori-teorinya dijadikan sebagai topik-topik yang akan dipelajari dan dikaji secara bersungguh-sungguh, diterangkan kepada anak-anak Islam kenapa ia merupakan satu jenayah orang-orang Barat dan bagaimana ia boleh menguasai manusia dan tamadunnya. Segala ilmu-ilmunya sekalipun diletakkan di suatu makmal kajian, tetapi ilmu itu mestilah dipelajari dengan penuh keberanian dan kebebasan. Ia dikira sebagai bahan mentah yang masih boleh kita buat apa yang kita kehendaki sesuai dengan keyakinan akidah kita dan kebudayaan kita.

Tugas ini sekalipun menemui beberapa rintangan dan kesulitan dalam melaksanakannya dan sekalipun mereka itu mengambil masa panjang untuk melihat natijahnya. Tetapi itulah satu-satunya cara penyelesaian bagi menghadapi trend taghut yang telah menajisi dunia Islam dari Timur ke Barat. Trend pembaharuan dan pembaratan yang mencabar alam pemikiran Islam dan penyusunan masyarakatnya. Ia terus menerus menjadi ancaman terhadap kehidupan dan kewujudan umat ini.

Natijah dari sistem pelajaran yang ditekankan kepada kanak-kanak Islam itu akhirnya akan menjadikan semangat mereka, pengorbanan mereka, keikhlasan dan kesetiaan mereka (yang kesemua ini adalah sebagai asas secara langsung untuk menegakkan negara Islam dan membebaskan negara-negara terjajah) malap berhadapan dengan kemaraan api pembaharuan pembaratan, akhirnya mereka diheret ke mana sahaja oleh Barat secara tidak mereka sedari.

Sesungguhnya itulah rahsia kejayaan kerajaan Inggeris di India, iaitu dengan meneruskan wujudnya ketua-ketua, pegawai-pegawai tinggi dan hakim-hakim yang terdidik dengan pendidikan Barat tulen, mereka menjadi orang-orang yang taat. Mereka paksakan peraturan dan perundangan Barat untuk negeri ini, hal berlangsung terus hingga seratus tahun menurut kehendak tuan-tuan mereka dari negara asing itu, dan menurut fikiran dan kebudayaan mereka. Oleh itu jalan untuk mengubah negara-negara Islam dari terbiar, yang akan menghanyutkannya sekarang ialah dengan kembali semula hidup secara Islam, dan mementingkan pengajaran dan pendidikan Islam terhadap anak-anak Islam, kerana peringkat mereka inilah yang akan memerintah negara pada masa hadapan. Justeru yang demikian sistem pelajaran hendaklah kita perbaiki kerana mereka akan keluar menurut apa yang telah kita ajukan. Perubahan menyeluruh terhadap sistem pelajaran ini dan membentuk generasi muslim adalah suatu yang mesti dilakukan, tetapi ia berkehendakkan waktu yang panjang dan persiapan-persiapan yang cukup.

PENUTUP


Pendidikan ialah suatu pakaian yang boleh membezakan bentuk dan rupa bangsa dan tradisi zaman berzaman yang diwarisi mereka. Demikian menurut pemimpin-pemimpin yang curiga dan curiga terhadap keperibadian dan kewujudan negara mereka. Ia juga membentuk adab kesopanan, membentuk cita-cita untuk berkhidmat terhadap bangsa dan negara dan bersedia mati kerananya. Pendidikan itu adalah sebagai suatu pakaian yang semestinya sesuai dengan udara dan suasana sekeliling di mana ia hidup, sesuai dengan adab dan kebebasan yang menyelubunginya, sesuai dengan sejarah dan segala perkara-perkara utama yang menjadi contoh dan kebanggaan bangsanya.

Kita sebagai umat Islam lebih utama lagi berbuat demikian. Kita mempunyai akidah yang dibawa oleh Nabi yang terakhir, kita umat dari agama yang suci yang tidak ada campur tangan manusia di dalam peraturan dan pengajarannya. Agama yang tidak tunduk kepada perubahan dan kemajuan yang dialami oleh manusia seperti agama-agama lain yang tunduk dan menyerah diri kepada perubahan dan kemajuan yang dialami oleh manusia seperti agama-agama lain yang tunduk dan menyerah diri kepada perubahan zaman dan masyarakatnya iaitu seperti yang jelas terbukti kepada perkembangan agama-agama itu sendiri, yang tidak dapat mempertahankan akidah dan keyakinan agamanya yang asal, yang tidak dapat membezakan di antara iman dan kufur. Tetapi agama yang kita anuti adalah suatu agama yang tegas, jelas dan tidak ada tolak ansur pada masalah-masalah yang bersifat prinsipal. Jika dalam agama mereka tidak jelas pemisahan antara iman dan kufur, tetapi dalam agama kita hal itu jelas dan ada batas-batasnya, tidak siapa pun dapat mengubahnya walau besar mana pengaruh peribadi dan kedudukannya. Tidak juga akan berubah dasar-dasarnya oleh kerana hendak meraikan muslihat-muslihat (maslahah) yang tertentu walau besar sekalipun muslihat itu. Agama yang lain itu lembut dan cair dan kabur. Sementara agama Islam ialah suatu agama yang jelas bentuk keperibadiannya dan ada batas-batasnya.

Oleh yang demikian maka kitalah sepatutnya yang lebih merasa cemburu terhadap akidah kita agar terpelihara baik. Keperibadian kita ialah Islam, cita-cita kita ialah untuk kesejahteraan kemanusiaan, demikianlah dalam tiap-tiap perkara yang kita lakukan atau kita tinggalkan. Kita adalah lebih utama dari lain-lain bangsa di dunia memakai pakaian Islam, mengikut dasar pendidikan dan pelajaran Islam dan menerapkan Islam ke dalam bidang ilmu pengetahuan. Kitalah sepatutnya yang lebih kuat mematuhi asas –asas agama yang menjadikan agama sebagai cita-cita sesuai dengan kemudahan yang Allah berikan kepada kita. Dan yang Allah perintahkan kita menyampaikan kepada manusia seluruhnya di sepanjang masa seperti mana yang difirmankan oleh Allah:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali Imran : 110)

Dan firman Allah lagi:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.” (Al-Baqarah : 143)

Dari ayat ini tidak boleh sama sekali kita mengambil sistem pendidikan Barat itu, malah ilmu dan kesusasteraannya, manhaj dan teori pendidikannya semua itu bukan untuk ikutan dan contoh kepada umat Islam.

Perkembangan-perkembangan ilmu di zaman terakhir ini yang lahir di Timur dan di Barat hendaklah diambil oleh umat Islam dan disesuaikan dengan cara hidup, cara berfikir dan perilakunya. Ada di antara ilmu-ilmu itu berhubung dengan anasir-anasir tempatan atau faktor-faktor semasa, maka itu kita jadikan sahaja sebagai suatu pengalaman dari percubaan-percubaan yang seterusnya. Salah dan betul, berjalan dan jatuh dan seterusnya, sekadar itu sahaja ilmu itu kepada kita, dan kita tidak mengambil sains dan sasteranya tidak mengambil bahasanya bulat-bulat begitu sahaja lalu dijadikan hak kita tanpa mengubahsuai dengan kehendak hidup agama kita. Kita mengambil semua ilmu-ilmu Timur dan Barat itu sebagai bahan mentah yang akan kita proses sendiri menurut suka kita. Kita akan menghindarkan dari ilmu-ilmu yang kita ambil itu segala anasir-anasir ilhad, kemerosotan akhlak dan membuang segala yang tidak berguna dan bertentangan dengan agama kita, sehingga jadilah ia suatu bahan bersih yang kita makan yang akan menambahkan iman kita kepada Allah dan menambahkan pandangannya dan penyelesaian mendalam terhadap alam yang diciptakan oleh Allah, iaitu sebagai suatu asas keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Pelaksanaan dasar pendidikan dan pelajaran itu nanti adalah satu percubaan terbesar di dunia Islam hari ini bagi menyelesaikan masalah masa kini, di mana wujud pertelingkahan antara ilmu dan agama, wujud pertentangan di antara golongan terpelajar duniawi dengan sebilangan besar orang mukmin.

Sistem pendidikan dan pelajaran ini tidak sahaja menjadi impian kepada umat yang telah maju dan mempunyai kesedaran yang tinggi tetapi juga untuk menjadi wasilah. Manusia pada awalnya melihat kepada segala yang ada, dan menjadikan segala benda-benda yang dilihatnya itu sebagai tujuan dan matlamat. Kemudian setelah akal manusia meningkat dan menempuh berbagai-bagai pengalaman, jadilah pelajaran itu sebagai wasilah untuk mencapai matlamat. Tidaklah ganjil jika satu masa dahulu pandangan kepada pendidikan dan pelajaran serta mendirikan sekolah-sekolah, markas-markas kebudayaan, perpustakaan-perpustakaan dan jabatan-jabatan penerangan sebagai satu tujuan, pemikiran seperti ini pada permulaannya wujud meluas menguasai Timur. Apabila kita mengetahui bahawa sebilangan besar dari rakyat telah pandai menulis dan membaca dan apabila kita telah berjaya mendirikan sekian banyak sekolah-sekolah dan kolej-kolej di dalam negara, kita merasai bahawa kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab, dan kita telah berjaya.

Akan tetapi Barat yang mengambil berat terhadap bidang pendidikan dan pelajaran ini, yang telah berjaya menguasai perkembangan ilmu itu di zaman terakhir ini, dan telah masyhur bahawa sebahagian besar dari negera-negara Barat itu menjadi negara ateis, ilhad dan sekular, tidak melihat bahawa sistem pelajaran, pendidikannya dan perancangan pembelajarannya hanya untuk menjadi sebagai alat untuk mengajar membaca dan menulis sahaja, atau menyampaikan maklumat yang bermacam. Tetapi sebaliknya, Barat melihat pelajaran dan pendidikan adalah sebagai suatu jambatan yang menghubungkan di antara generasi baru dan yang lama, dan di antara dahulu dan sekarang.

Mereka juga mengira bahawa ada hubungan di antara semua mata pelajaran itu dengan akidah, malah memperkuatkan akidah (barat yang sekular) dengan ilmu-ilmu dan mantik dan bolehlah dianggap sistem pelajaran yang telah memakan sejumlah besar kekayaan negara dan mendapat keutamaan dari lain-lain perkara sebagai suatu kerja pembentukan dan pembinaan masyarakat, bukan rencana merosakkan dan melemahkannya. Ia merupakan suatu alat yang kukuh untuk menghubungkan di antara peribadi dan masyarakatnya bukan menjadikannya sebagai perantaraan untuk memperoleh kekayaan atau untuk melahirkan kekacauan jiwa dan meruntuhkan sendi-sendi kekuatan ummah.

Oleh itu hendaklah kita membuat satu penilaian sebenar dan menghukum sistem pengajian dan konsep peradaban Barat itu dengan betul dan teliti, iaitu berdasarkan kepada pengalaman dan hakikat sebenarnya. Janganlah kita melihat kemajuan Barat itu sebagai satu-satunya ubat, dan janganlah sampai kita mensucikannya sebagai satu-satunya tauladan yang baik. Hendaklah kita memastikan dasar-dasarnya yang hendak kita ambil itu tidak ada yang mendatangkan kemudaratan dan kerosakan umat. Tidak ada unsur-unsur ilhad dan kesesatan di dalamnya, tiada unsur-unsur menghalalkan segala yang diharamkan dan mengharamkan segala yang dihalalkan. Dalam mengambil sistem pelajaran Barat itu hendaklah kita sesuaikan dengan asas peradaban dan keperibadian Islam, dan demikian juga dengan watak-watak kita sebagai orang Arab. Sistem itu kita tundukkan dengan risalah kita yang universal dan abadi dan kita jadikan ianya sebagai kekuatan kita.

Dan firman Allah:

“Tiada paksaan dalam agama.”

Sejarah Islam tidak mengenali apa yang dikatakan sebagai (pengintipan dan penyeksaan) seperti yang berlaku di eropah pada kurun-kurun kegelapan. Dalam Islam bagi tiap-tiap orang ada kebebasan memilih fikiran mana dan pendapat mana yang disetujuinya, tetapi tidak dibenarkan sama sekali menaburkan bibit kehancuran, kelemahan dan hilang kepercayaan kepada dasar-dasar dan asas-asas Islam. Dan juga tidak diizinkan menyertai dakyah untuk menimbulkan permusuhan dan juga tidak dibenarkan membentuk ketumbukan tentera-tentera Islam di negara Islam, dan tidak dibenarkan menyebarkan mana-mana dakwah selain dakwah Islam. Sesiapa yang tidak suka dan tidak senang hati kepada Islam dan nabi s.a.w., dan tidak pula mahu tunduk kepada pimpinan dan pengajarannya mereka dikira sebagai tidak Islam. Sesiapa yang beriman dengan falsafah-falsafah asing dan merasakan itulah yang lebih diyakini, maka tidak ada tempatnya di dalam masyarakat Islam. Dari itu tidak harus diberikan kepadanya peluang untuk membuat pengarahan-pengarahan kepada akal fikiran dan pendidikan jiwa, dan tidak boleh tampil untuk membentuk dan mengacu hati dan jiwa pemuda-pemuda muslim. Kerana itulah sebenarnya perbendaharaan dan kekayaan yang paling berharga kepada dunia Islam. Dan tidak sepatutnya ia dibentuk oleh orang-orang yang tidak selari fahamannya dengan akidah dan dakwah Islamiyah, sedangkan akidah Islam itu suatu ciri khusus di mana umat Islam itu berdiri dan hidup semenjak seribu tahun yang lalu.

Sumber: Abdul Rauf Baharuddin