Friday, February 8, 2008

BEKAM: Sunnah Nabi & Mukjizat Medik [Siri1]

Alat Hijamah/Bekam Moden

Sunnah Qauliyyah dan Nasihat Penghuni Langit

Sebelum saya memulai memberikan penjelasan mengenai BEKAM: Sunnah Nabi & Mukjizat Medik di Madrasah Said Hawwa Research Foundation ini, saya akan mengulang pertanyaan yang di lontarkan oleh Syihab Al-Badri Yasin dalam bukunya kepada para pembaca.

“Apakah anda pernah mendengar istilah bekam?”

“Apakah anda pernah di bekam?”

Berbahagialah apabila anda menjawab, “Pernah”. Sebab dari questioner yang ditujukan secara rawak kepada kaum muslimin menunjukkan bahawa yang belum mendengar istilah bekam (atau istilah bekam yang sejenis) adalah sebanyak 80% sedangkan yang belum pernah di bekam adalah 90%.

Saya menghadirkan di hadapan anda sebuah khazanah terpendam dan mutiara tersembunyi, sunnah yang semakin dilupakan banyak umat islam. Penyembuh kepada segala penyakit dengan izin Allah.

Islam Ajaran Yang Syumul

Islam adalah ajaran yang lengkap lagi komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam islam. Hal ini dinyatakan Allah dalam surah al-Maidah ayat 3:

“Pada hari ini aku sempurnakan agamamu dan aku sempurnakan nikmat ku ke atas mu dan aku redhai islam menjadi agamamu”.

Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan Al-Banna berkata:

“Ajaran islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah Negara dan watan atau pemerintah dan umat. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Di samping itu, islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah.”

Oleh itu, kesyumulan islam juga merangkumi dalam bidang perubatan. Ternyata, kaum muslimin jarang sekali yang mahu mendalami ilmu perubatan warisan Nabi SAW yang sangat lengkap. Antara sebahagian perubatan warisan Nabi yang dilupakan adalah bekam. Dunia barat pada hari ini telah melakukan pelbagai penelitian dan pembuktian saintifik terus-menerus yang akhirnya mereka terapkan dalam kehidupan seharian. Walaupun mereka tidak menamakannya sebagai bekam tetapi mereka tetap memakai prinsip kerja bekam yang sama. Menyedut darah, mengumpulkannya dan mengeluarkannya. Sudah tentu dengan teknik dan teknologi yang lebih canggih. Hingga muncullah ahli bekam dari Negara barat seperti DR. Michael Reed Gach dari California dengan bukunya Potent Poins, a Guide to Self Care For Common Ailments atau penelitian Kohler D (1990) dengan bukunya The Connective Tissue as The Physical Medium for Conduction of Healing Energy in Cupping Therapeutic Methode.

Ketika kaum muslimin mengetahui hal ini, mereka terhairan-hairan dan mengagungkan bahawa itulah methode perubatan barat yang canggih. Padahal ia adalah ilmu yang mereka tinggalkan dan diserahkan kepada barat. Imam Syafie pernah berkata sebagai menyayangkan pengabaian umat islam terhadap ilmu perubatan:

“Mereka (kaum muslimin) mengabaikan sepertiga ilmu dan menyerahkan kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani.”

Saya telah menghimpun sejumlah hadith Nabi Muhammad SAW daripada sebuah buku karangan Syihab Al-Badri Yasin yang bertajuk ”Al-Hijamah Sunnah Nabawiyah wa Mu’jizah Thoyyibah”. (Peneliti amat menggalakkan kepada para pembaca supaya membaca tulisan beliau). Justeru, saya mendapati bahawa Rasulullah SAW telah lama mengajarkan kepada kita mengenai ilmu perubatan yang efektif hampir 1400 tahun yang lalu. Suatu therapy yang mempunyai khasiat penyembuhan yang sungguh luar biasa dan hanya terungkap pada sekitar abad ke 20.

Sunnah Qauliyyah dan Nasihat Penghuni Langit

Hadith Pertama:

Diriwayatkan dalam Shohih Bukhari, Said bin Jubair berkata dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

”Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara. Pertama minum madu. Kedua, dengan pembekaman. Ketiga, dengan besi panas, dan aku tidak menganjurkan ummatku melakukan pengubatan dengan besi panas” (Shohih Bukhari)

Hadith Kedua:

Dari Jabir Bin Abdillah ra ia berkata, saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda:

”Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak suka berubat dengan ’kay’ ” (Shohih Bukhari)

Hadith Ketiga:

Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Mas’ud dan riwayat Baihaqi:

”Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisra’kan, kecuali mereka berkata, ’Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu agar berbekam!’ (Shohihul Jami’: 5671)

Hadith Keempat:

Tirmidzi meriwayatkan dalam Sunan-nya, dari Ibnu Mas’ud yang berkata:

”Rasulullah SAW suatu ketika bercerita tentang malam ketika beliau diisra’kan, bahawa beliau tidak berlalu pada satu kelompok malaikat pun kecuali mereka menyuruh beliau dengan mengatakan, ’Perintahkanlah ummatmu agar berbekam’

Ahmad juga meriwayatkan dalam musnadnya, sabda beliau, ”Ini (bekam) adalah sebaik-baik cara pengubatan yang digunakan oleh manusia” (Al-Bashriyyin : 19237, Shohih)

Hadith Kelima:

Rasulullah SAW bersabda, ”Sesungguhnya cara pengubatan paling ideal yang kalian pergunakan adalah hijamah (bekam) (Shahih Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadith-hadith di atas jelaslah kepada kita bahawa bekam merupakan perintah daripada Nabi Muhammad SAW. Bekam juga adalah terapi yang sangat dianjurkan oleh penduduk langit. Nasihat ini merupakan penghormatan para malaikat sebagai sambutan atas kunjungan Nabi SAW (orang yang dikunjungi wajib menghormati orang yang mengunjungi). Bekam adalah nasihat emas dari para malaikat yang berbakti kepada ”penghulu manusia” pada malam yang diberkati. Adalah sangat tidak masuk akal sekiranya ummat islam mengabaikan kaedah pengubatan yang langsung turun dari langit ini!

Imam Al-Ghazali berpendapat, yang dinukilkan dalam kitab Taysirul Fiqih lil Muslimil Mu’ashir oleh Dr Yusuf Qardhawi pada hal. 235-236:

”Al-Hijamah/Bekam adalah termasuk fardhu kifayah. Jika di suatu wilayah tidak ada seorang yang mempelajarinya, maka semua penduduknya akan berdosa. Namun jika ada salah seorang yang melaksanakannya serta memadai, maka gugurlah kewajipan dari yang lain”.

Dalil-dalil inilah yang menjadi green light bagi saya untuk terus menyelidik, mempelajari sekaligus mempraktikkan ilmu pengubatan bekam dalam kehidupan. Saya mesti mempelajari syariatullah dan sunnatullah. Pengkajian secara sistematik harus diteruskan kerana hanya selepas Quran & Sunnah difahami dan dihayati sahaja iman umat islam ini dapat meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan.

Saya perlu menyatakan bahawa terapi bekam adalah cukup sederhana iaitu pengumpulan darah dari kulit melalui hisapan pertama pada poin-poin istimewa dengan menggunakan alatan bekam. Kemudian penyayatan(tusukan) ringan dilakukan pada bahagian luar kulit, kemudian penghisapan sekali lagi, sehingga darah keluar dan terwujudlah kesembuhan dengan izin Allah.

Subhanallah.


Kaedah Mudah Terapi Bekam

Nantikan artikel selanjutnya, BEKAM: Sunnah Nabi & Mukjizat Medik [Siri2]. Bekam Menurut Perspektif Dunia Perubatan Moden.

Oleh

Ahmad Aizatnur Bin Zakaria.
Pelajar Tahun Dua.
Fakulti Pergigian.
Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Rujukan

  1. Al-Quran Terjemahan Syamil
  2. Al-Hijamah. Sunnah Nabawiyyah wa Mu’jizah Thoyyibah, Syihab Al-Badri Yasin
  3. Keampuhan Bekam. Pencegahan dan Penyembuhan Penyakit Warisan Rasulullah. Ust Fatahillah
  4. Teknik Bekam [Al-Hijamah] Tingkat Dasar, Pn. Hjh Siti Jawiyah (HPA Malaysia)
  5. Usul 20, Imam Hasan Al-Banna
  6. Methode Pengubatan Nabi (Thibbun Nabawi), Ibnu Qoyyim Al-Jauziyyah
  7. www.bestcuppingtreatment.com

2 comments:

Ahmad Saifuddin Amran said...

soalan cepu emas. adakah pembekaman sama seperti derma darah? prinsipnya seakan sama, mengeluarkan darah dari tubuh. cuma teknik berbeza. mohon pencerahan

Pemasaran & Jualan (01115099848) said...

Terima kasih banyak atas pertanyaannya yang sangat bagus.

Nantikan artikel selanjutnya... =)JZK