Sunday, June 15, 2008

Hancurnya Peradaban Tanpa Iman

“Apakah benar, politik dan ekonomi menjadi jaminan bertahannya sebuah Negara?”

“Apakah anda berfikir bahawa banyaknya kekayaan dan tingginya teknologi akan menyelamatkan sebuah bangsa dari kehancuran?”

Akhirnya pemimpin tanah air mengumumkan akan kenaikan harga minyak sebesar 40%. Harga petrol naik sehingga RM2.70 seliter dan diesel melonjak sehingga RM2.58 seliter. Ramai yang terkejut. Harga barang makanan sudah mulai lari, nyaris tidak terkejar oleh daya beli rakyat. Demonstrasi penolakan sudah mulai memanaskan diri. Tetapi kerajaan tetap pada pendirian menaikkan harga minyak meski harus mencekik leher rakyat sendiri. Alasannya, mahu mengurangkan kejutan ke atas sistem ekonomi negara. (rujukan)

Para penganalisa pun memberikan pembenaran. Jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak, ekonomi negara akan membengkak, nyaris meletus. Padahal hari ini, harga minyak mentah dunia sudah melebihi 120 dolar Amerika per barrel. Dan insya Allah, akan terus meninggi dan tidak pernah turun lagi. Dengan demikian, apakah negara tidak lagi mampu membela rakyatnya sendiri? Besar kemungkinan, alasan bahawa keuntungan PETRONAS akan di gunakan untuk masa depan negara dan juga anak-anak dan cucu-cucu kita adalah idea 'cerdik' Pak Pandir sahaja.

Apakah angka-angka dalam anggaran bajet ekonomi negara jauh lebih penting daripada nyawa rakyat Malaysia? Tentu sahaja keduanya memiliki hubung kait tetapi apakah pembelaan kita lebih untuk angka-angka daripada nyawa manusia? Hari ini kita dililit oleh sistem yang memaksa kita percaya, bahawa kecanggihan teknologi, kekayaan financial serta kehebatan kita dalam berpolitik yang menjamin segala bentuk keselamatan.

“Tanpa kekuatan ekonomi kita hanya makhluk yang lumpuh.”

“Tak mengendahkan strategi politik, kita hanyalah manusia yang tak beradab.”

“Tanpa kecanggihan teknologi kita hanya manusia yang buta.”


Begitulah kita hari ini dibuat percaya, bahawa nilai-nilai ekonomi, politik dan teknologi adalah segalanya.

Apakah kita tidak menyakini bahawa sumber minyak dimanapun ia keluar, hanya betul-betul keluar kerana kasih sayang Allah semata? Adakah kita tidak sadar bahawa yang mengeluarkan emas dari bumi juga adalah Allah Yang Maha Mulia? Pernahkah kita menghitung perkembangan ekonomi global dengan world-view rezeki sebagai makhluk Allah? Dan pertolongan serta kasih sayang Allah itu, turun dengan berkah hanya untuk orang-orang yang beriman.

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. " (QS At-Thalaq: 2 – 3)


Erti Sebuah Peradaban

Dr Hamid Fahmy Zarkasyi, Pengarah Center for Islamic and Occidental Studies mengatakan, cara pandang atau world-view manusia hari ini telah dikuasai oleh falsafah barat yang menyakini dengan meninggalkan agama nescaya manusia akan lebih maju dan bertamadun. “Sekularisasi adalah proses sub-ordinan nilai-nilai melampau (transcendent) yang memisahkan agama dari kehidupan. Agama dipinggirkan, dan manusia dengan segala hasil ciptaannya menjadi ukuran dalam kehidupan,”

Lalu Dr Hamid Fahmy menjelaskan konsep ideal seorang manusia dalam islam dengan mengerti makna kata din. Istilah din berasal dari da-ya-na atau dana yang memiliki mashdar dayn. Artinya adalah: Hutang.

“Manusia berhutang pada Tuhan yang harus dibayar dengan menyerahkan kehidupannya kepada Tuhan. Penyerahan kepada Tuhan sekaligus pengakuan bahawa Tuhan adalah Dzat yang Maha Agung,” jelasnya.

Lalu ia melanjutkan. Manusia dalam jumlah yang banyak dan berkelompok, selalu memerlukan seorang pemimpin, yang disebut dayyan. Pemimpin yang tentu saja memiliki karakteristik pasrah pada hukum-hukum Allah. Din diamalkan dan diterapkan oleh sebuah komuniti di dalam suatu tempat yang disebut madinah. Dari madinah inilah lahir dan muncul ciptaan-ciptaan manusia yang kelak disebut dengan peradaban atau tamaddun.

“Dengan rentetan seperti itu, maka seharusnya islam menjadi sumber ritual, spiritual, intelektual dan juga peradaban,” tutur Dr Hamid dengan tegas.

Proses Kehancuran

Malek Bennabi, sejarawan Muslim asal Aljazair merumuskan proses jatuh bangunnya sebuah peradaban. Malik bennabi membahagikan umur peradaban menjadi tiga tahap; tahap spiritual (spiritual stage), tahap rasional (rational stage), dan tahap naluri (instinctive stage).

Malik Bennabi yang telah meninggal pada tahun 1973 percaya, bahawa faktor spiritual lah yang memberikan kesempatan kepada manusia untuk tumbuh dan maju. Ketika spiritual hilang, maka peradaban pun akan jatuh dan tumbang.

Tiada ada yang lebih kuat mengawal manusia daripada kekuatan spiritual yang ada dan berkembang dalam dirinya. Dan ketika kekuatan spiritual ini lemah, maka rational stage akan melahirkan tahapan baru iaitu instinctive stage. Semua digerakkan oleh nafsu, dan semakin besar sebuah nafsu berkuasa, maka semakin cepat peradaban manusia musnah.

Betapa sedihnya kita. Tahapan pertama belum kita tata, tetapi kehidupan kita sudah dibelenggu oleh nafsu dan syahwat yang menggelora. Kita belum lagi menjadi makhluk yang berspiritual tinggi. Kita belum mampu mengolah kehidupan dengan teknologi canggih, seperti halnya negara-negara maju. Tetapi kita sudah terjebak oleh kehidupan naluri yang tidak terkendali.

Sejarah Tamadun Dunia

Kemajuan dalam teknologi moden dan kekayaan kebendaan tidak akan menjamin kelangsungan sebuah peradaban. Lihat sahaja Mesir yang telah hidup dengan peradabannya yang sangat tinggi pada tahun 2300 sebelum Masehi. Pada zamannya, Mesir telah mampu menentukan waktu musim tanam dan meramalkan kemarau panjang. Para intelektual Firaun telah mampu merancang sistem pengairan dengan memanfaatkan Sungai Nil jauh sebelum Colombus, penemu Amerika itu lahir. Mereka menyusun piramid dengan sistem struktur presisi dan seni yang tinggi. Malah sehingga kini, susah di cari teknologi untuk menandinginya.

Namun kehancuran tidak boleh dihindarkan. Kecanggihan teknologi, kekayaan ekonomi dan kekuatan pemikiran tidak mampu membendung kebinasaan yang memang telah menjadi takdir ketika sebuah peradaban telah dijajah oleh hasrat syahwat. Ketika Firaun berkata, “Akulah Tuhan yang Maha Mulia.” Maka peradaban Mesir memasuki gerbang kehancuran.



Begitu juga Petra yang hingga kini masih dapat ditonton bekas pahatannya di lembah Rom, Jordan. Sisa kejayaan kaum Nabatean itu masih kukuh berdiri, menunjukkan betapa canggihnya teknologi kejuruteraan yang mereka kuasai. Petra diambil dari bahasa Yunani yang beerti batu. Dan ini adalah simbol pertahanan yang paling kuat yang pernah ada di muka bumi. Mereka membangun sistem pengairan yang canggih sekali gus sangat kompleks dalam kota yang memahat gunung-gunung batu dan mengalirkan air bersih bahkan sampai ke bilik. Mereka membangun sistem hidrolik untuk mengangkat air dan mencegah banjir. Mereka juga membangun sebuah teater yang mampu menampung 4000 orang pada zaman itu, zaman ketika manusia belum banyak jumlahnya.

Mereka bukan sahaja mengingkari, malah mereka membunuh unta Nabi Salleh yang seharusnya mereka jaga. Maka tiada balasan lain kecuali kebinasaan. Padahal mereka telah dikurniakan kemampuan yang tinggi oleh Allah Swt. agar lebih bersyukur kepada-Nya.

Tetapi justeru kerosakanlah yang mereka bangunkan. Mereka menternak dosa dan kezaliman. Lalu Allah menghancurkannya dengan gempa, juga sambaran petir yang mematikan. Dan tidak ada yang ditinggalkan dalam keadaan hidup.

"Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Rabb mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.” (QS Huud: 68)




Penyelesaian

Mungkin hari ini Allah tidak mengirimkan laut yang menggulung pemimpin-pemimpin yang zalim. Mungkin hari ini, Allah tidak lagi memerintahkan gempa dan petir untuk memusnahkan kaum yang derhaka. Tetapi percayalah, Allah memiliki seribu satu cara yang tak pernah difikirkan manusia. Kadang cara itu bernama krisis minyak dunia. Kadang cara itu bernama harga bahan makanan global yang kian menjulang. Lalu menyerbu negeri-negeri yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat dengan krisis multidimensi yang tidak mampu mereka selesaikan sendiri, kecuali dengan pertolongan Allah.

Pemikir Muslim yang telah terjerat dengan pemikiran Barat sering mengatakan bahawa idea al-Ghazali yang mengajak umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Hadith, adalah idea mundur yang tidak membawa kemajuan. Bahkan serangan al-Ghazali pada dunia falsafah buta dan kekuatan rasional manusia sering dianggap sebagai pemicu kemunduran peradaban Islam. Padahal pada masa itulah, abad ke-10, Islam sedang berada di puncak kejayaannnya hingga melahirkan Ala Al-Din Abu'l-Hasan Ali Ibn Ibrahim Ibn al-Shatir yang kelak karyanya memberikan inspirasi pada Copernicus dalam perjalanannya menemukan teori heliosentrik.

Sudah banyak sejarah yang membuktikan, bahawa ketika nilai-nilai mulia ditinggalkan, spiritual dan Al-Quran Sunnah di humban ke laut, yang terjadi hanyalah kehancuran. Bumikanlah Al-Quran, maka Allah akan melangitkan kehidupan manusia. Mengutip kata-kata dalam Zaharudin.net, ”jauhilah dari riba, hancurkanlah rasuah, hemat berbelanja wang PETRONAS dan negara, keutamaan dalam sektor pendidikan dan pembangunan manusiawi,..”. Kekuatan spiritual (SQ).

Kita bukan makhluk yang dengan gagah mengatakan cogito ergo sum (aku berfikir maka aku ada) seperti yang dikatakan Prof. Dr Rene Descartes. Kita adalah manusia yang dengan penuh rendah hati telah mengatakan, “Bahawa sesungguhnya solatku, hidupku, juga matiku untuk Tuhan penguasa alam semesta.”

Sekian

Ahmad Aizatnur Zakaria

www.msaidhawwa.blogspot.com

Rujukan

1. Khawarzimic Science Society
2. Wikipedia, The Free Encyclopedia
3. Hidayatullah.com
4. Zaharuddin.net
5. Utusan Online
6. Majalah Islam Sabili

4 comments:

Anonymous said...

Salam

Bukan permasaalahan kemajua dunia yang perlu dipertikai. Bukan persoalan "Kecanggihan teknologi, kekayaan ekonomi dan kekuatan pemikiran tidak mampu membendung kebinasaan yang memang telah menjadi takdir ketika sebuah peradaban telah dijajah oleh hasrat syahwat. Ketika Firaun berkata, “Akulah Tuhan yang Maha Mulia.” Maka peradaban Mesir memasuki gerbang kehancuran." yang di paparkan di dalam artikel, antara contoh yang, yang perlu dirisukan. Ia lebih kepada kefahaman menghidupkan segala kerja yang kita jalankan di Dunia ini.

Tiada masaalah dengan kemajuan sains. Tiada masaalah dengan peradaban modern. Tiada kekurangan dengan materialism, per se. Kesemuanya hanya perlu dihidupkan, sebagai mana perlunya kita menghidupkan solat sebagai tiang Agama. Allah mengrah kita bersolah melalui AQ, tetapi pada masa ayng sama Allah mengancam orang bersolat, yang tidak mencapai tujuan. Begitu juga segala kerja lain. Allh mengarah kita membangunkan nega, tetapi bagaimana kita menghidup kerja p[embangunan itu yang perlu dipertiakai. Jang dipertikai pembangunan jasmani itu. Pertikaikan kenapa pembangunan jasmani itu datang tanpa pembangunan rohaninya sekali?

Unknown said...

Artikel yang menarik sahabat. Uh menggugah aku untuk berfikir banyak lagi tentang penyelesaian masalah dunia ini dengan Islam. Syukran dan teruskan!

Ahmad Saifuddin Amran said...

Ada benarnya kata En Sharudin tu. Rasulullah pernah bersabda kepada para sahabat ketika mereka meminta kebenaran untuk mengkacukkan kurma, "Kamu lebih tahu urusan duniamu".

Hadharah (kemajuan) itu tidak bermasalah, yang bermasalah adalah apabila ia tidak dibangunkan bersama nilai-nilai spiritual dan holistik.

Ekonomi adalah segala-galanya. Politik adalah segala-galanya. Teknologi adalah segala-galanya. Tapi atas dasar apa ia dibangunkan? Kalau atas dasar kapitalisme atau marxisme, sunnatullah itu tetap berlangsung. Negara akan maju, ekonomi akan meningkat. Tapi pada pandangan syariatullah, zero.

Tiada masalahnya kita menumpukan ekonomi, politik dan teknologi asalkan tidak dilupa syariatullah. Sunnatullah dan Syariatullah mestilah seiring kerana matlamat kita bahagia di dunia dan di akhirah.

Pemasaran & Jualan (01115099848) said...

maka kembalilah ke Era Mekah. Tarbiyah Akidah dan tauhid melalui halaqah dan usrah secara tuntas.

Perjalanan menuju Ustaziatul Alam..