Monday, June 9, 2008

Kubah Terbang Kebesaran Allah? (updated)



"Subhanallah, pokok itu rukuk!"

"MashaAllah telinga bayi ini membentuk perkataan 'Allah'"

"Inilah kuasa Allah, kubah boleh terbang dengan zikir"

Rata-rata Muslim memandang sesuatu fenomena ajaib sebagai tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Asal ada saja kalimah Allah di langit, di bulan atau di mana-mana saja, cukup mudah untuk mulut ini menjustifikasikannya sebagai kekuasaan Allah. Padahal yang dilihatnya cumalah satu imaginasi dalam kepala sahaja.

Mengapa saya mengatakan ia hanyalah imaginasi? Kerana imaginasi inilah yang membuat kita meleret-leret sehingga tapak selipar, kasut, tayar, logo susu F&N pun dikatakan menyerupai kalimah Allah sehingga menyusahkan pengeluar produk tersebut. Mengapa pula tidak kata itu sebagai kuasa Allah? Bukankah kalimah Allah itu berada di mana-mana bahkan di selipar?

Nabi Musa dan Bani Israel

Apabila diceritakan 'keajaiban-keajaiban' seperti ini, saya teringat kisah Nabi Musa dan Bani Israel yang banyak disebutkan Allah dalam Al-Quran. Berbeza dengan para sahabat dan umat Muhammad, Bani Israel perlu disajikan dengan pelbagai mukjizat barulah mereka mahu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, Musa A.S.

Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Fir'aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan (AQ 2:50)

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa". Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (AQ 2:56)

Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan. (AQ 2:60)

Tapi apakah dengan 'iman ajaib' ini membuat mereka menjadi manusia paling bertaqwa? Bahkan mereka juga adalah kaum yang membunuh para nabi dan mengubah isi kandungan kitab Allah.

Berbeza dengan para sahabat yang pernah disabdakan Rasulullah sebagai golongan terbaik, mereka tidak perlu dizahirkan dengan mukjizat-mukjizat untuk mereka melafazkan syahadah. Cukuplah dengan beberapa ayat dari Al-Quran (Saidina Umar) malahan satu kalimah (Saidina Bilal) sudah membuatkan mereka beriman dengan Allah dengan sepenuh hati.

Apakah Kebesaran Allah?

Apakah makna kebesaran Allah bagi kita? Apakah dengan kejadian-kejadian pelik dan ajaib yang mengatasi kebiasaan (khawariqul adat) itu adalah kebesaran Allah? Ataupun fenomena biasa dan normal yang pada pandangan kita adalah amat membosankan itu adalah kebesaran Allah?

Kita lebih mudah mengucap 'subhanallah' melihat bayi yang dilahirkan dengan berwajah seperti ular berbanding bayi yang dilahirkan normal.

Kita lebih mudah mengucap 'subhanallah' melihat awan yang (kononnya) berbentuk kalimah Allah berbanding melihat awan yang biasa.

Kita lebih mudah mengucap 'subhanallah' melihat kubah yang (kononnya) terbang berbanding melihat kubah dipindahkan dengan kren ciptaan inovatif akal manusia kurniaan Allah.

Mengapa mesti dengan perkara pelik dan ajaib baru beriman?

Bagi saya kebesaran Allah itu adalah pada proses kejadian hujan, putaran Bumi yang menghasilkan siang dan malam, perjalanan Bumi mengelilingi matahari yang menghasilkan empat musim, kejadian alam (Big Bang) dan sewaktu dengannya.

Bukan manusia berjalan di atas air, atau ikan bercorak kalimah Allah, atau pokok rukuk dan yang sewaktu dengannya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ali Imran: 190)

Beberapa Fakta

Manusia boleh berjalan di atas air dengan teknik silap mata.

Tidak pernah ada orang bukan Islam memeluk Islam kerana ada kalimah Allah di langit.

10 comments:

Nurul Amiza Mat Adam said...

'Bagi saya kebesaran Allah itu adalah pada proses kejadian hujan, putaran Bumi yang menghasilkan siang dan malam, perjalanan Bumi mengelilingi matahari yang menghasilkan empat musim, kejadian alam (Big Bang) dan sewaktu dengannya'

jika ada masa boleh tak saudara huraikan lebih spesifik tentang apa yang dimaksudkan kebesaran Allah?

Anonymous said...

Segala pekara biasa yang berlaku itu adalah lebih menunjukkan kesempurnaan, keagunagan dan kekuasaan Allah daripada pekara-pekara yang sesekali berlaku itu. Saya sokong penuh kenyataan Saifuddin.

Anonymous said...

alhhamdulilah... kupasan yang baik. Pada saya hal yg membuatkan umat lebih membesarkan perkara yg "ganjil" adalah sikap mereka yg salah dalam memahami agama.

Nurul Amiza Mat Adam said...

syukran atas huraian dan contoh yang mudah difahami.

Anonymous said...

salam...
Satu tulisan yang ringkas dan menarik.

Melihat gelagat pengacara Trans TV...

Mungkin masyarakat Jailolo, Maluku Tengah yang menyaksikan kejadian ini secara langsung akan ketawa terbahak-bahak.

Analisa Kubah Terbang
http://swaramuslim.com/hikayat/more.php?id=5967_0_14_0_m

Ahmad Saifuddin Amran said...

Terima kasih dengan link tu.

Saya setuju dengan kemungkinan ada penggunaan tali tu. Cumanya saya tak berani untuk menerangkannya di sini sebab saya tak tahu berapa jisim kubah dan jarak dari antara dua masjid.

Walau bagaimanapun, saya menolak perkara ini sebagai satu keajaiban sebab saya pernah tengok satu cerita penyiasatan yang gunakan cara yang sama untuk memindahkan mayat yang dibunuh.

Salute betul magician yang buat trick ni!

Anonymous said...

adakah anda menolak "imaginasi" manusia sebagai kekuasaan dan kebesaran Allah?

cukuplah manusia itu tertipu dengan akalnya yang terbatas..

Anonymous said...

Saya tidak menolak kehebatan imaginasi, tapi tidaklah bermakna imaginasi itu melambangkan kebenaran sesuatu. Kristian juga banyak mempamerkan fenomena-fenomena alam yang dikaitkan dengan Jesus atau Virgin Mary. Adakah ini petanda kebenaran Kristian? Tidak.

Dunia ini adalah ilusi fatamorgana. Penuh dengan tipu daya. Ada yang tertipu dengan imaginasi. Ada yang tertipu dengan akal. Hakikatnya kedua-duanya dari satu organ yang sama, otak.

Qai said...

salam..
sy stuju bila m'ngatakn mnsia mdh t'tipu dgn pndangn akal yg pendek lg2 bila dituruti dgn iman yg nipis dn nafsu. nmn..imaginasi dn bygn adalh tapak prtama dlm tapak2 yg sterusnya.mlh tnpa imaginasi, doktor mgkin x bleh jadi doktor.

kita jgn mdh mberikn pndangn tanpa ilmu walaupn pkr t'sbut b'asas dn btul. Stiap kbesarn Allah itu indah,jgn kita hina kbesarnNya dgn hnya p'kataan Allah pd tapak slipar.

InsyaAllah, mgkin sy dn editor bleh jadi antra org yg mengkkn agama Allah melalui fikirn logik sains dn prubatn. InsyaAllah

haq said...

Saudara sebenarnya tidak beriman akan mukjizat yang lebih besar? Bagaimana Nabi Sulaiman memindahkan istana. Nabi Muhammad membelah bulan. Dajjal menghidupkan manusia yang terputus 2 badannya pada akhir zaman nnti. Saudara fikir semua itu khayalan??