Tuesday, September 30, 2008
Feminisme - MASHAREF
Di Malaysia, perdebatan isu pembentangan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 di Parlimen mengundang polemik hangat berikutan bantahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen serta Senator Wanita di Dewan Parlimen termasuk NGO wanita yang dikenali sebagai Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) terhadap beberapa peruntukan baru di dalam undang-undang tersebut yang dikatakan tidak adil terhadap wanita. Pada 11 Januari 2006, Kabinet telah mengambil keputusan untuk tidak mewartakan pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005 Wilayah Persekutuan tersebut.
Dari manakah asal-usul feminisme?
Apakah gagasan-gagasan utama gerakan emansipasi atau pembebasan wanita di barat serta imbasnya di dunia islam?
Bagaimana perspektif islam dalam menyingkapi hal ini?
Kebencian Lelaki Terhadap Wanita
Tidak dapat dinafikan bahawa gerakan feminis di barat adalah reaksi masyarakat terhadap situasi di sana, terutama yang berkaitan nasib kaum wanita. Salah satu penyebabnya adalah sikap memusuhi perempuan (misogyny) dan pelbagai anggapan buruk (stereotype) yang dilekatkan pada mereka. Semua itu bahkan telah meresap dalam nilai masyarakat, kebudayaan, hukum dan politik.
Kebencian tokoh-tokoh teologi kristian terhadap kaum wanita hampir-hampir tiada pengecualian pada sekitar awal abad pembentukan agama kristian. Tertullian (160-225), Paderi Gereja Afrika, memanggil wanita sebagai pintu gerbang syaitan (the devil’s gateway) dan tercatat ungkapan:
“Tidakkah engkau menyedari bahawa engkaulah si Hawa itu? Kutukan yang dijatuhkan Tuhan kepada kaum sejenismu akan terus memberatkan dunia. Kerana bersalah maka engkau mesti menanggung derita. Engkau adalah pintu masuknya syaitan.”
Dalam pandangan Origen (185-254) yang terkenal dengan kebenciannya terhadap kaum wanita, menyatakan bahawa wanita adalah jauh lebih hina daripada binatang. St. Gregory (329-389) mengungkapkan, “Kebengisan ialah naga dan gigitan ular berbisa; Tetapi wanita memiliki sifat kedua-duanya". Tokoh sesudahnya, St. Jerome (342-420) menganggap wanita adalah akar dari segala kejahatan (the root of all evils). St. John Chrysostom (347-407) pula berkata: “Tidak ada gunanya lelaki menikah. Perempuan itu tidak lain dan tidak lebih adalah lawan dari persahabatan, hukuman yang tidak terelakkan, kejahatan yang diperlukan, godaan semulajadi, musuh dalam selimut, gangguan yang menyenangkan, ketimpangan tabiat, yang di lukis dengan warna-warna indah.”
Selanjutnya, St. Augustine (354-450) bahkan mendakwa bahawa hubungan intim antara suami dan isteri sebagai perbuatan kotor dan harus dihindari. St. Albertus Magnus (1200-1280) menguatkan dengan kesimpulannya yang aneh: Perempuan adalah lelaki yang cacat sejak awalnya, serba kekurangan berbanding lelaki. Makhluk yang tidak pernah yakin pada diri sendiri dan cenderung melakukan pelbagai cara demi mencapai keinginannya, dengan berdusta den menipu ala iblis. Demikian pula St. Thomas Aquinas (1225-1274) yang menyamakan dengan anak-anak, secara fizikal dan mental. Baginya, wanita adalah produk dari pencemaran alam persekitaran (product of environmental pollution).
Maka wajarlah jika kemudian wanita di barat hanya dibatasi lingkup rumah tangga sahaja dan tidak dibenarkan masuk campur ‘urusan orang lelaki’
Gerakan Emansipasi
'Mimpi ngeri’ yang dialami oleh kaum wanita di barat telah melahirkan gerakan-gerakan emansipasi atau pembebasan wanita. Mary Wollstonecraft (1759-1797) dianggap sebagai nenek moyang kaum feminis. Menerusi tulisannya yang sangat terkenal, A Vindication of the Rights of Woman (di cetak pertama kali di London pada 1792), ia mengecam pelbagai bentuk diskriminasi terhadap perempuan, menuntut persamaan hak bagi perempuan baik dalam pendidikan mahupun politik. Perempuan harus dibolehkan bersekolah dan memberikan suaranya dalam pilihan raya umum (suffrage). Menurutnya, kelemahan yang disebabkan kaum wanita lebih disebabkan oleh faktor lingkungan. Lelaki pun kalau tidak berpendidikan dan diperlakukan seperti perempuan, akan bernasib sama, lemah dan tertinggal, jelasnya.
Pemikiran Wollstonecraft bergema ke seantero Eropah dan Amerika. Tercatat tokoh-tokoh semisal Clara Zetkin (1857-1933) di Jerman, Alexandra Kollontai (1873-1952) di Rusia dan Victoria Claflin Woodhull (1838-1927), wanita Amerika pertama yang mencalonkan diri sebagai Presiden pada 1872.
Antara yang dituntut oleh aktivis perempuan itu adalah hak dalam pendidikan dan politik, reformasi hukum dan undang-undang Negara supaya tidak merugikan perempuan. Di lingkungan kerja, mereka menuntut supaya perbezaan atas pertimbangan jenis kelamin (gender based differentiation) dihapuskan sama sekali. Agenda emansipasi berikutnya adalah bagaimana membebaskan kaum wanita dari cengkaman kaum lelaki, bahawa mereka hidup dalam dunia yang dikuasai lelaki (male-dominated world). Konon dengan cara ini perempuan dapat membebaskan diri dari segala bentuk penindasan, eksploitasi dan subordinasi.
Radikalisasi Feminis
Kaum feminis tidak pernah mengambil peduli penderitaan manusia yang mereka timbulkan. Lihat kenyataan Maggie Gallagher, “Amerika pada hari ini memiliki bangsa yang cukup ironis termasuklah golongan elit wanitanya yang begitu lantang dan komited memperjuangkan nama baik feminisme berbanding menjadi pekerja kebajikan atau suri rumahtangga.” Gerakan feminis di barat kelihatan mengalami stigmatisasi dan seperti meludah ke muka sendiri. Munculnya feminis-feminis radikal yang bersikap anti-lelaki, anti-tuhan, anti-agama, anti-intelektual, menghalalkan pengguguran anak, mengutuk sistem partriarki, mencemuh perkahwinan, merayakan lesbianisme dan revolusi seks, justeru menodai reputasi gerakan itu.
Bagi para feminis radikal, tinggal bersama suami di rumah sama sahaja dengan living with the enemy. Mereka juga mengklasifikasikan jantina menurut pemahaman mereka kepada lima iaitu lelaki, wanita, lesbian, gay dan biseksual.
Reaksi tajam terhadap radikalisasi feminis datang dari banyak pihak. Semaklah komentar Pat Robertson, mantan calon Presiden Amerika, “Para feminis itu kerjanya hanya mendidik wanita agar meninggalkan suami dan membunuh anak-anak mereka sendiri, mengamalkan perdukunan, menjadi lesbian dan menghancurkan kapitalisme.” Penulis terkenal, Susan Jane Gilman pun menyatakan kesan serupa, “Banyak kaum wanita hari ini, keluhnya, menganggap feminisme mengarut dan tidak jelas apa mahunya. Sementara kalangan yang lain menilainya sebagai elitis, akademik, ketinggalan zaman, keanak-anakan, dan tidak releven lagi.”
Diakui atau tidak, emansipasi wanita dibarat telah merosak sendi-sendi masyarakat dan menghancurkan nilai-nilai keluarga. Gerakan feminisme juga disalahkan kerana menyuburkan pergaulan sesama jenis, mengubah perempuan menjadi makhluk gila kerjaya, hidup dalam kesepian, balik ke rumah hanya memberi makan anjing dan kucing.
Banyaknya wanita yang mencegah kehamilan dan menggugurkan kandungan akan memberikan dampak yang buruk. Negara-negara maju seperti Sweden, Jepun, Singapura, Jerman kini tengah berupaya mengatasi apa yang mereka sebut sebagai krisis demografik. (“This is the essence of the joint European family and population crisis of the 21st Century”)
Isu Gender di Dunia Islam
Di dunia islam, Mustafa Kamal Attartuk umpamanya telah menggubal undang-undang perkahwinan yang berdasarkan undang-undang barat pada 17 Februari 1926 dan menggalakkan wanita membuka aurat.
Namun ada juga yang menggunakan pendekatan secular-liberal iaitu Qasim Amin dalam dua buku controversial, Tahriru l- Mar’ah (Kairo, 1899) dan al-Mar’ah al-Jadidah (Kairo, 1900). ‘Bapa feminisme Arab’ ini menentang pemakaian purdah, menentang poligami, dan penceraian yang dianggap sebagai penghinaan terhadap wanita. Wanita islam mesti berpendidikan ala barat dan mesti dilepaskan dari kongkongan lelaki, adat resam dan tradisi.
Di Mesir, Dr Nawal El-Sadawy, seorang pakar perubatan telah menghasilkan sebuah buku yang menyeru wanita intelek supaya tidak mematuhi peraturan agama, seks dan politik yang mengongkong. Kemudian bangkit Huda Sya’rawi (1879-1947). Beliau adalah orang pertama yang membuka hijab di Kaherah dan menuntut persamaan gender dalam pendidikan dan hak politik. Gerakan beliau dinamakan sebagai gerakan pembangunan wanita. Selain itu, terdapat juga Fatima Mernissi dari Moroko (penulis sejumlah buku, antara lain: Beyond the Veil), Riffat Hasan dari Pakistan (pendiri International Network for the rights of Female Victims of Violence in Pakistan), Taslima Nasreen dari Bangladesh (penulis buku Amar Meyebela), Amina Wadud dari Amerika Syarikat yang sempat membuat heboh dengan menjadi khatib dan imam shalat jumaat di gereja beberapa waktu lalu dan banyak lagi.
Gerakan feminis radikal rupanya berpengaruh juga di Malaysia dan dijuarai oleh Zainah Anwar dari Sis-ters In Islam (SIS). SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka. Malah, kumpulan ini diberikan ruang yang luas untuk membentangkan citra pemikiran mereka melalui media massa.
Seperti yang kita ketahui, tidak ada satu ayat pun dalam Al-Quran yang menampakkan misogyny ataupun bias jantina. Semua ayat yang membicarakan tentang Adam dan pasangannya, sejak di syurga hingga turun ke bumi, selalu menekankan kedua belah pihak dengan menggunakan kata ganti nama untuk dua orang (dalam bahasa arabnya: huma atau kuma). Bukannya Adam dan Hawa yang disalahkan, melainkan syaitan yang dikatakan menggoda keduanya hingga memakan buah dari pohon khuldi. Kemudian, setelah berada di bumi, baik lelaki mahupun perempuan ditempatkan setara. Darjat mereka ditentukan bukan oleh jenis kelamin tetapi kadar iman dan amal soleh masing-masing (Ali-Imran: 195). Sebagai pasangan hidup, lelaki diibaratkan seperti pakaian bagi perempuan, dan begitu pula sebaliknya (al-Baqarah: 187). Namun, dalam kehidupan rumahtangga, masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan tanggungjawab berbeza, seperti kebiasaan hubungan antara manusia (al-Baqarah:228). Adapun pada skala yang lebih luas, dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara, lelaki dan wanita dituntut untuk melibatkan diri secara aktif, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar (al-Ahzab: 35). Nabi Muhammad Saw. juga mengingatkan bahawa sesungguhnya perempuan itu setara dengan lelaki (an-nisa’ syaqa’iqu r-rijal), menurut sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa’i.
Oleh kerana itu, apabila dikalangan Muslim pada kenyataannya masih selalu dijumpai diskriminasi terhadap perempuan, yang mesti diperbaiki adalah masyarakatnya dan bukan agamanya. Berdasarkan hasil sebuah tinjauan, walaupun undang-undang persamaan gaji (Equal Pay Act 1970) di Inggeris sudah berusia 30 tahun lebih, wanita yang bekerja sepenuh waktu digaji 18% lebih rendah dari pekerja lelaki. Sementara mereka yang bekerja separuh waktu menerima gaji 39% lebih rendah berbanding lelaki. Begitu juga di Amerika, pendapatan kaum wanita purata 25% lebih rendah dibanding lelaki. Penelitian lain menemukan bahawa purata dalam tiap 10 detik di Inggeris telah terjadi tindak kekerasan terhadap wanita, berupa pemukulan, pemerkosaan, atau pembunuhan. Ini belum termasuk tindak pelecehan seksual dan sebagaiya.
Sebagai mengakhiri bahasan ini, ada baiknya kita semak laporan sebuah majalah hukum di Perancis “LA VIE JURIDIQUE DES POLYPES”, menyatakan: “Dalam hukum islam, hak-hak kaum wanita jauh lebih luas daripada hak-hak kaum wanita dalam konsep hukum sekarang".■
Oleh: *Aizatnur
Salam Aidilfitfi Minal Idin Wal Faidzin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Salam,
Kalau ada geng2 researcher nk wat research pasal Feminisme bgtaula ana ek.Im looking for commited team of Muslimat who want to tackle on dis issues.Mahasiswi.
Movei pasal Human Trafficking pun bagus untuk ditonton.
Ws,
Jika ada mahasiswi yang berniat sahaja sudah syukur alhamdulillah...
isu ini harus dikupas dengan hujah yang bernas, pasti fitnah terhadapnya akan pudar. bersumberkan al-quran dan sunnah.
Hujah yang hanya bersandar kepada falsafah dan teori semata belum tentu dapat memudarkan fitnah sekular.
Kagum dengan Parti Islam Se-malaysia (PAS) berkenaan hakikat teoritikalnya dalam melawan sekularisme di Malaysia...
Post a Comment