Tuesday, March 26, 2013

Persoalan Perbuatan Manusia dan Qada' Qadar

Fragmen kitab : Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah Wujud al-Khaliq wa Wazifah al-Makhluq (Keyakinan Hakiki Kewujudan Maha Pencipta dan Tugas Makhluk di Alam Semesta)

Pengarang : Allahyarham ‘Allamah Dr Said Ramadan al-Buti 

Penterjemah : Muhammad Sulaiman Yasin

Halaman : 179-203

Persoalan kaitan perbuatan manusia dengan qada’ qadar dan persoalan keadilan Allah sering mengundang kerumitan, sehingga adakalanya boleh menjerumuskan ke lembah kekufuran, wal’iyazubillah. Semoga fragmen di bawah ini mampu memberikan jawapan permulaan kepada mereka yang benar-benar mencari hakikat kebenaran.
Fragmen ini disedut dari perbahasan tentang Ketuhanan dalam bab yang ketiga daripada kitab tersebut. Untuk menghayati dan mengikuti perbahasan dengan lebih baik, adalah dianjurkan untuk membaca kitab tersebut daripada permulaannya. 



KEDUDUKAN IRADAT MANUSIA DI HADAPAN IRADAT ALLAH S.W.T. 

Setakat ini kita telah pun mengetahui bahawa lradat Allah  s.w.t. adalah mutlak dan sempurna, layak untuk berta’alluq dengan segala mumkinat atau segala yang mumkin. Maka bagaimana kita dapat memahami atau menggambarkan bahawa di samping lradat Allah s.w.t., manusia juga mempunyai iradat? Kita juga mengetahui dengan yakin berdasarkan mushahadah dan percubaan atau pengalaman bahawa manusia menghendaki dan bebas memilih dalam banyak perlakuan dan pemikirannya, maka apakah bentuk Iradat manusia dan apakah hakikatnya? Seterusnya apakah nasib kesudahannya di sisi Iradat Allah s.w.t.?

Jawabnya, ketika Allah s.w.t. mencipta manusia, Dia telah menyediakan baginya dua tindakan.  

Pertama, jenis yang sama seperti yang ada pada semua makhluk lain dari jenis jamad(objek keras seperti batuan dan logam), nabat (tumbuhan) dan haiwan. Bahkan juga jenis  cakerawala, iaitu pergerakan atau perlakuan yang di luar kemahuan dan pemilihannya. Sama ada yang berupa pergerakan yang dikuasai oleh peraturan alam benda atau alam fizik, seperti sistem pertumbuhan dan kesuburan serta segala yang berkaitan dengannya, seperti kuat dan lemah, kelahiran dan kematian, sistem pernafasan, system penghadaman makanan, dan sistem lain yang ada di dalam tubuh badan. Ataupun pergerakan yang berupa perasaan dan emosi dalam jiwa manusia, seperti lapar, kenyang, dahaga, suka, duka dan seumpamanya.

Kedua, pergerakan yang lahir daripada rahsia yang sungguh menakjubkan yang khusus disediakan dalam diri manusia, iaitu tenaga lradat dan Ikhtiar. Sesungguhnya lradat Allah s.w.t. telah berta’alluq untuk menanamkan rahsia tersebut dalan batin diri manusia, yang menjadi titik pusatan kepada taklif ke atas manusia. Juga untuk menjadikannya sebagai sumber yang dapat melahirkan kebanyakan tindakan dan perlakuan. Itulah yang  dinamakan bebas dalam membuat pilihan. Ini bermakna bahawa Iradat Allah s.w.t. telah berta'alluq untuk menjadikan anda {atau manusia itu) berkehendak atau mempunyai lradat. Dengan itu lradat Allah s.w.t. telah melimpahi dan menyerapi ke arah apa yang anda kehendaki dan anda bebas memilihnya. 

Maka tiada percanggahan di antara Iradat Allah s.w.t. dengan pilihan anda melalui iradat anda yang dilimpahkan oleh Allah s.w.t. Jika diandaikan bahawa Allah s.w.t. tidak menghendaki sesuatu perbuatan atau tindakan yang anda pilih dengan iradat anda, maka ini bermakna bahawa Allah s.w.t. tidak menghendaki iradat anda yang anda arahkan kepada perbuatan atau tindakan tersebut. Ketika itu telah berlaku percanggahan" iaitu bercanggah dengan apa yang sabit bahawa Allah s.w.t. telah menghendaki bagi anda untuk menjadi orang yang berkehendak (muridan) atau yang mempunyai  iradat. Dan juga bercanggah dengan hakikat bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan secara khusus suatu rahsia dalam kejadian manusia. Dengan itu maka sabitlah yang sebaliknya, iaitu terbatalnya andaian bahawa Allah s.w.t. tidak menghendaki perbuatan atau tindakan di mana anda bebas memilih untuk melakukannya. 

Kita kemukakan satu contoh yang dapat mendekatkan hakikat ini kepada kefahaman anda. Seorang pembantu rumah telah diterima bekerja di rumah anda. Anda mahu mengetahui sejauh mana benar, jujur dan amanahnya dia dalam menjalankan kerja dan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Untuk tujuan itu anda memberi sejumlah wang dan menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan. Anda memberi kebebasan penuh kepadanya untuk menyempurnakan apa yang anda pinta, tanpa diperhati atau tanpa suatu kawalan yang dapat menyusahkan atau menyulitkan kebebasannya.

Anda bertindak demikian adalah kerana anda sengaja mahukan si pembantu rumah itu berasa bebas sama ada untuk melakukan atau tidak melakukan, iaitu mengikut  suara hati kecilnya atau daya fikiran batinnya sahaja. Tegasnya, hanya berdasarkan sepenuhnya kepada daya iradat yang dimilikinya, sehinggalah dengan itu anda mengetahui benar-benar apa yang ada dalam isi hatinya. Jika dia kembali ke rumah dan anda dapati dia tidak amanah tentang wang yang diberi, juga pada barang yang dibelinya, maka dalam keadaan ini anda sebenarnya menghendaki natijah tersebut. Jika dia kembali dan anda dapati dia telah berlaku begitu jujur dan amanah, maka dalam keadaan ini juga anda menghendaki natijah tersebut. lni kerana anda tidak membiarkan dia bebas bertindak dan melakukan tindakan seperti yang dikehendakinya melainkan kerana anda juga mahukan atau menghendaki natijahnya, walau apa pun bentuk natijah tersebut, sama ada anda menyukainya atau tidak. 

Dengan penjelasan ini anda dapat mengetahui bahawa iradat insan di sisi Iradat Allah s.w.t. diumpamakan seperti iradat pembantu rumah tadi di sisi iradat tuannya. Hanya bagi Allah s.w.t. jua contoh misalan yang Maha Tinggi. Iradat kita yang berta'alluq dengan segala perlakuan atau tindakan yang bebas, adalah terkandung di bawah Iradat Allah s.w.t. Tetapi bukan dengan cara paksaan atau digagahi, seperti Iradat Allah s.w.t. yang berta'alluq dengan pergerakan di luar kemahuan dan pilihan yang bebas (seperti pergerakan pelbagai sistem dalam susunan fizikal atau tubuh badan manusia), sebaliknya melalui limpahan atau penyediaan 'Rahsia lradat dan lkhtiar'dalam batin diri kita. Di antara hikmatnya supaya dengan ketentuan Iradat  itu anda dapat mengusahakan apa yang anda sukai tanpa paksaan, agar terjelma hal batin (kehendak, kemahuan dan pilihan) anda dalam perlakuan anda, yang dengannya akan melayakkan anda menerima ganjaran pahala atau balasan dosa daripada Allah s.w.t. Jelaslah bahawa dengan sebab iradat inilah perlakuan atau perilaku anda itu menjadi salah satu daripada muradatu llah.

Demikian juga anda mengetahui bahawa tiada suatu pun yang berlaku dalam kekuasaan dan milik Allah s.w.t melainkan yang dikehendaki-Nya. Ini tidak bercanggah dengan pemberian Iradat atau kehendak Allah s.w.t. kepada anda, sebagaimana juga tidak bercanggahnya ilmu Allah s.w.t. yang mengetahui segala sesuatu dengan ilmu yang diberi kepada anda yang dengannya anda mengetahui sebahagian kecil daripada makhluk ciptaan-Nya. 


PERBEZAAN DI ANTARA IRADAT DAN REDA

Mungkin anda masih ingin meneruskan soalan, "Mengapa pula Allah s.w.t. memberi balasan kepada manusia atas perbuatan yang sebenarnya adalah juga daripada muradatu 'llah (kehendak Allah)? Bahkan bagaimana pula, pada waktu yang sama perlakuan atau perbuatan yang ditegah dan dilarang oleh Allah s.w.t. itu adalah termasuk dalam muradatu IIah?" 

Jawapannya, "Kemusykilan anda ini adalah pecahan daripada sangkaan atau kewahaman yang seyogia anda berwaspada daripada termasuk ke perangkapnya, iaitu anda menyangka bahawa Iradat Allah s.w.t. dan suruhan-Nya adalah sama atau satu makna, dengan erti setiap satu melazimi yang lain. Ini adalah satu kesilapan besar. Anda telah pun mengetahui bahawa tiada suatu pun yang berlaku di alam semesta ini melainkan dengan lrodat-Nya yang mutlak. Kalau tidak sudah pasti adanya suatu yang mawjud yang di luar atau mengatasi kehendak atau lradat Allah s.w.t. Ini adalah gambaran yang paling jelas kepada kelemahan dan kekurangan pada Allah s.w.t. yang termahasuci Allah s.w.t. daripadanya. Anda Juga tahu bahawa Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Kitab-Nya: 


وَلَا يَرۡضَىٰ لِعِبَادِهِ ٱلۡكُفۡرَ‌ۖ وَإِن تَشۡكُرُواْ يَرۡضَهُ لَكُمۡ‌ۗ

Terjemahan: ... dan Dia tidak meredai kekafiran bagi hamba-Nya, dan Jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredai bagimu kesyukuranmu itu.
(Surah al-Zumar 39:7)

Jadi, kekafiran Abu Jahal umpamanya, termasuk dalam muradaru 'llah, tetapi tidak termasuk dalam senarai yang diredai Allah s.w.t. kerana tidak termasuk dalam perkara yang disuruh dan diperintah oleh Allah s.w.t., berdasarkan dalil yang jelas dan tegas dalam.ayat di atas. 

Contoh pembantu rumah yang kita kemukakan sebelum  ini dapat menyedarkan kita kepada hakikat ini. Telah pun kita tegaskan bahawa ketika anda membiarkan pembantu rumah tadi bertindak dan melakukan dengan sepenuh kebebasan ke atas wang yang anda berikan itu, tidak lain dan tidak bukan bahawa anda menghendaki untuk mengetahui natijah daripada pembantu rumah tersebut, apa pun juga natijahnya, sama ada natijah itu anda suka ataupun tidak.... Hakikat ini dapat kita rasakan melalui pengalaman atau kegiatan yang bersifat peribadi, ataupun melalui mu'amalah kita dengan orang lain. Sebagai contoh lagi, tentu sekali saya tidak suka kalau ada daripada pelajar di bawah penyeliaan saya yang tidak lulus atau gagal dalam mata pelaJaran. Selalu saya ulangi supaya pelajar-pelajar saya berusaha dan mempertingkatkan daya usaha mereka. Namun demikian, pada akhir tahun pengajian, saya akan membuat ujian atau peperiksaan. Sudah pasti iradat saya atau kehendak saya berjalan menuju kepada natijah yang akan diketahui melalui ujian tersebut. Jadi, apabila saya mahu membuat ujian tersebut maka saya juga mahu mengetahui natijahnya, walau apa natijahnya, berjaya ataupun gagal. Dalam contoh ini tiada sesiapa pun yang berakal akan mengatakan adanya percanggahan di antara suruhan saya kepada "pelajar-pelajar supaya bersungguh-sungguh dalam pelajarannya dengan iradat atau kemahuan saya untuk melihat natijah sebenar daripada ujian dan peperiksaan tersebut.

lni membuktikan bahawa iradat tidak melazimi atau memastikan perintah dan suruhan dan juga tidak memastikan rasa reda atau rela kepada sesuatu yang dikehendaki. Inilah antara kesilapan atau kegelinciran yang membingungkan Mu'tazilah sehingga menghasilkan pendapat yang mengelirukan.

Jika anda cuba mendalamkan pengamatan kepada penjelasan yang telah kita kemukakan, anda dapat memahami bahawa manusia, dalam semua perbuatan dan tindakan yang di bawah pilihannya atau yang bersifat ikhtiari (ikhtiyariyyah), bergerak  dalam garis lingkungan Iradat llahiyyah tanpa suatu pun yang terkeluar dari-Nya. Anda juga dapat memahami tiada percanggahan di antara keadaan manusia ltu bebas berkehendak dan bebas memilih dalam semua tindakan ini dengan keadaan manusia tidak terkeluar darlpada garis lingkungan lradat  Ilahiyyah. Keadaannya tidak seperti yang disangka oleh sesetengah golongan yang cetek fikirannya bahawa selama perbuatan manusla itu terhasil daripada lradat Allah s.w.t. maka tiada kebebasan dan tiada usaha ikhtiar baginya. Hal yang sedemikian itu hanya boleh dikatakan benar jika seorang pelajar yang gagal dalam ujian yang diberi kepadanya itu boleh dan dibenarkan membantah gurunya dengan mengatakan, “Saya telah dipaksa gagal, kerana tuan sememangnya mahukan saya gagal, apabila tuan membuat ujian!" Keadaan tersebut juga tidak benar kecuali jika pembantu rumah boleh dan dibenarkan membantah tuannya dengan mengatakan, "Saya telah dlpaksa berlaku khianat kepada tuan di bawah kuasa dan kemahuan tuan yang mahukan saya diuji dan diberi kebebasan penuh ke  atas harta tuan!" Yang jelasnya, tiada siapa pun daripada orang yang berakal dapat menerima kata-kata alasan tersebut, bahkan tidak akan ada yang sudi mendengarnya.

Untuk menerangkan hakikat ini, al-‘Allamah Sa'du 'd-din al-Taftazani (dalam Syarh al-‘Aqaid al-Nasafiyyah) menjelaskan, "Jlka dikatakan; setelah menta'mimkan (mengeneralisasikan) ilmu dan Iradot ke atas Allah s.w.t. maka al-jabr  atau paksaan adalah suatu kepastian, kerana kedua-duanya, jika berta'alluq dengan perbuatan yang wajib, maka jadi wajiblah dia, ataupun jika berta'alluq dengan yang tidak wajib maka tidak wajiblah ia. Tiada ikhtiar pada sesuatu yang berserta dengan yang wajib dan yang tertegah." Kita jawab, "Dia (Allah) mengetahui dan menghendaki bahawa hamba-Nya melakukannya atau tidak melakukannya dengan pilihannya sendiri. Maka tiada kemusykilan dalam masalah tersebut."

Jika anda menghujahkan, "Apa yang dikatakan ini dapat difahami dan diterima jika tiada ayat al-Qur'an yang membatalkan pendapat atau pandangan yang anda katakan itu, kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa manusia tidak mempunyai kehendak atau iradat melainkan dengan izin Allah s.w.t. dan kehendak-Nya." Ayat tersebut ialah:

وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمً۬ا

Terjemahan: Dan kamu tidak menghendaki (menempuh jalan itu), kecuali bila dikehendaki AIIah. Sesungguhnya AIIah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-lnsan 76: 3O)

Jawapannya, ayat ini sebenarnya menjadi asas kepada pendapat yang telah kita kemukakan. Ayat ini dengan tegas dan jelas menerangkan bahawa manusia tidak memiliki atau menikmati daya iradat dalam batin dirinya, yang dengan rahsia iradat tersebut mengarah supaya memilih perbuatan dan tindakan yang dikehendaki, sekiranya Allah s.w.t. tidak berkehendak untuk menyediakan atau meletakkan 'rahsia teragung' ini dalam batin diri manusia. Ini adalah hakikat yang amat jelas. Saya sekarang memilih untuk menumpukan masa dan waktu untuk menulis kajian penting dalam buku ini. Tetapi dari manakah saya mendapat daya memilih itu yang merupakan rahsia teragung dalam batin diri saya, sekiranya Allah s.w.t. tidak berkehendak untuk mencampakkan sesuatu daripada rahsia tersebut, semata-mata dengan pemberian dan kurniaan-Nya!!!? Nah, sekarang Allah s.w.t. telah menghendaki saya mempunyai iradat untuk melakukan tindakan yang saya bebas memilihnya. Bukankah saya sekarang ini sudah menjadi orang yang berkehendak dan bebas  membuat pilihan? Tidakkah perbuatan yang saya hasilkan itu adalah natijah daripada iradat saya sekalipun saya meyakini bahawa iradat atau kehendak saya itu tetap berada dalam lingkungan daerah lradat llahiyyah!?" 

Demi Allah, kita sungguh berasa penuh hairan dan akan terus berasa hairan dengan sikap manusla seperti ini, yang berpegang kepada ayat di atas, kemudian terus-menerus cuba meruntuhkan anugerah kurniaan Ilahi yang teragung kepada manusla, selepas anugerah kurnlaan akal fikirannya, iaitu anugerah kurniaan iradat dan daya kebebasan memilih atau ikhtlar

Dalam usaha tersebut, apakah gerangan yang akan mereka lakukan terhadap firman Allah s.w.t. dalam ayat-ayat berikut:

وَنَفۡسٍ۬ وَمَا سَوَّٮٰهَا  فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَٮٰهَا

Terjemahan: Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka  AIIah mengilhamkan kepada  jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
(Surah al-Syams 91: 7-8)

إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٍ۬ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا

Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia daripada setitik mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
(Surah al-Insan 76:2)

أَلَمۡ نَجۡعَل لَّهُ ۥ عَيۡنَيۡنِ  وَلِسَانً۬ا وَشَفَتَيۡنِ  وَهَدَيۡنَـٰهُ ٱلنَّجۡدَيۡنِ

Terjemahan: Bukankah Kami telah memberi kepadanya dua biji mata, lidah dan sepasang bibir. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.
(Surah al-Balad 90:8-10)

Selain apa yang telah dijelaskan di atas, terdapat beberapa maklumat penting yang ada hubungannya dengan kajian yang terdahulu, iaitu tentang masalah Qada’ dan Qadar yang akan kita jelaskan dalam bahagian terakhir.

QADA' DAN QADAR

PENGERTIAN DAN HUKUM MENGIMANINYA 

Keperluan atau kepastian beriman kepada Qada dan Qadar berpunca daripada dua dalil:

Pertama: Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Muslim: 

الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله وباليوم الأخر وبالقدر خيره وشره

Terjemahan: Iman ialah beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitabNya, para rasul-Nya, hari kiamat dan qadar baik dan buruk.

Kedua: Natijah yang dipastikan oleh kemahasempurnaan Allah s.w.t., yang bersifat dengan sifat Ilmu, Iradat dan Qudrat yang mutlak. Maka Qada’ adalah cabang sabitnya sifat Ilmu dan Iradat Allah s.w.t., manakala Qadar adalah cabang daripada sabitnya sifat Qudrat bagi Allah s.w.t.

Pengertian Qada' dan Qadar

Qada’ ialah Ilmu Allah s.w.t. yang azali tentang segala sesuatu, seluruhnya, menepati apa yang akan wujud atau akan berlaku pada masa akan datang. 

Qadar atau Takdir pula ialah mewujudkan segala sesuatu itu benar-benar menepati Ilmu Allah s.w.t. yang azali yang berta'alluq dengannya. 

Sesetengah ulama atau pengkaji telah memberi pengertian yang sebaliknya. Pengertian Qada’ diberi kepada Qadar dan pengertian Qadar diberi kepada Qada’. Pengertian tersebut sememangnya mempunyai kemungkinan. Perbezaan pendapat inl bukanlah merupakan masalah besar. 

Makna wajib beriman kepada kedua-duanya -seperti yang difahami oleh Ahl al-Sunnah wa'l-Jamaah -adalah wajib ke atas setiap yang mukallaf nengimani bahawa Allah s.w.t. mengetahui segala perbuatan hamba-Nya sejak awal lagi dan juga mengetahui segala yang berkaitan dengan seluruh makhluk, iaitu tentang kebaharuannya atau berlakunya yang berterusan pada masa akan datang. Demikian juga wajib ke atas setiap mukallaf mengimani bahawa Allah s.w.t. telah menjadikan atau mengadakan ataupun mewujudkan, menepati dan mengikut kadar penentuan yang khusus dan bentuk rupa yang tertentu yang telah pun ada lebih dahulu dalam ilmu-Nya. 

Daripada pengertian ini, anda dapat mengetahui bahawa tiada hubungan sama sekali di antara Qada’ dan Qadar dengan fahaman Jabariyyah, seperti yang disangkakan tanpa bukti oleh sesetengah golongan. Allah. s.w.t. dengan kepastian sifat ketuhanan-Nya, atau bi mujib uluhiyyatihi mesti mengetahui segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dalam semua jenis atau apa pun juga bidang perbuatannya; mengetahui akan segala apa yang akan berlaku ke atas segala yang ada dalam milik dan kekuasaan-Nya. Kalau tidak, sudah pasti Allah s.w.t. mempunyai kekurangan dalam sifat-sifat tersebut. Selain itu, semua ini berlaku dalam keadaan yang menepati Ilmu Allah s.w.t. yang terdahulu tentang perkara atau peristiwa tersebut. Kalau tidak, akan bertukarlah ilmuNya menjadi jahil. Dan hal yang sedemikian adalah mustahil bagi Allah s.w.t. 

Jelaslah bahawa semua ini tiada hubung kaitnya dengan keadaan sama ada perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah terpaksa ataupun semata-mata dengan kehendak dan daya kebebasan memilihnya. Kita telah pun mengetahui (dalam perbincangan sifat Ilmu yang lalu –penyalin) bahawa Ilmu bersifat kashifah (penyingkap, dan bukannya pemberi kesan yang merupakan tugas Qudrah, atau pemilih yang merupakan tugas Iradah –penyalin) sahaja, yang tabiatnya menyingkap segala perkara sepertimana hakikatnya, atau seperti apa yang akan diwujudkan-Nya. Ilmu Allah s.w.t dalam pengertian ini tiada hubungannya dengan al-Jabr atau ikhtiar. 

Imam al-Nawawi rahimahullah dalam huraiannya tentang kitab Sahih Muslim iaitu selepas memberi definisi Qada’ dan Qadar, telah menjelaskan: 

Kadang-kadang, ramai menyangka bahawa makna Qada’ dan Qadar ialah Allah memaksa dan menggagahkan hambaNya dengan Qada’  dan QadarNya, sedangkan hakikatnya bukanlah seperti yang disangkakan oleh mereka itu. Sesungguhnya makna keduanya adalah memberitahu bahawa Ilmu Allah telah mengetahui terlebih dahulu tentang usaha perbuatan hambaNya, dan keluarnya ia daripada taqdir daripadaNya.

Imam Ibn Hajar pula ketika menghuraikan Hadith dari Ibnu 'Umar tentang Iman, telah memberi definisi Qada’ katanya: 

Qada’ ialah Ilmu Allah tentang perkara-perkara sepertimana hakikatnya, dan Qadar ialah Dia menjadikan perkara-perkara tersebut bersesuaian dengan Ilmu-Nya.


KHALIQIYYATU ‘L-LAH (PENCIPTAAN ALLAH) KEPADA PERBUATAN MANUSIA TIDAK MENAFIKAN IKHTIAR 

Mungkin masih ada yang mengemukakan kemusykilan dalam bentuk pertanyaan, "Katakanlah bahawa Ilmu Allah s.w.t. tiada hubungan dengan sesuatu melainkan dalam bentuk al-Kasyf seperti yang anda jelaskan. Tetapi tidakkah kewujudan sesuatu itu yang ditentukan oleh Allah s.w.t. akan wujud, iaitu yang diketahui oleh-Nya akan wujud dengan kepastian penciptaan-Nya (bimujib khalqih) dan dengan kepastian lradat-Nya (bimujib lradatih)? Jadi, perkara ini berakhir juga dengan terpaksa dan tergagah. Kalaupun tidak bersangkut dengan Ilmu maka tetap bersangkut dengan penciptaan dan lradat!" 

Jawapannya, "Segala sesuatu tidak wujud dan berbentuk melainkan dengan penciptaan Allah s.w.t., tidak juga sempurna melainkan dengan lradat-Nya. Ini telah pun kita jelaskan sebelum lni. Adapun yang membawa kepada paksaan atau tergagah seperti yang anda sangkakan itu maka berikut ini kita kemukakan penjelasan tentang tidak benarnya sangkaan anda itu dari dua sudut. Pertama dari sudut masalah penciptaan (al-khalq) dan kedua dari sudut Iradat (al-Iradah)." 

Makhluk ciptaan Allah s.w.t. terbahagi kepada dua: 

Pertama, makhluk (yang dicipta) yang tidak diusahakan oleh seseorang pun atau di luar usaha dan ikhtiar. Iaitu segala yang berlaku di alam semesta secara terpaksa dan termesti, seperti pergerakan dan peredaran bintang dan cakerawala, perubahan dan peralihan musim, pertumbuhan dan pembesaran pokok dan tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia, perjalanan pelbagai sistem pada anggota manusia dan pergerakannya. Dalam bahagian ini kita tidak akan membincangkan hal ini kerana tidak mengandungi kemusykilan, terutama jika kita menyedari bahawa manusia tidak ditaklif dengan perbuatan yang di luar kehendak dan ikhtiyarnya dan tiada hubungan dengan ganjaran pahala atau dosa.

Kedua, perkara yang diusahakan, di mana manusia bersifat dengannya melalui daya dan usaha yang bebas mengikut pilihannya, seperti perbuatan makan, minum, belajar, bekerja dan lain-lainperbuatan atau tindakan yang dilakukan dengan penuh kesedaran dan kebebasan memilih. Inilah bahagian yang ada kaitan dengan kemusykilan dalam masalah Qada' dan Qadar.

Perlulah diketahui dan disedari bahawa perbuatan manusia termasuk dalam kumpulan makhluk atau ciptaan Allah s.w.t. Maka AIIah s.w.t. mencipta kesungguhan anda dalam pelajaran atau sebaliknya. Dialah yang mencipta segala tindakan dan kegiatan di tubuh anda, sama ada  yang bersifat ketaatan atau kederhakaan. Hakikat ini terbukti dengan dalil akal yang jelas, kerana jika perbuatan dan tindakan anda itu bukan penciptaan Allah s.w.t. dan Qudrat-Nya, nescaya Allah s.w.t. tidak bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, juga bererti bahawa perbuatan dan tindakan anda itu tercipta daripada kesan lain yang memberi kesan yang bebas dan tersendiri. Hal yang sedemikian adalah mustahil atas Allah s.w.t. telah kita mafhum daripada dalil Naqli yang yakin :

وَخَلَقَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَقَدَّرَهُ ۥ تَقۡدِيرً۬ا

Terjemahan: … dan Dia mencipta segala sesuatu dan Dia menetapkan ukuran-ukuranya dengan serapi-rapinya.
 (Surah al-Furqan 25:2)

Maka tidak syak dan tidak diragukan bahawa perbuatan itu termasuk dalam keumuman perkataan ‘segala sesuatu’ atau kullu syay’in. Inilah pegangan Ahl al-Sunnah wa 'l-Jamaah. Tanpa diragukan bahawa perbuatan atau tindakan manusia termasuk dalam 'sesuatu'. 

Penciptaan Allah s.w.t. terhadap segala perbuatan kita tidak memastlkan kita terpaksa atau digagahi. Antara dua perkara tersebut, tiada ketalazumannya yang pasti, cuma hanya dalam sangkaan atau kewahaman manusia sahaja. lni adalah kerana tindakan anda ketika melakukan sesuatu perbuatan bergantung sepenuhnya kepada dua perkara: 

Pertama, Wujudnya perbuatan itu di alam luar, iaitu adanya bahan-bahan asasinya bersifat material dan juga bersifat spiritual (maddi dan ma’nawi). 

Kedua, Terdapatnya perbuatan tersebut pada anda melalui gerakan dan kebangkitan iradat anda kepadanya. Jadi, anda adalah orang yang berkehendak dan mempunyai kebebasan memilih sebagai sifatnya orang yang mendapat perbuatan dan menggerakkan kemahuan kepadanya, bukan sebagai sifatnya yang mencipta dan mengadakan bahan dan unsurnya. 

Hakikat di atas dapat dijelaskan dengan contoh berikut: 

Tangan dengan segala unsur pergerakan, sistem urat saraf dan otot, sistem perjalanan darah, yang menyebabkan tangan dapat bergerak dan mempunyai daya dan tenaga, kesemuanya itu adalah dengan ciptaan Allah s.w.t. Kertas yang ada di hadapan anda dengan bentuk dan kandungan serta kekhususannya, adalah ciptaan Allah s.w.t. Penerimaan yang ada pada pena (qabiliyyah) bagi penggunaan menulis adalah juga daripada ciptaan Allah s.w.t. Pertemuan kesemua unsur atau bahan di atas untuk mewujudkan tulisan, adalah juga daripada ciptaan Allah s.w.t. Inilah makna ungkapan bahawa'Allah, Dialah yang mencipta perbuatan manusia'. 

Tetapi adakah hanya dengan terkumpulnya kesemua unsur tersebut pada anda sudah dapat dinisbahkan bahawa anda telah melaksanakan perbuatan menulis di atas kertas? Tentu tidak! Penciptaan Allah s.w.t. kepada semua unsur dan bahan tersebut tidak bererti bahawa anda telah menulis. Untuk mewujudkan tulisan mestilah anda berazam untuk menulis dan seterusnya tergerak iradat anda untuk melaksanakannya. Ketika itu Allah s.w.t. mengizinkan tenaga yang disediakan-Nya dalam tangan anda untuk menyahut kehendak atau iradat anda tersebut, dan mengizinkan segala sistem yang ada di tangan anda untuk membantu tujuan anda. Hasilnya, mata pena terus bergerak menulis huruf dan menyusun perkataan, menurut apa yang anda kehendaki. Sementara kertas pula tunduk menerima pergerakan pena di atasnya. Pada ketika itu anda disebut orang yang menulis dan dihubungkan dengan hasil perbuatan menulis, sekalipun Allah s.w.t. yang menciptakan segala-galanya. Jelasnya, qasad., azam dan usaha adalah daripada anda (iaitu melalui, tenaga rahsia iradat yang diciptakan dan disediakan oleh Allah s.w.t. dalam diri anda). Manakala perbuatan itu sendiri dan sebab-sebab, sama ada yang terdekat ataupun yang jauh adalah daripada penciptaan Allah s.w.t. Maka yang dibicara, dikira, diperhitungkan dan dihakimi adalah atas qasad, iradat dan usahanya bukan atas penciptaan Allah s.w.t. terhadap jalan, sebab dan diri perbuatan itu sendiri. 

Ini adalah hakikat yang dapat kita alami dan kita lalui dalam kehidupan sama ada dalam bidang perundangan atau kemasyarakatan. Pembicaraan di mahkamah adalah atas usaha bukan atas hakikat perbuatan itu sendiri yang bersifat bebas dengan dirinya sendiri. Seorang yang membawa keretanya lalu terlanggar seseorang sehingga mati, tidak dibicarakan atas perbuatannya, kerana dia bukanlah orang yang benar-benar melakukan perbuatan tersebut. Sebaliknya yang menjadi pelaku secara langsung ialah kereta. Maka yang dibicarakan itu adalah kerana usaha pemiliknya. Seseorang yang mengupah pekerja untuk menggali lubang di tengah-tengah jalan sehingga menyebabkan kerosakan, tidak dibicarakan atas perbuatannya itu kerana yang menggali lubang itu ialah orang lain, tetapi ia dibicarakan atas sifatnya sebagai orang yang mengusahakan kerosakan itu. Seseorang yang membawa seteguk racun lalu diletakkan di dalam bekas ubat di tepi seorang pesakit yang kemudiannya meminum racun tersebut sehingga mati, akan dibicarakan dan dijalankan hukum qisas, bukan kerana dia yang mencipta perbuatan tersebut, tetapi yang mengusahakannya. 

Allah s.w.t. membicarakan dan menghisab hamba-Nya atas apa yang disebut al-kasb atau usaha, iaitu gerakan dari dalam batin atau jiwa diri untuk bertindak dan melakukan perbuatan. Cuba perhatikan ayat-ayat yang berikut:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ

Terjemahan: AIIah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.
{Surah al-Baqarah 2:286)

ٱلۡيَوۡمَ تُجۡزَىٰ كُلُّ نَفۡسِۭ بِمَا ڪَسَبَتۡۚ

Terjemahan: Pada hari ini setiap jiwa diberi balasan terhadap apa yang diusahakannya.
(Surah Mu'min 40:17)

وَبَدَا لَهُمۡ سَيِّـَٔاتُ مَا ڪَسَبُواْ

Terjemahan: Dan (jelaslah) bagi mereka akibat buruk daripada apa yang telah mereka perbuat.
(Surah al-Zumar 39:48)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡسِبُونَ ٱلۡإِثۡمَ سَيُجۡزَوۡنَ بِمَا كَانُواْ يَقۡتَرِفُونَ

Terjemahan: Sesungguhnga orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan.
(Surah al-An'am 6:120) 

dan ayat-ayat lain yang menaskan bahawa tempat pergantungan atau manat ganjaran pahala dan balasan dosa ialah al-kasb atau usaha manusia yang merupakan gerakan rasa kemahuan dalam diri kepada sesuatu yang disuruh atau ditegah. Dan Allah s.w.t. dengan kehendak-Nya telah menjadikan penciptaan dan Qudrat-Nya sesuai dengan gerakan kemahuan manusia.... sehingga hal yang demikian itu merupakan rakaman atau pendaftaran yang membuktikan atau mensabitkan gerakan rasa kemahuan manusia itu terjelma dalam bentuk perbuatan. 

Dengan penjelasan ini, maka dapatlah kita memahami bahawa ta'alluq sifat al-Khalq (mencipta) dengan segala yang diketahui oleh Allah s.w.t. akan kewujudan sejak azali tidak memastikan manusia melakukan perbuatan atau tindakan secara terpaksa dan digagahi. 

Adapun tentang ta'alluq sifat Iradat dengan segala perbuatan manusia maka tiada kemusykilan nisbah kepada bahagian pertama, iaitu segala mahkluk atau ciptaan Allah s.w.t. yang di luar daripada kemahuan dan pilihan. Hanya dari bahagian kedua iaitu makhluk atau ciptaan Allah s.w.t. yang iktisabiyyah yang diasaskan kepada usaha pilihan manusla, yang nampaknya ada kemusykilan. Penjelasan mengenai kemusykilan ini telah pun diterangkan dalam masalah keempat. Seperti yang telah kita jelaskan bahawa Iradat Allah s.w.t. berta'alluq dengan mencipta suatu rahsia teragung di dalam batin diri manusia, iaitu ‘IRADAT'. Dengan penciptaan ini maka ia memastikan bahawa lradat Allah s.w.t. berta’alluq dengan segala urusan dan perbuatan yang dilakukan oleh manusla dengan kemahuan dan pilihannya yang bebas. Tetapi yang demikian ini tidak memastikan manusia itu mujbar dan mukrah atau terpaksa dan digagahi dalam segala tindak-tanduk dan perlakuannya. 

Bagaimana pula dengan firman Allah s.w.t:

وَلَوۡ شَآءَ لَهَدَٮٰڪُمۡ أَجۡمَعِينَ

Terjemahan: Dan jika Dia menghendaki, tentulah Dia memimpin kamu semuanya (ke jalan yang benar).
(Surah al-Nahl 16:9)

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأَمَنَ مَن فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪُلُّهُمۡ جَمِيعًا‌ۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ

Terjemahan: Dan Jika Tuhanmu menghendaki, tentuIah semua orang yang ada di muka bumi ini beriman seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?
(Surah Yunus 10:99)

dan banyak lagi ayat yang mengandungi makna yang sama. Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa iradat manusia adalah dalam genggaman Iradat Allah s.w.t.
Untuk menjelaskan kemusykilan ini, maka kita tegaskan bahawa ayat tersebut tiada kaitannya dengan masalah yang sedang kita bincangkan. Sebaliknya, ayat tersebut menjelaskan suatu hakikat lain yang tersendiri yang tidak diragukan dan dipertikaikan, iaitu sekiranya Allah s.w.t., menghendaki nescaya Dia akan mengurniakan kelutfian kepada semua manusia seluruhnya yang menjadikan manusla itu hanya akan memilih untuk beriman, mentaati dan memilih yang hak sahaja, tanpa sebarang pilihan padanya, tanpa keinginan untuk menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan; ataupun terhala kepada menyakini kebenaran sahaja tanpa daya pilihan baginya. Tetapi Allah s.w.t. tidak menghendaki demikian, sebaliknya Allah s.w.t. menghendaki supaya manusia itu mempunyal iradatnya, mempunyai daya kebebasan memilih di antara dua realiti yang sentiasa saling bertarikan, iaitu tarikan keinginan nafsu dan daya pemikiran akalnya, supaya dalam mentaati Allah s.w.t. terserlah makna jihad dan taklif yang sebenar. Tanpa hakikat ini, para mujahidin dan mereka yang lurus dalam perjalanan hidupnya tidak akan mendapat apa-apa ganjaran atas jihad dan ketaatannya, kerana sememangnya tiada jihad langsung sejak asal lagi. 

Inilah yang ditunjukkan oleh ungkapan di dalam ayat di atas. Apakah hubungan maksud yang terkandung di dalam ayat ini dengan tajuk yang kita bincangkan? Telah kita buktikan bahawa manusia mempunyai kebebasan dan berkehendak nisbah kepada tindakan dan perbuatan ikhtiyariyyah atau yang di bawah pilihannya.

IRADAH MANUSIA TUNDUK KEPADA KELUTFIAN ALLAH S.W.T. ATAU SEBALIKNYA

Selain penjelasan dan keterangan yang telah kita kemukakan, seyogialah juga kita mengetahui bahawa iradat manusia yang menerima hembusan daripada kelutfian Allah s.w.t., lalu sentiasa mendapat taufik daripada-Nya. Antara kesannya adalah keinginan sesetengah manusia pula diselubungi kemurkaan dan balasan Allah s.w.t. semasa di dunia lagi. Kemahuan dan keinginannya hanya terbuka kepada kejahatan dan sentiasa menuju ke jalan-jalan yang membawa kepada penderitaan. Cuma sudah menjadi Sunnatu 'llah ke atas hamba-Nya bahawa Lufu ‘llah itu mempunyai sebab-sebab tertentu yang diusahakan oleh manusia, sebagai mana balasan Allah s.w.t. itu juga mempunyai sebab-sebabnya. 

Sesiapa yang telah berazam sejak awal dalam perjalanannya untuk tidak menentang dan membantah hakikat kebenaran yang telah dilihat dan diyakininya, untuk tidak mensia-siakan akal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t., sehingga dia mengimani hakikat teragung iaitu Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang hak dan dirinya hanya sebagai hamba, seterusnya dengan penuh kerendahan diri dan kelemahan dia memohon dan merayu dengan sepenuh harapan agar diberikan pertolongan dan taufik dari Allah s.w.t. untuk terus berpegang kepada hukum dan peraturannya, untuk menambah daya dan tenaganya bagi melaksanakan harapan dan cita-citanya yang murni itu. Dia mungkin akan menerima Lutfu 'llah dan Inayah-Nya. Lalu dengan tawfiq dan hidayat-Nya, semakin bertambah tenaga, daya akal dan kesedaran persepsinya semakin kukuh dan mantap, terlukis makna keazaman dan kesungguhan dalam iradatnya.
Kepada golongan ini Allah s.w.t. merakamkan dalam firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ زَادَهُمۡ هُدً۬ى وَءَاتَٮٰهُمۡ تَقۡوَٮٰهُمۡ

Terjemahan: Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah menambahkan petunjuk kepada mereka dan memberi (balasan) kepada mereka atas ketakwaan mereka.
(Surah Muhammad 47:17)

وَيَزِيدُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ هُدً۬ى‌ۗ

Terjemahan: Dan Allah akan menambah petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjuk.
(Surah Maryam 19:76)

يَهۡدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٲنَهُ ۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬

Terjemahan: Dengan kitab (al-Qur'an) itulah AIIah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang . . . .
(Surah aI-Ma'idah 5: 16)

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ يَہۡدِيهِمۡ رَبُّہُم بِإِيمَـٰنِہِمۡ‌ۖ

Terjemahan: Sesungguhnga orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka kerana keimanan mereka.
(Surah Yunus 10:9)

dan dalam Hadith Qudsi, Allah s.w.t. berfirman: 

يا عبادي كلكم ضال إلا من هديته فاستهدوني أهدكم

Terjemahan: Hai hamba-hamba-Ku, setiap kamu sesat kecuali mereka yang mendapat petunjuk-Ku. Maka mohonlah petunjukk daripada-Ku, nescaya Aku menunjuki kamu.
(Riwayat Muslim, Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Yang terpenting adalah kita pasti sedar dan mengetahui bahawa Allah s.w.t. telah menjadikan dari tekad dan benarnya hasrat dan cita-cita untuk mengetahui hakikat kebenaran. Juga dari sikap kelemahan diri serta kesungguhan doa dan permohonannya kepada Allah s.w.t., suatu daya akal lain dikurniakan kepadanya untuk memahami hakikat ketuhanan-Nya dan kesedaran untuk menghayati dan mewarnai dirinya dengan hakikat kebenaran tersebut dengan penuh ketaatan dan kepatuhan. 

Manakala orang yang sejak awalnya telah menyimpul azam untuk menentang dan membantah dasar dan prinsip yang tidak disukainya, walaupun pada hakikatnya perkara itu benar; yang sengaja memekakkan telinga daripada petunjuk akalnya, sengaja tidak mahu menyahut kecuali seruan hawa nafsunya, kemudian terus -menerus membawa dirinya mengikuti liku-liku perjalanan yang menepati keazaman dan kesungguhan dengan mengatakan dari awal-awal lagi kepada sesiapa sahaja yang cuba mengingatkan kepadanya tentang hakikat ketuhanan bahawa dia tidak faham dan sememangnya sengaja tidak mahu memahaminya, maka Sunnahtu 'llah ke atas hamba-Nya menetapkan bahawa orang seperti ini akan semakin jauh terperosok dan semakin dalam terjunam dalam kesesatan dan kebingungan pemikiran, semakin membahang iradatnya dalam kepanasan api hawa nafsunya, dan semakin lemah daya kesedaran, pendengaran, pandangan dan persepsinya terhadap apa jua peringatan dan nasihat, kepada dalil dan bukti atas kebenaran Allah di alam semesta. Khusus kepada manusia dari golongan ini, al-Qur'an telah merakamkan:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ فَأَعۡرَضَ عَنۡہَا وَنَسِىَ مَا قَدَّمَتۡ يَدَاهُ‌ۚ إِنَّا جَعَلۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ أَڪِنَّةً أَن يَفۡقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِہِمۡ وَقۡرً۬ا‌ۖ وَإِن تَدۡعُهُمۡ إِلَى ٱلۡهُدَىٰ فَلَن يَہۡتَدُوٓاْ إِذًا أَبَدً۬ا

Terjemahan: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, Iantas dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua belah tangannya? Sesungguhnga Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami Ietakkan pula) sumbatan di telinga mereka; dan walaupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-Iamanya.
(Surah aI-Kahfi 18:57)

سَأَصۡرِفُ عَنۡ ءَايَـٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ وَإِن يَرَوۡاْ ڪُلَّ ءَايَةٍ۬ لَّا يُؤۡمِنُواْ بِہَا وَإِن يَرَوۡاْ سَبِيلَ ٱلرُّشۡدِ لَا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلاً۬ وَإِن يَرَوۡاْ سَبِيلَ ٱلۡغَىِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلاً۬‌ۚ

Terjemahan: Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Jika mereka melihat setiap ayat-(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jlka mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya.
(Surah al-A'raf 7:146)

يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرً۬ا وَيَهۡدِى بِهِۦ كَثِيرً۬ا‌ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلۡفَـٰسِقِينَ

Terjemahan: ... dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan AIIah, dan dengan perumpamaan itu juga banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tiada yang disesatkan AIIah kecuali orang-orang yang fasiq.
(Surah al-Baqarah 2:26)

وَمَا ڪَانَ ٱللَّهُ لِيُضِلَّ قَوۡمَۢا بَعۡدَ إِذۡ هَدَٮٰهُمۡ حَتَّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مَّا يَتَّقُونَ‌ۚ

Terjemahan: Dan AIIah sekaIi-kali tidak akan menyesatkan satu kaum sesudah AIIah memberi petunjuk kepada mereka hingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi.
(Surah al-Tawbah 9 : 115)

Sunnah llahiyyah ini, iaitu sama ada lutfiyyah atau maqtullah adalah tafsiran yang praktikal kepada firman Allah s.w.t.: 

فَإِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَہۡدِى مَن يَشَآءُۖ

Terjemahan: ... maka sesungguhnya AIIah menyesatkan sesiapa saja yang dikehendaki-Nya dan menunjuki sesiapa saja yang dikehendakiNya.
(Surah Fatir 35:8)

وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنۡ هَادٍ۬

Terjemahan: Dan sesiapa disesatkan Allah, maka baginya tiada seorang pun yang akan memberi petunjuk.
(Surah al-Ra'd 13:33) 

yang bermakna bahawa Allah s.w.t. tidak digagahi oleh sesuatu pun untuk mencampakkan sebab-sebab yang membawa kepada hidayat ke dalam hati orang-orang kafir secara paksa sebagaimana juga untuk mencampakkan sebab-sebab yang membawa kepada kesesatan ke dalam hati hamba-Nya yang soleh. Tetapi Allah s.w.t. telah menulis ke atas dirinya, semata-mata atas keihsanan-Nya bahawa Dia (Allah) tidak menyesatkan manusia melainkan yang mengambil sebab-sebab yang menyesatkan, yang sengaja memalingkan diri daripada segala jalan dan peluang untuk mendapat hidayat. Demikian juga Dia (Allah) memberi atau memperdekatkan jalan dan peluang untuk mendapat hidayat dan tawfiq-Nya kepada manusia yang rela membuka hati dan fikirannya serta berazam untuk mencari dan menerima hakikat kebenaran, menerima dan mematuhi kebenaran hukum dan peraturan-Nya, suruhan dan tegahan-Nya, di samping sentiasa menadah tangan memohon pertolongan dan limpahan kurnia-Nya. 

Bahkan mungkin sesaat amalan soleh, yang segera dilakukan oleh seorang yang durjana dan bajingan dalam detik-detik kesedaran kepada hakikat diri keinsanan dan kefitrahannya boleh menjadi salah satu sebab yang membawa kepada hidayat Allah s.w.t. kepadanya dan menjadi salah satu faktor terbesar yang membawa kepada perubahan dalam perjalanan dan sejarah hidupnya. 

Demikian juga sebaliknya mungkin satu daripada perbuatan keji di sisi Allah s.w.t. yang dilakukan oleh seseorang yang soleh, tanpa mempedulikan akibatnya kepada Islam dan umatnya, kemudian tidak berasa kesal dan sesal, lalu lupa untuk kembali bertawbat kepada Tuhannya, boleh menjadi salah satu sebab kepada maqtu 'llah dan menjadi salah satu faktor terpenting kepada perubahan dalam sejarah hitam hidupnya.
Fenomena dari peristiwa seperti ini adalah sesuatu yang dapat dilihat dan disaksikan dalam kehidupan manusia dan sejarahnya. Inilah yang dimaksudkan oleh Hadith Sahih: 

Terjemahan: Demi yang diriku ini berada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang dari kamu beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak di antaranya (syurga) dengan (diri)nya sehasta, lalu aI-Kitab mendahului atasnya, maka beramallah dia dengan amalan ahli neraka, IaIu dia memasukinya. Dan demi yang diriku dalam tangan-Nga; sesungguhnya seorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak di antara (diri)nya dengan neraka itu sehasta, lalu al-Kitab mendahului atasnya. Maka beramallah dia dengan amalan ahli syurga lalu dia memasukinya.
(Muttafaq 'Alayh)

Untuk mengakhiri fasal ini, mungkin anda mendengar ungkapan yang selalu diulangi oleh pengamal tasawwuf (al-mutasawwifah) pada hari ini iaitu manusia pada hakikatnya tidak memiliki sesuatu pun, samalah halnya seperti bulu burung di udara. Manusia adalah diperjalankan sahaja segala urusan, dan perbuatan mereka adalah dalam genggaman hukum Tuhan. Adapun yang kita lihat dari mereka dan keadaan mereka hanyalah sebagai bayangan kepada Qada’ Allah s.w.t. ke atas mereka. Mereka sering menyebut firman Allah s.w.t. ini sebagai dalil atas pendapat dan pandangannya:

وَمَا رَمَيۡتَ إِذۡ رَمَيۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ‌ۚ

Terjemahan: ... dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar.
(Surah aI-AnfaI 8:17)

Dalam hubungan ini perlulah dijelaskan bahawa ungkapan seperti ini tidak bersandarkan bukti atau ilmu ataupun nas Ilahi yang menjadi asas dalam syarak yang kudus dan suci. Tetapi hanya bersandarkan (menurut pendapat orang yang soleh dari kalangan mereka) kepada'hal-ehwal' yang dialami mereka ketika memikirkan dan mengamati keagungan Allah s.w.t., lalu mereka tenggelamdalam kejiwaan yang merasakan kedahsyatan dan kebingungan atau kehilangan diri sehingga menyebabkan mereka mengeluarkan ungkapan seperti ini. Ungkapan tersebut pada hakikatnya bukanlah suatu rumusan atau laporan ilmiah yang dicapai oleh hasil pengkajian dan pemikiran, tetapi hanya suatu gambaran dari hal diri jiwa mereka yang merasakan kedahsyatan tersebut, yang menguasai seluruh perasaannya. 

Adapun dari kalangan lain yang bukan soleh, maka ungkapan atau ucapan seperti ini hanya bersandar kepada ikutan semata-mata. Demi sesungguhnya jika golongan yang pertama itu dimaafkan (ma’dhurin) dengan sebab ungkapan yang di luar daripada kesedaran akalnya namun golongan kedua tetap tidak dimaafkan dengan sebab sikap dan tindakan berdasarkan ikutan yang disengajakan.

Namun demikian, bagi golongan tokoh ahli tasawwuf yang terbesar, yang telah melewati peringkat Ahwal, tidak akan mengeluarkan ungkapan kata sedemikian. Mereka tetap iltizam dengan apa yang telah ditetapkan oleh zahir aI-Nas, yang telah dibuktikan secara ilmiah dan diperakui secara ijma’ oleh umat Islam. Mereka tidak lupa kepada makna dan maksud sebenar yang terkandung ayat di atas iaitu merakamkan sesuatu peristiwa khusus yang menjadi salah satu daripada mukjizat luar biasa yang diperlakukan oleh Allah s.w.t. ke atas tangan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wassalam. Mukjizat tersebut ialah ketika Rasulullah sallallahu ‘alayhi wassalam mengambil segenggam batu kecil (atau pasir yang kasar) lalu dilemparkan ke arah kaum musyrikin dalam perang Hunayn. Pasir yang sebanyak itu telah memenuhi udara membawa dan mengenai mata pihak musuh, sehingga membawa kepada kemenangan kepada pihak Islam dan kekalahan kepada pihak kafir musyrikin. Maka ayat tersebut adalah untuk memperingatkan kita kepada suatu peristiwa yang sungguhluar biasa, atau mukjizat iaitu walaupun hanya dengan bilangan batu-batu kecil atau pasir yang segenggam tangan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wassalam telah memenuhi ruang udara dan mengenai seluruh mata musuh. Pada hakikatnya peristiwa luar biasa ini adalah mukjizat, sebagai tanda pemuliaanAllah s.w.t. ke atas Rasui-Nya dan para mukmin. Jadi, apakah hubungan maksud ayat tersebut dengan kebebasan tindakan manusia dan tidak bebasnya mereka? Dengan inisaya flkir tidak perlu penjelasan yang lebih lanjut lagi dalam masalah yang kita bincangkan ini.

*TAMAT fragmen kitab Kubral Yaqiniyyat al-Kawniyyah.
Untuk mengikuti lagi perbahasan tentang topik ini, ‘Allamah al-Buti rahimahullah telah menulisnya secara khusus dalam bukunya yang lain yang berjudul “al-Insan : Musayyar am Mukhayyar?” (Manusia : Terpaksa atau Bebas?)