Showing posts with label Astronomi. Show all posts
Showing posts with label Astronomi. Show all posts

Thursday, January 17, 2008

Kiamat Sudah Dekat - Marikh

Oleh:
Ahmad Saifuddin Amran
Tahun 2, Fakulti Perubatan
Jordan University of Science and Technology
Salam. Mesti baca!! And sorry for the interruption. Ustaz Harun Din, korang kenalkan? Dalam ceramah dia, ada membaca sebuah artikel yang menceritakan bahawa dunia ni dah nak kiamat. Planet Marikh (planet ke-4 dan paling dekat dengan bumi) telah mengalami pusingan yang terbalik pada bulan September lepas. Maknanya, planet yang dekat dengannya juga (bumi) akan bertukar arah pergerakan dia juga. Maka pada saat itu akan terjadi kejadian matahari tenggelam sebelah timur (tanda-tanda besar kiamat). Ingat, matahari terbit sebelah barat, pintu taubat dah ditutup. Tiada harapan lagi!! Maklumat ni juga telah dihentikan penyebarannya oleh NASA kerana akan menguntungkan pihak Islam. Tolong sebarkan untuk kemaslahatan kita bersama. Wassalam

Khabar angin tentang dunia hampir kiamat kian bertahun lamanya berlegar-legar di dunia maya. Atas nama menyedarkan orang ramai, ramai antara kita tidak sedar yang sebenarnya kita telah menyebarkan perkhabaran palsu yang sangat dilarang oleh Rasulullah SAW. Bahkan tanpa kita sedari, hal ini boleh mendatangkan keaiban yang besar terhadap umat Islam kerana terang-terangan meninggalkan amalan yang dianjurkan Al-Qur'an iaitu "memastikan kebenaran berita".

Biarpun yang mengatakannya adalah seorang alim ulama, namun tidak semestinya setiap patah kata yang keluar dari mulut beliau adalah tepat dan boleh diterima. Lebih-lebih lagi jika perkara yang disampaikan itu bukan dari bidang yang dikuasai. Menjadi kewajipan juga menegur kesilapan walaupun di kalangan ulama kerana manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Bukan saja pemerintah yang perlu ditegur, kadangkala ulama juga.

Alhamdulillah, penghargaan kepada imakubex, salah seorang forumer di portal iluvislam.com yang telah berjaya memperbetulkan kesilapan ini. InshaAllah dalam artikel kali ini, saya akan cuba menghuraikan semudah yang mungkin secara saintifik fenomena yang berlaku. (Saya pohon rakan-rakan aliran fizik untuk perbetulkan kesalahan jika ada)

Retgrograde Motion

Fenomena retrograde motion (peredaran songsang) adalah fenomena semulajadi yang berlaku pada beberapa planet dalam sistem solar kita. Begitu juga yang berlaku pada planet Marikh. Marikh menyongsang setiap 25.6 bulan selama 72 hari. Kebiasaannya, kita akan melihat di langit pada waktu malam bahawa semua planet akan beredar dari Timur ke Barat. Fenomena normal ini dinamakan direct motion atau prograde motion (peredaran biasa). Namun yang demikian, kadangkala juga pergerakan planet dilihat dalam bertentangan arah iaitu dari Barat ke Timur untuk satu waktu yang seketika. Fenomena inilah yang dinamakan retrograde motion seperti yang ditunjukkan dalam video berikut:


Video di atas menunjukkan peredaran Marikh yang dilihat dari Bumi yang mengalami retrograde motion pada tahun 1994-1995. Planet lain yang mengalami fenomena yang sama ialah:
  • Musytari (Jupiter) selama 121 hari setiap 13.1 bulan
  • Zuhal (Saturn) selama 138 hari setiap 12.4 bulan
  • Uranus selama 151 hari setiap 12.15 bulan
  • Neptun selama 158 hari setiap 12.07 bulan
Sistem Ptolemy

Model sistem solar yang dibina Ptolemy (87 - 150 AD) adalah perbaikan berdasarkan model alam semesta Aristotle (384 - 322 BC). Model ini mengandungi beberapa siri bulatan sepusat (concentric sphere) dalam keadaan Bumi menjadi pusat (geocentric). Dalam model ini, Matahari, Bulan dan bintang-bintang beredar mengelilingi Bumi.


Ptolemy menjelaskan, dalam model ini planet-planet beredar secara epikitaran (epicycles) iaitu planet beredar dalam satu bulatan orbit yang kecil dan dalam masa yang sama juga mengelilingi Bumi. Hal ini dapat dijelaskan dalam video yang berikut:


Animasi di atas menunjukkan bagaimana Model Geosentrik Ptolemy menghasilkan peredaran planet secara retrograde motion untuk planet mempunyai orbit di luar orbit Bumi.


Animasi di atas menunjukkan bagaimana Model Geosentrik Ptolemy menghasilkan peredaran planet secara retrograde motion untuk planet yang mempunyai orbit di dalam orbit Bumi.

Sistem Copernican

Model Copernican menggantikan Model Ptolemy dalam aspek Matahari menjadi pusat dalam sistem solar (heliocentric). Model beliau masih lagi menggunakan orbit yang bulat (justeru memerlukan penambahbaikan kerana orbit planet sebenarnya berbentuk elips). Walau bagaimanapun, jika hendak dibandingkan dengan Model Ptolemy, Model Copernican adalah jauh lebih tepat tanpa memerlukan kepada epikitaran atau penjelasan lain yang rumit.

Sistem ini menjelaskan bahawa retrograde motion yang berlaku adalah disebabkan planet yang berada lebih jauh dari Matahari beredar dengan lebih perlahan berbanding planet yang lebih dekat. Apabila Bumi memintas planet yang lebih perlahan peredarannya ini, ketika itu berlaku fenomena retrograde motion seperti yang ditunjukkan dalam video:


Animasi di atas menunjukkan bagaimana Model Heliosentrik Copernican menghasilkan peredaran planet secara retrograde motion bagi planet yang mempunyai orbit di luar orbit Bumi.


Animasi di atas menunjukkan bagaimana Model Heliosentrik Copernican menghasilkan peredaran planet secara retrograde motion bagi planet yang mempunyai orbit di dalam orbit Bumi.

Retrograde motion dapat dihurai dan dianggarkan dengan lebih tepat lagi sekiranya model ini digabungkan dengan penambahbaikan (refinement) oleh Kepler (iaitu orbit yang berbentuk elips dan Matahari menjadi pusat, juga hubungan antara jarak dari matahari dan kelajuan orbit).

Analogi Mudah

Sekiranya penjelasan di atas sukar difahami, saya berikan satu analogi. Bayangkan ada dua buah kereta yang berpusing mengelilingi roundabout. Kereta di sebelah luar bergerak lebih perlahan dari kereta yang di sebelah dalam. Apabila kedua-dua kereta ini berselisih, pemandu kereta yang sebelah dalam akan nampak seolah-olah kereta yang di sebelah luar bergerak mengundur ke belakang. Hakikatnya kereta tersebut juga bergerak ke hadapan. Fenomena inilah yang dimaksudkan sebagai retrograde motion.

Kita dapat melihat fenomena tersebut untuk satu tempoh yang agak panjang kerana orbit yang besar menyebabkan tempoh perselisihan itu panjang berbanding analogi kereta yang mengambil masa beberapa saat untuk berselisih.

Beberapa Persoalan

Dengan fakta yang telah dihuraikan, ternyatalah dakwaan tentang Marikh bergerak pada arah bertentangan cumalah fenomena semulajadi dan tidak memberi kesan kepada putaran orbit Bumi. Walaubagaimana pun, terdapat lagi satu persoalan yang belum saya jelaskan berkenaan dakwaan tersebut.

Benarkah paksi Bumi boleh berubah lantas menyebabkan matahari timbul dari Barat?

Sekiranya benar, apakah fenomena yang menyebabkan paksi Bumi itu berubah?

Dan sebagai soalan tambahan, benarkah gempa bumi yang menimpa di Acheh telah mengubah paksi Bumi menjadi semakin condong?

InshaAllah akan dijawab pada masa yang akan datang.

(sekiranya tidak faham, bertanyalah kepada doktor fizik)

Rujukan


1. GEO-154 Astronomy - Retrograde Motion
2. Wikipedia - Retrograde and direct motion

Saturday, January 12, 2008

Alam Semesta Berbentuk Trompet


Oleh:
Ahmad Saifuddin Amran
Tahun 2, Fakulti Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Pendahuluan

Persoalan tentang bentuk alam semesta atau dalam bahasa saintifiknya geometry of the universe sentiasa menjadi subjek kajian para ahli astronomi dan ahli kosmologi. Dengan bantuan pelbagai alat dengan teknologi terkini, pelbagai teori telah dikemukakan tentang rupa bentuk sebenar alam semesta ini. Adapun dalam menerangkan bentuk alam semesta, para saintis menggunakan dua kaedah iaitu local geometry, berkaitan tentang kelengkungan alam semesta yang mampu dilihat dengan mata atau bantuan teknologi manakala global geometry pula menjelaskan tentang topologi alam semesta secara keseluruhannya.

Teori Bentuk Mendatar/Leper


Berteraskan global geometry, para saintis telah mengemukakan beberapa teori tentang bentuk alam semesta. Antara teori tersebut menyatakan bahawa alam semesta ini berbentuk mendatar (flat universe). Bentuk dua dimensi ini dapat dijelaskan melalui satu kaedah pengiraan yang dipanggil Euclidean space. Dengan kaedah pengiraan Euclidaen juga, para saintis telah menemukan teori alternatif lain yang menyatakan alam semesta juga berkemungkinan berbentuk seperti silinder, Mobius strip, torus atau Klein bottle.


Teori Bentuk Sfera

Selain itu, terdapat juga teori yang mengatakan bahawa alam semesta ini berbentuk sfera (spherical universe). Untuk membuktikan teori ini adalah dengan, mereka menganalisis data dari Wilkinson Microwave Anisotropy Probe (WMAP) untuk mengesan pelbagai imej alam semesta yang jauh secara belakang membelakangi (back-to-back). Sekiranya alam semesta ini saling bercantuman dalam bentuk sfera, sepatutnya banyak imej tersebut dapat dilihat. Namun begitu, teori mereka tidak disokong oleh analisis data yang diperoleh. Walaubagaimanapun, mereka masih yakin bahawa alam semesta ini adalah sfera. Cuma ruang kelengkungannya yang kecil menyebabkan data yang diperlukan tidak diperoleh.


Kosmo Berbentuk Trompet


Terkini, saintis telah mengemukakan satu lagi teori yang menyatakan bahawa alam semesta berbentuk seperti trompet. Bentuk trompet ini atau nama lainnya Picard horn atau Picard topology dapat dijelaskan melalui hyperbolic geometry. Bentuk ini nampak seperti tidak masuk akal, akan tetapi menurut Frank Steiner dari University of Ulm yang mengetuai kumpulan pengkaji dari German, beliau mengatakan bahawa berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, beliau mendapat alam semesta (kosmo) seolah diregangkan menjadi corong yang panjang. Satu bahagian sempit satu bahagian lagi terbuka luas seperti loceng. Dengan kata lain juga, ruang angkasa adalah terbatas.

Persoalan Terjawab


Teori ini berjaya menyelesaikan dua teka-teki dari pemerhatian yang diperoleh. Salah satunya adalah tentang corak tompok-tompok panas dan sejuk yang dilihat pada cosmic microwave background radiation. Pemerhatian ini menunjukkan bahawa alam semesta saling tidak ubah seperti alam semesta pada 380,000 tahun selepas kejadian Big Bang. Dengan bantuan WMAP milik NASA, mereka mendapati bahawa corak-corak tersebut terpadam dengan skala yang besar di mana tiada tompok-tompok panas atau sejuk jelas yang melebihi 60 darjah. Berdasarkan fakta ini, Frank Steiner mendakwa bahawa teori yang dikemukan mereka disokong oleh pemerhatian ini.

Model ini juga menjawab satu lagi teka-teki yang menjadi persoalan apabila pada tahun 2003, satu kumpulan saintis menyatakan bahawa alam semesta ini terbatas (finite). Kumpulan saintis ini menggunakan model bentuk bola atau spherical universe. Akan tetapi seperti yang telah dijelaskan tadi, model ini tidak menepati data yang diperoleh dari WMAP apabila mereka gagal menemui sebarang imej back-to-back melalui analisis data. Sebaliknya, bentuk trompet yang dikemukakan tidak bercanggah dengan data dari WMAP.

Ruang Angkasa Yang Elip

Model ini juga mempunyai satu lagi kelebihan lain. Menurut teori yang konvensional iaitu berbentuk mendatar atau leper, tompok yang paling kecil pada langit mikroglombang (microwave sky) sepatutnya berbentuk bulat, namun hakikatnya tidak begitu. Menurut Steiner, tompok-tompok tersebut sebenarnya mempunyai bentuk sedikit elips. Picard topology menjelaskan keadaan ini. Dalam model tersebut, ruang lengkung angkasa bertindak sebagai kanta yang mengubah imej tompok yang sejak dari dahulu lagi bulat kepada bentuk yang dilihat seperti elips oleh mata kita.

Namun yang demikian, para saintis terpaksa meninggalkan salah satu prinsip asas kosmologi yang mengutarakan bahawa seluruh bahagian alam semesta ini secara kasarnya adalah serupa apabila menerima pakai model ini. Menurut Holger Then pula iaitu salah seorang ahli kumpulan pengkaji tersebut,
“If one happens to find oneself a long way up the narrow end of the horn, things indeed look very strange, with two very small dimensions.”

Apa yang menarik dalam model ini pada bahagian yang paling hujung, seseorang itu dapat melihat belakang kepalanya sendiri!

Menurut Kaca Mata Al-Qur’an


Dan Dia lah Yang menciptakan langit dan bumi Dengan (tujuan) Yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. dan bagiNyalah Kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. ia Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. [Al-An’aam : 73]
Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu Matilah makhluk-makhluk Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, kecuali sesiapa Yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka Dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). [Az-Zumar : 68]
Bukankah sangkakala juga dikenali sebagai trompet?

Di sini bukanlah tujuan saya untuk mencari-cari ayat Al-Qur’an demi membenarkan kandungannya berdasarkan penemuan-penemuan sains seperti di atas. Teori sekali-kali tidak akan mengatasi Hukum. Apatah lagi untuk membenarkan. Al-Qur’an bukan sebuah kitab yang mengajar sains, tapi merupakan kitab yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran-Nya seperti ungkapan popular oleh Dr Zakir Naik,

“Koran is not a book of science but a book of signs”
Penemuan sains melalui pelbagai proses evolusi sebelum hakikat sebenar ditemukan. Sebagai contoh, para cendekiawan Islam dahulu kala sendiri hanya baru mendapati bahawa bumi ini berbentuk sfera setelah kira-kira 830 M. Malah sebelum itu, mereka juga percaya bahawa bumi ini mendatar. Akan tetapi setelah kajian dilakukan, barulah mereka menemui hakikat bahawa bumi ini sebenarnya sfera. Mengapa fakta sains ini tidak terus saja diekstrak dari Al-Qur’an? Mengapa perlu ada kajian sebelum merumuskan fakta yang sedia ada di dalam Al-Qur’an? Sesungguhnya ini adalah tanda yang dimaksudkan oleh Allah seperti firman-Nya:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam Yang terbentang Luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka Bahawa Al-Quran adalah benar. belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? [Fusshilat : 53]

Penutup


Cara Allah memberi hidayah ialah dengan kita mencari, bukan hanya bergoyang kaki. Begitu juga cara Allah memperlihatkan kita tanda-tanda-Nya, dengan mencari dan mengkaji.

Wallahua’lam.

Rujukan
  1. Al-Qur’an Karim
  2. Wikipedia – Shape of the Universe
  3. Wikipedia – Picard horn
  4. The Independent - The universe is not round, say scientists - it is shaped like a trumpet
  5. Newscientist - Big Bang glow hints at funnel-shaped Universe
  6. The Register - Boffins trumpet horn shaped universe
  7. Wikipedia – Flat Earth