
Setelah hampir 8 bulan bertapak di laman sesawang, kami merasakan sudah tiba masanya untuk blog ini melalui proses penjenamaan semula bagi menyusun dan mengemas kini beberapa perkara. Mendapat inspirasi dari Harun Yahya Science Research Foundation, blog ini sebenarnya bermula dengan usaha separa serius dan sekadar cuba-cuba menghasilkan penulisan ilmiah. Walau bagaimanapun, kami tidak menyangka bahawa penulisan separa matang di blog ini menerima banyak komen dan kritikan yang meransang kami untuk terus melontarkan idea serta memperbaiki penulisan kami yang masih terdapat seribu kekurangan. Justeru, atas sambutan yang agak menggalakkan ini kami merancang memberikan blog ini satu nafas baru ke arah penulisan ilmiah yang lebih professional dan akademik.
Sekiranya Harun Yahya melancarkan perang terhadap Darwinism dan materialisme dan menjadikannya sebagai agenda utama, manakala kami pula memilih agenda pengislaman falsafah sains menurut kaca mata ahli sunnah. Hal ini bertitik-tolak dari kuantiti intelektual muslim yang masih terlalu sedikit keterlibatan mereka dalam mengetengahkan agenda pengislaman sains lantas mengakibatkan sebilangan besar masyarakat Muslim masih memandang sinis terhadap sains dan falsafahnya. Demi merealisasikan agenda tersebut, kami menggariskan beberapa objektif kami dalam merealisasikan ini iaitu:
- untuk mengembalikan semula tradisi sains dan falsafah yang tidak terpisah dari prinsip-prinsip Islam
- untuk menggalakkan kajian sains dan penyelidikan dengan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai salah satu sumber idea dan inspirasi
- untuk mengenali kerangka pemikiran para sarjana Islam ahli sunnah sama ada silam atau kontemporari dalam lapangan sains dan falsafah
Penjenaman semula ini juga termasuk memperbaharui akronim bagi blog ini dari MSH Research Foundation kepada MASHAREF yang kelihatan lebih komersial dan mudah diingati.
Tidaklah kami merasakan tugas ini mampu dipikul dalam jumlah kami yang sedikit ini. Justeru, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan sekiranya ada di kalangan para pembaca yang berminat dan bersungguh dalam penulisan ilmiah dan aktiviti idealisme, serta dapat konsisten dalam menghasilkan idea-idea baru dalam bentuk penulisan. Sekiranya berminat, segeralah emel ke bluetorch45[at]yahoo[dot]com supaya kami dapat menjemput anda sebagai penulis blog ini. Kami amat-amat memerlukan penyertaan dan komitmen dari anda.