Thursday, May 8, 2008

Allah Dewa Bulan?





Pendahuluan

Selesai membaca komik di atas, apakah perasaan anda? Marah? Geram? Bengang?

Sekiranya anda seorang Muslim yang tulen dan beriman, pastinya tanpa banyak budi bicara lagi anda akan menolak dakyah tersebut.

Tapi pernahkah anda terfikir bagaimana sekiranya dakwaan di atas benar? Bagaimana sekiranya Allah itu adalah Dewa Bulan? Bagaimana sekiranya kita bukan berada pada jalan yang sebenar? Wal'iyazubillah. Tapi itulah yang terlintas di hati saya setelah membaca komik ini. Keraguan.

Dalam sains, keraguan menemukan kita kepada jawapan. Jawapan bermula dengan persoalan dan keraguan. Penemuan-penemuan saintis kesemuanya adalah hasil daripada keraguan dan persoalan mereka terhadap alam. Bolehkah manusia terbang? Hasilnya tercipta kapal terbang.

Nabi Ibrahim Mencari Tuhan

Islam agama yang saintifik. Akidah Islam adalah akidah yang saintifik. Nabi Ibrahim AS memulakan pencarian Tuhan dengan kaedah saintifik, hipotesis. Ketika melihat bintang yang menyinar tinggi di atas langit, baginda membuat hipotesis dengan mengatakan bintang itulah Tuhan. Namun ternyata hipotesisnya meleset apabila terbenamnya bintang.

Baginda berpindah pula kepada bulan dan kemudian matahari. Namun kedua-duanya juga tidak menepati sifat Tuhan Yang Maha Hidup. Maka di situ tahulah baginda bahawa Tuhan yang sebenar adalah Pencipta bintang, bulan dan matahari dan Dialah Tuhan Yang Maha Agung.

Islam berbeza dengan Kristian. Kristian memandulkan akal penganutnya, tapi Islam sejahtera dengan akal. Sesetengah orang berkata, Islam tidak boleh dipersoal. Sekiranya Islam itu benar, kenapa tidak boleh mempersoal?

Keraguan membawa kepada jawapan.
Dubito, ergo cogito, ergo sum!
“Aku meragui, lantas kuberfikir. Aku berfikir, lantas kutemui diri”
Rene Descarte (1596 - 1650)


Islam dan Bulan

Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk menyembah bulan. Malahan Islam melarang secara khusus di dalam Al-Quran bentuk penyembahan tersebut.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari maupun bulan, tapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, Jika ialah yang kamu hendak sembah. (Q 41:37)


Di dalam Islam, fungsi bulan adalah menentukan tarikh kalendar hijri (lunar calendar). Perkara ini dipersetujui Al-Quran yang menyatakan bahawa bulan adalah salah satu makhluk-Nya yang tertakluk di bawah Law of Nature Allah.

Tidakkah kamu memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia tundukkan matahari dan bulan masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Q 31:29)


Sekiranya Allah adalah Dewa Bulan menurut tuduhan yang dilemparkan dalam komik tadi, mengapa pula 'Dewa Bulan' ini mencipta satu lagi bulan untuk dimanfaatkan umat manusia? Ternyata tuduhan tersebut amat dangkal dan meleset.

Sejarah dan Asal-usul

Rasulullah SAW tidak pernah menggunakan Bulan sebagai simbol Islam. Pada zaman Rasulullah, dalam peperangan tentera Islam biasanya menggunakan panji-panji tidak bercorak. Umumnya, hitam, hijau dan putih menjadi warna pilihan.

Kerajaan Umayyah berperang di bawah panji berwarna putih. Manakala Kerajaan Abbasiyah menggunakan panji berwarna hitam. Kerajaan Fatimiyyah pula mengambil warna hijau sebagai panji perang. Dan kebanyakan negara yang terletak di Teluk Parsi memilih warna merah. Pengaruh warna putih, hitam, hijau dan merah masih boleh kita lihat sehingga hari ini pada bendera-bendera negara Arab.

Bulan sabit dan bintang hanya digunakan bermulanya zaman Turki Uthmaniyah.Pada zaman kekuasaan Kerajaan Byzantine, salah satu bandar iaitu Byzantium (kini Constantinople atau Istanbul) menggunakan simbol bulan sabit untuk bandar mereka. Simbol bulan sabit ini adalah lambang mereka memuliakan Diana iaitu Dewi Pemburuan. Kemudian pada tahun 330 CE (common era), Constantine telah mendedikasikan bandar tersebut kepada Mariam (virgin Mary) dengan menambah bintang pada simbol bulan sabit tersebut.

Apabila Turki berjaya menewaskan Byzantine, mereka telah menemukan banyak banyak panji-panji yang bersimbol bulan sabit lalu mereka. Menganggap bulan sabit sebagai satu petanda yang baik, mereka lalu mengambilnya sebagai simbol.

Bulan sabit dan bintang mula dimartabatkan sebagai simbol Islam pada masa pembukaan kota Constantine oleh Sultan Muhammad Al-Fateh (Mohamet II) pada tanggal 1453 CE. 250 tahun sebelum kejatuhan Constantine, bulan sabit dan bintang digunakan sebagai lencana oleh Richard I yang kemudiannya sudah tidak lagi digunakan apabila melihatkan tentera Muslim menggunakannya sebagai panji. Sejak itu, bulan sabit dan bintang semakin kerap digunakan oleh Muslim sebagai mempamerkan identiti mereka.

Judaism dan Kristian

Muslim menyembah Dewa Bulan kerana simbol Islam adalah bulan sabit. Bagi seseorang yang waras, pastinya dia tidak akan mengeluarkan atau menerima kenyataan yang cetek akal ini.

Agama Judaism (Yahudi) menggunakan Star of David (bintang enam bucu) sebagai simbol, adakah bermakna orang Yahudi menyembah bintang atau Dewa Bintang? Kristian menggunakan salib sebagai simbol, adakah ini bermakna orang Kristian menyembah salib? Sungguh ini tidak munasabah.

Seperti Islam, Yahudi juga menggunakan kalendar bulan untuk menentukan tarikh perayaan agama mereka. Kalendar agama Yahudi yang diadaptasi dari kalendar Babylon menganduni 12 bulan iaitu kira-kira 354 hari. Malah, orang Yahudi menganggap bulan ini sebagai satu simbolik yang sangat penting dalam agama mereka. Dalam sebuah artikel yang ditulis Rabbi Avrohom Berger, menyatakan:
The Jewish Nation has been likened to the moon. Our history, cyclical in nature, waxes and wanes like the moon through its cycle hidden at times, but always reemerging to full blossom.


Hal ini membuktikan dakwaan orang Islam menyembah Dewa Bulan adalah tertolak sama sekali sekiranya alasan yang digunakan adalah kerana Islam menggunakan kalendar bulan. Malahan jika menurut logik, agama Yahudi lebih layak dinisbahkan kepada agama penyembah Dewa Bulan kerana selain menggunakan kalendar bulan, mereka menganalogikan diri mereka sendiri dengan bulan. Tapi mengapa pula Islam yang dituduh sedemikian? Kita yakin sikap yang double-standard ini tidak pernah diajar dalam Bible.

Tuduhan pelukis ini juga kalau diteliti sebenarnya seakan-akan meludah ke langit jatuh terkena pada supra orbital marginnya sendiri. Sama ada dia sedar atau tidak, berbanding dengan agama Samawi yang lain (Islam dan Yahudi) Kristianlah agama yang mengambil matahari sebagai rujukan untuk kalendar.

Kalendar matahari ini dijadikan kalendar rasmi Kristian lewat tahun 325 CE, iaitu ketika masih berleluasa agama pagan yang menyembah matahari. Ketika diutuskan Nabi Isa AS, konsep ketuhanan Dewa Matahari adalah kepercayaan yang popular dan dianuti
oleh kesemua negara yang kemudiannya didoktrinkan dengan ajaran Kristian. Buktinya, Apollo dan Dionysus dewa orang Greek, Hercules dewa orang Rom, Mithra di kalangan orang Parsi, Osiris, Isis dan Horus di kalangan orang Mesir, semuanya adalah dewa matahari. Minda yang waras tidak akan dapat menolak bahawa adanya pengaruh kepercayaan kepada dewa matahari dalam penggunaan kalendar matahari di dalam Kristian.

Kesimpulan

Apakah perasaan kita yang sepatutnya tatkala berhadapan dengan situasi begini? Apabila kedapatan orang bukan Islam melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap Islam sebenarnya yang disalah fahami. Seorang Muslim semestinya akan marah. Akan tetapi seorang Muslim yang rasional tidak sahaja berasa marah, malahan kasihan dengan si pemfitnah tersebut.

Kasihan kerena mereka tidak tahu. Kasihan kerana mereka salah faham. Kasihan kerana mereka belum lagi memperoleh petunjuk Allah. Jangan pula kita beralasan dunia kini tanpa sempadan dengan perkembangan internet. Info yang benar dan tepat tentang Islam dapat dicapai dengan hanya di hujung jari.

Anda sebagai Muslim pasti yakin bahawa pegangan anda adalah benar. Dengan keyakinan tersebut, apakah mungkin anda ingin mencari kebenaran tentang Kristian? Begitu juga mereka. Mereka yakin dengan pegangan mereka. Selagi tidak didekati, selagi itu mereka tidak akan didorong untuk mencari kebenaran Islam.

Rujukan

1. About.com - The Crescent Moon: Is it a symbol of Islam
2. Bismika Allahuma - What is the Significance of Crescent Moon in Islam
3. Helium - Assessing the importance of the star and crescent symbols in Islam
4. Al-Islaah Publications - The Star and Crescent
5. Religion Facts Islamic Symbols

p/s : Saya ada kawan Arab Kristian yang sangat baik. Sangat mengambil berat tentang pelajaran saya. Sedihnya rasa bila melihat dia yang duduk di negara 90% Muslim, tidak dibuka hidayah Allah. Tapi lebih sedih dengan diri sendiri kerana tidak punya kekuatan untuk menceritakan Islam kepada beliau.

3 comments:

Anonymous said...

Dimana kah saudara mengambil artikel ini?adakah artikel ini di karang sendiri oleh idea saudara?saya sgt teruja dgn karangan2 artikel dari blog ini. Tahniah kpd saudara.

Ahmad Saifuddin Amran said...

Not exactly. Kalau isi dan fakta dalam artikel of courselah kami ambil dari rujukan lain. Cuma kami olah ayat dan tambah sikit idea sendiri je. That's all

Pemasaran & Jualan (01115099848) said...

LUDAH KE SUPRA ORBITAL MARGIN SENDIRIK.. HA3X

NASIB LUDAH TAK MASIK BALIK KE SUBMANDIBULAR GLAND SENDIRIK..