Tuesday, January 15, 2008

Bayi Yang Berwajah Ular



Oleh:
Ahmad Saifuddin Amran
Tahun 2, Fakulti Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Anda pasti pernah melihat video tentang kelahiran seorang bayi yang berwajah ular di atas. Diceritakan bahawa kejadian yang pelik ini berlaku di sebuah hospital di Mekah. Berikut saya copy pastekan kisahnya.

Rakaman di Hospital Makkah. Kejadian ini benar2 berlaku di Makkah. Member office pergi ke Makkah menunaikan Umrah. Bertolak 10 Jun 2007 dan pulang ke Malaysia 27 Jun 2007.
Ceritanya berlaku kat hospital Makkah. Ibu malang ini telah mempunyai 2 orang anak perempuan dan mengandungkan anak ketiganya yang menurut kata doctor anak itu juga seorang perempuan. Memandangkan ibu itu sudah mempunyai 2 anak perempuan jadi dia teringin pula anak lelaki. Oleh kerana doktor mengatakan anak yang dikandungnya adalah perempuan, dia merasa sedih dan setiap kali orang tanyakan kandungannya lelaki ke perempuan (semasa dia mengandung) dengan berseloroh dia menjawab dia mengandungkan anak ular. Tiba hari yang ditentukan Allah untuk dia melahirkan bayi di dalam kandungannya itu, maka dia telah melahirkan anak yang menyerupai wajah ular.

Sebagai seorang yang beraliran sains dan mempelajari ilmu perubatan, amat sukar sekali bagi saya untuk mempercayai cerita-cerita yang boleh dikategorikan sebagai tahyul edisi Mastika ini. Saya yakin dan percaya sesuatu yang berlaku meski perkara paling ajaib di dunia sekalipun pasti ada penjelasan logik dan saintifik kerana Allah tidak menjadikan dan mengatur alam ini melainkan dengan sunnah-Nya. Alhamdulillah, setelah melakukan pencarian akhirnya saya menemui punca berlaku kejadian tersebut. Dan hakikatnya kejadian di atas tiada kaitan dengan unsur-unsur mistik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya termasuk dalam ilmu perubatan.

Harlequin type ichthyosis


Harlequin type ichthyosis (atau sinonimnya harlequin ichthyosis, ichthyosis congenita, keratosis diffusa fetalis) adalah sindrom penyakit kulit yang paling parah dan hanya berlaku pada bayi yang baru lahir.

Ciri-ciri Harlequin dapat dilihat pada penebalan pada lapisan keratin kulit bayi yang membentuk sisik-sisik tebal kemerah-merahan dan berbentuk seperti berlian (diamond). Sisik tebal pada kulit bayi ini sangat membataskan pergerakan bayi malah menyukarkannya untuk bernafas dan makan.

Bayi Harlequin selalunya tidak dapat bertahan untuk hidup lama. Hal ini kerana rekahan-rekahan pada kulit yang mengeras tersebut memudahkan bakteria atau bahan tercemar menembusi badan seterusnya mengakibatkan jangkitan yang membawa maut. Untuk memanjangkan hayat, bayi Harlequin perlu dimasukkan ke dalam neonatal intensive care unit dengan segera.

Penyakit ini amat jarang sekali berlaku dengan kadar satu per 300 000 dan insidennya juga tidak cenderung pada mana-mana jantina atau bangsa.

Sejarah

Kelahiran pertama bayi Harlequin dicatatkan pada tahun 1750 oleh seorang Reverend Oliver Hart dari Charleston, South Carolina yang menulis dalam diarinya:

On Thursday, April ye 5, 1750, I went to see a most deplorable object of a child, born the night before of one Mary Evans in 'Chas'town. It was surprising to all who beheld it, and I scarcely know how to describe it. The skin was dry and hard and seemed to be cracked in many places, somewhat resembling the scales of a fish. The mouth was large and round and open. It had no external nose, but two holes where the nose should have been. The eyes appeared to be lumps of coagulated blood, turned out, about the bigness of a plum, ghastly to behold. It had no external ears, but holes where the ears should be. The hands and feet appeared to be swollen, were cramped up and felt quite hard. The back part of the head was much open. It made a strange kind of noise, very low, which I cannot describe. It lived about forty-eight hours and was alive when I saw it.

Punca

Kajian terkini oleh kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Queen Mary's School of Medicine and Dentistry di London telah mengenalpasti bahawa penyakit ini disebabkan berlakunya mutasi pada gen ABCA 12. Dalam kajian ini, 11 dari 12 pesakit Harlequin dikenalpasti terdapat mutasi pada gen ABCA 12.

Gen ABCA 12 berfungsi menghasilkan protein yang diperlukan untuk pertumbuhan kulit yang normal. Walaupun protein yang dihasilkan itu masih belum lagi diketahui fungsi sebenarnya, namun para pengkaji percaya bahawa protein tersebut memainkan peranan penting dalam pengangkutan lipid ke bahagian paling luar kulit (epidermis).

Mutasi pada gen ABCA12 mengakibatkan protein ABCA12 kehilangan fungsi dalam menghasilkan epidermis yang normal. Hal ini menghalang kulit dari mendapatkan perlindungan yang berkesan lalu menyebabkan kulit menjadi keras dan bersisik.

Harlequin diwarisi secara autosomal recessive trait. Dengan kata lain, kedua-dua ibu bapa pesakit ini adalah pembawa penyakit akan tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda penyakit.

Diagnosis


Diagnosis terhadap Harlequin mestilah dilaksanakan seawal 17 minggu selepas kehamilan. Tanda-tanda kelahiran Harlequin dapat dikesan apabila terdapat penghasilan keratin yang berlebihan (overproduction) dan titisan lipid yang abnormal dalam sampel cecair amniotik yang diperoleh. Pada 20 minggu selepas kehamilan pula, foetal skin biopsy perlu dilaksanakan untuk mengesahkan diagnosis sebelum ini. Ibu bapa akan diberi pilihan sama ada untuk menggugurkan kandungan fetus setelah diagnosis benar-benar disahkan. Kini, ciri-ciri umum Harlequin dapat dikenalpasti dengan bantuan alat ultrasound diikuti dengan pemeriksaan 3D ultrasound.

Rawatan

Bayi Harlequin memerlukan penjagaan yang intensif dan berterusan. Selain pengawasan yang berterusan, mata mereka perlu sentiasa dilindungi dengan ophthalmic lubricant (pelincir mata). Mereka juga memerlukan nutrien dengan cara intubation atau IV drips kerana sukar untuk memberi makan secara normal kepada mereka. Persekitaran yang steril perlu juga dikekalkan untuk mencegah jangkitan di samping memberi larutan garam disusuli dengan lubricant untuk melembutkan kulit dan membantu meluruhkan sel-sel kulit.

Keraguan Terhadap Kisah


Saya sangat meragui kebenaran kisah yang cuba disampaikan oleh sang penglipurlara. Pendapat saya, beliau sengaja mempergunakan alasan menunaikan umrah bagi meyakinkan pendengar terhadap hikayat beliau. Kononnya orang yang selesai menunaikan umrah tidak mungkin akan melakukan pembohongan. Apatah lagi hikayat tersebut berlaku di Mekah maka sudah tentu kejadian tersebut pasti berlaku kerana Mekah adalah tempat yang dimakbulkan doa.

1. Sekiranya benar berlaku pada Jun 2007 ketika umrah, sudah tentu kes ini akan menjadi gempar kerana penyakit ini adalah antara yang jarang sekali berlaku. Tapi kita tidak pula mendapati sebarang liputan berita tentang kelahiran ganjil tersebut.


2. Bagaimana pula beliau tahu secara terperinci tentang family history ibu yang melahirkan bayi tersebut sedangkan beliau datang ke Mekah bertujuan untuk melaksanakan umrah, bukan untuk menjadi doktor. Apatah lagi untuk menyambut bayi. Salah satu etika kedoktoran ialah merahsiakan maklumat pesakit kepada umum.


3. Ketika doktor memeriksa jantina fetus di dalam kandungan, apakah doktor tidak mengesan atau mengecam sebarang keabnormalan pada fetus? Dengan bantuan ultrasound pun sudah cukup untuk mengesan ciri-ciri Harlequin dan membolehkan ibu tersebut membuat pilihan sama ada untuk menggugurkan atau tidak.

4. Ibu mana yang tergamak mendoakan keburukan anak sendiri.

Keraguan-keraguan di atas jelas membuktikan sang penglipurlara tidak lebih melainkan cuma mengada-adakan cerita yang ingin meraih populariti murahan. Semoga Allah mengampunkan dosanya dan semoga umrahnya diterima.

Sikap Kita

Sesetengah masyarakat kita yang masih dibelenggui fahaman animisme dan khurafat gemar sekali mengaitkan kejadian-kejadian ganjil seperti ini dengan sumpahan, buatan orang, jin atau syaitan, kenan atau lainnya. Jauh sekali mereka mahu melihat perkara ini dari aspek saintifik. Lebih teruk lagi, terdapat mereka yang memanipulasikan perkara ini sebagai alat mainan untuk gurauan atau menakut-nakutkan masyarakat.

Sedangkan di Barat sudahpun ditubuhkan institusi-institusi yang menyelidik penyakit ini secara khusus demi mencari punca dan penawarnya. Kita pula masih rela dibodohkan dengan kisah-kisah khayalan dan kayangan yang tidak berpijak di bumi nyata. Malah dengan membuta-tuli mempercayai hikayat-hikayat tersebut tanpa berusaha memastikan kebenaran dan kesahihannya.

Bukanlah saya menafikan "kun fayakun" Allah, akan tetapi seperti yang saya jelaskan tadi Allah sekali-kali tidak akan melanggar sunnah-Nya dalam mencipta dan mengatur alam. Segala-galanya pasti terdapat penjelasan yang logik dan saintifik. Bukankah Allah banyak menekankan kita untuk memaksimakan penggunaan akal untuk menghayati ciptaan-Nya?

Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. [Az-Zumar : 21]

Rujukan

  1. WebMD -Ichthyosis, Harlequin Type
  2. Doctors Lounge - Harlequin Type Ichthyosis
  3. BBC - Ichthyosis Foetalis and Harlequin Babies
  4. Ispub.com - A Case Of Harlequin Fetus With Psoriasis In His Family
  5. Wikipedia - Harlequin type ichthyosis

10 comments:

Anonymous said...

bagus2x.. adakah ini blog yang ketiga? selepas blog di fs dan yahoo 360?

Ahmad Saifuddin Amran said...

Ini adalah blog yang keenam (sekiranya dikira sekali blog yang dah didelete dan yang tak aktif)

Anonymous said...

teruskan usaha anda

kebenaran perlu didedahkan

satu lagi puden, nanti mestika mesti ambil koma jadi wartawan.hir3

Ahmad Saifuddin Amran said...

kalau Mastika ambik aku jadi wartawan, benda pertama sekali aku buat aku akan hapuskan ruangan cerita karut-marut yang berlaku di Tanah Haram. Apa benda orang nak buat ibadah, dia pergi takut-takutkan pulak.

Kalau nak lariskan majalah, cakap jelah nak lariskan majalah. Nak bagi orang insaf konon. Memburuk-burukkan tanah suci adalah.

Anonymous said...

betul tu jangan percaya benda karut marut. Tp pada pndangan saya, bukan masalah karut marut, tapi masalah ibu bapa selalu sebut pasal anak dia. Setahu saya, ibu dia selalu sebut yang anak yang dikandungnya anak ular. Bagi saya, ini bukan sumpahan, tapi doa dari ibu bapa mereka. Kalo x, takkan Islam mengajar ibu bapa supaya banyakkan amalan masa mengandungkan bayi mereka. Bukankah itu pun doa utk kebaikan anak mereka? Saya rasa, kata2 ibu anak ini adalah doa kepadanya, bukan sumpahan. Sbb tu kalo dah jadi ibu ayah, jgn suka2 hati je cakap bukan2 pada anak. Ke salah pendapat saya ni ye? kalo salah harap betulkan, syukran.

Ahmad Saifuddin Amran said...

ya, saya tau doa itu penting. secara umumnya semua orang tau benda tu. maka tak perlu saya tekankan isu doa. isu yang mahu saya tekankan ialah dari aspek apa masyarakat memandang perkara ini. aspek metafizik atau saintifik?

dan lagi satu, sejauh mana keprihatinan kita memastikan kebenaran suatu cerita. saya agak anti dengan benda-benda forward ni.

Anonymous said...

Satu perkara yang perlu kita buat pada masa sekarang.
'Hapuskan kepercayaan karut-marut dalam komuniti kita.'

Perkara macam inilah yang menyebabkan kita jadi lemah. Senang terpengaruh dan senang terpedaya.

Anonymous said...

yang hak jelas, yang batil pon jelas

jadi tiada percampuran antara hak dan bathil

Anonymous said...

umno yg tak sensitif dengan isu halal haram nyer kerja la nih..

Kesian kat mastika. diorang nak cari makan. ape leh buat... kekeke

ibnmasir said...

Salam..Alhamdulillah..sedare saifuddin menerangkan mane yg x terang..sblm bace artikel nie,saye pn xtau de sakit nie..saye mintak kebenaran utk publish artikel ni kt blog saye..supaye ramai lg mengetahui.."lepaQ sambil berpiQir"..syukran sedare..