Wednesday, January 23, 2008

Manusia Akar

Oleh:
Ahmad Saifuddin Amran

Dalam novel fiksyen The Lord of the Ring karya J.R.R Tolkien, terdapat satu makhluk fantasi yang diberi nama Ent. Ent adalah makhluk pokok gergasi yang seakan-akan manusia dan boleh bergerak seperti makhluk yang hidup.

Di Indonesia pula, gempar seorang nelayan yang bernama Dede ditumbuhi ketumbuhan yang kelihatan seolah-olah akar pokok pada tangan, kaki dan wajahnya. Beliau tidaklah digelar sebagai Ent, sebaliknya dipanggil sebagai Manusia Akar atau Manusia Pohon. Dede sebenarnya mengidap sejenis penyakit epidemik yang sukar diubati dan penyakit aneh itu dikatakan dua atau tiga kes di dalam dunia.

Punca

Menurut seorang pakar dermatologi warga Amerika yang mengkaji kes ini, Dr Anthony Gaspari, setelah mengkaji sampel darah Dede beliau membuat kesimpulan bahawa penyakit itu berpunca dari Human Papilloma Virus (HPV). Virus ini biasanya menyebabkan ketumbuhan kecil yang dinamakan ketuat atau kutil. Dalam masa yang sama pula, beliau mengalami gangguan sistem imunisasi berpunca dari kecacatan genetik. Hal ini menyebabkan sistem imun badan tidak dapat menghalang pertumbuhan ketumbuhan itu dari terus merebak dan membesar.

Segala-galanya bermula ketika Dede berumur 15 tahun, beliau tanpa sengaja telah mengalami kecederaan pada lututnya semasa bekerja di tapak pembinaan. Setiap bulan, ketumbuhan tersebut membesar kira-kira 3 hingga 5 milimeter dan boleh membesar sehingga 5 sentimeter dalam setahun sehingga menyukarkannya melakukan pergerakan. Lebih malang lagi, beliau bukan sahaja tidak mampu lagi mencari nafkah sebagai nelayan malah beliau juga ditinggalkan isteri kerana penyakit tersebut (dan ini adalah hakikat perempuan yang hanya memandang material semata).

Rawatan



Setelah beberapa kali berulang alik ke Indonesia untuk melakukan diagnosis terhadap Dede dengan tujuan mencari rawatan untuk penyakit beliau, Dr. Gaspari mengemukakan penemuannya kepada lembaga pakar perubatan dan juga menghubungi syarikat pembuatan ubat untuk memberikan rawatan kepada Dede dengan percuma. Rawatan tersebut termasuklah dos vitamin A yang tinggi untuk membantu sistem imun berfungsi dan membekukan ketumbuhan yang tidak henti-henti bertumbuh dengan cecair nitrogen.

Baru-baru ini iaitu pada Khamis 24 Januari 2008, Dede telah pun menjalani pembedahannya yang ketiga dari 8 tahap yang telah dijadualkan. Pembedahan ini melibatkan 4 orang pakar bedah, seorang pakar dermatologi (kulit) dan seorang lagi pakar anestatik (pelalian) dan berlangsung selama 3-5 jam. Menurut Dr Hardi Siswo Soetedja yang mengetuai operasi pembedahan tersebut, pada asalnya pembedahan itu bertujuan untuk membuang ketumbuhan pada bahagian kaki namun tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan waktu. Operasi tersebut hanya membuang ketumbuhan pada bahagian belakang kepala, punggung, dubur, dan belakang paha seberat 700 gram.

Dede dijadualkan akan menjalani pembedahan yang berikutnya pada 3 minggu yang akan datang untuk membuang ketumbuhan pada bahagian kaki dan memasang tissue expander pada tangan.

Rujukan

1. The Sun - Half man, half tree, please help
2. Telegraph.co.uk -
Tree man 'who grew roots' may be cured
3. Wikipedia - Dede (Indonesian)
4. Departemen Kesehatan Republik Indonesia - Dede "Manusia Akar" Jalani Operasi Ketiga