Tuesday, January 22, 2008

Manusia Separuh Anjing

Oleh:
Ahmad Saifuddin Amran
Tahun 2, Fakulti Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Pendahuluan


Kali pertama melihat video di atas, sebagai manusia biasa saya juga berasa agak gerun. Makhluk dalam video tersebut dikatakan asalnya seorang anak yang telah disumpah oleh orang tuanya kerana derhaka. Lagi sekali, 'kisah benar' ini dikatakan berlaku di sebuah negara Arab kerana di negara Arab doa adalah makbul. Orang Arab juga kaum yang tidak gemar melakukan pembohongan dan penipuan.

Namun begitu, video ini telah menimbulkan beberapa keraguan dalam benak saya. Disebabkan rasa inquiry yang tinggi, tanpa mempedulikan kegerunan di hati saya melihat kembali video tersebut berulang-ulang kali untuk meneliti apakah benar bahawa ia adalah satu sumpahan.

Setahu saya, manusia kali terakhir disumpah adalah kaum Yahudi disumpah menjadi kera dan babi akibat mengingkari perintah Nabi yang melarang untuk bekerja pada hari Sabtu. Dan sejak itu tiada lagi kedengaran kisah-kisah manusia disumpah (kecuali Si Tenggang dan Malim Kundang, malangnya cuma mitos).


Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Alqamah yang tidak sengaja telah menyakiti hati ibunya dengan melebihkan kasih kepada isterinya. Tidak pula dia disumpah menjadi separuh anjing. Sebaliknya, dia mengalami kesukaran untuk mengucap dua kalimah syahadah pada saat-saat akhir hayatnya (dan itu lebih menggerunkan dari disumpah).

Keraguan-keraguan

Akal yang sihat pasti tidak akan mudah menelan cerita rekaan yang cuba disuapkan. Maka di sini saya senaraikan beberapa perkara yang mempertikaikan kebenaran video tersebut:

1. Dunia ini berjalan di atas Sunnatullah. Sumpahan separuh anjing berkepala manusia bukan Sunnatullah. Mana mungkin otak manusia serasi dengan sistem badan anjing yang jauh sekali jurang perbezaannya dengan sistem badan manusia.

2. Sekiranya benar itu satu sumpahan, nescaya makhluk tersebut tidak mungkin dapat hidup. Sebaliknya di dalam video, makhluk tersebut malah boleh berkata-kata dan memahami bahasa manusia. Mustahil menurut akal dan Sunnatullah makhluk seperti itu dapat hidup.


3. Mengapa dipamerkan di dalam sangkar? Adakah kerana bimbang rahsia terbongkar sekiranya penonton boleh mendekati makhluk sumpahan? Ataupun kerana kamu perempuan dan bimbang disentuh lelaki ajnabi yang mungkin mengambil kesempatan ke atas kamu? Kamu sedar kamu tu separuh anjing?


4. Mengapa wajah makhluk tersebut disolek? Adakah manusia sumpahan masih ada hati untuk bertabarruj? Siapa yang mungkin terpikat dengan kamu dalam keadaan kamu separuh anjing? Malahan anjing pun gerun melihat kamu.


5. Mengapa perlu berbaring di atas katil? Dan lebih pelik lagi kenapa pula berbaring di tempat paling hujung? Bukankah di situ tidak berapa selesa dan mudah terjatuh ketika tidur.

Saya berasa sangat pelik dengan sesetengah manusia yang tidak tahu bersyukur dilahirkan sebagai manusia. Hanya meraih populariti murahan, sanggup menggadai maruah berlakon menjadi makhluk sumpahan. Semoga Allah mengampuni kesilapannya.

Mirror Optical Illusion


Apa yang anda lihat dalam video tadi sebenarnya adalah salah satu trick yang popular di dalam silap mata dinamakan sebagai ilusi optik. Hanya menggunakan konsep fizik yang mudah, silap mata ini mampu membuat siapa sahaja ternganga melihat persembahannya. Video berikut adalah contoh silap mata serupa seperti yang dilakukan makhluk tadi:



Video ini diambil di pameran sains MTN Science Centre, Canal Walk, Western Cape, South Africa. Kagum bukan? Inilah sains. Untuk pengetahuan anda, ilusi optik ini hanya perlu menggunakan cermin sebagai alat untuk 'menipu' mata penonton. Berbanding dengan alat lain, silap mata yang berasaskan cermin sebenarnya membuatkan penonton lebih hairan dan kagum dengan persembahan.

Saya tidak berniat untuk merampas periuk nasi para ahli silap mata. Niat saya supaya orang ramai sedar dari terus diperbodohkan dengan penipuan ini. Lagipun, ilusi optik ini sebenarnya telah lapuk dan tidak lagi popular setelah rahsianya dibongkarkan.

Sphinxian Head


Ilusi optik yang dinamakan Sphinxian headini dapat dilakukan dengan dua cara. Salah satunya adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut:


Dalam Sphinxian head, dua buah plat cermin didirikan di antara kaki meja bersudut kira-kira 45 darjah dari dinding tepi seperti dalam gambar rajah. Pada meja pula terdapat lubang yang membolehkan kepala dijulurkan keluar. Cermin berfungsi memantulkan imej dinding di tepi lalu membuatkan penonton melihat pantulan imej ini seolah-olah imej dinding di belakang. Dengan itu, bahagian bawah meja kelihatan seolah-olah tiada badan akan tetapi sebenarnya badan itu terhalang oleh cermin.

Kadangkala, untuk membuatkan penonton berasa lebih kagum, kepala ahli silap mata tersebut akan dibuat seolah-olah bercantum dengan badan binatang untuk kelihatan seperti makhluk seperti di dalam video. Dengan sebab itu, silap mata ini mendapat asal-usul nama Sphinxian head sempena nama Sphinx iaitu makhluk lagenda berkepala manusia berbadan binatang.


Gambar rajah di atas adalah contoh lain untuk Sphinxian head. Sebuah cermin yang besar diletakkan pada sudut kira-kira 45 darjah di atas lantai. Kepala sehingga bahu menjulur keluar melalui lubang pada cermin. Penonton akan melihat imej pantulan siling C pada cermin lalu menyangkakan ia adalah dinding belakang (dengan syarat siling dan dinding belakang hendaklah sama).

Cara ini lebih efektif berbanding cara pertama dengan syarat cermin hendaklah bersih tanpa sebutir habuk sekalipun dan dinding, siling dan dalam sesetengah kes lantai juga mestilah diseragamkan dengan warna yang sama.

Penutup

Dengan penjelasan di atas, terbuktilah bahawa makhluk yang ditunjukkan dalam video cumalah ahli silap mata yang tidak bersyukur dilahirkan sebagai manusia. Meski pun cara yang saya jelaskan tadi sebenarnya tidak digunakan, saya pasti cara yang lebih murahan digunakan dalam silap mata ini iaitu dengan tidak membenarkan penonton masuk ke dalam sangkar untuk melihat apa sebenarnya yang ada di bawah katil. Sebetulnya tidak layak disebut silap mata.

Wallahua'lam.

Rujukan


1. Mirror Trick, Magic Optical Illusion

6 comments:

Anonymous said...

Teringat beberapa minggu lepas seorang lecturer ada mempertikaikan perangai student2 yang suka forward gambar2/video2 macam ni - yang ada kalimah Allah pada ikan, yang ada singa mengaum sebut nama Allah dan sebagainya.

Hurm.. Takkan sebagai manusia normal kena tunggu harimau mengaum baru hendak percaya Allah itu ada.

Takkan sebagai pelajar universiti kena tengok video manusia separuh anjing baru nak percaya yang azab itu ada.

Sedangkan Nabi Muhammad itu sendiri diturunkan daripada golongan manusia untuk menyampaikan kebenaran tentang kewujudan Tuhan, azab dan macam-macam lagi.

Manusia tidak mahu pula dia percaya, nasihat daripada haiwan juga yang dipilih.

Mungkin ini yang mahu didendangkan oleh Mastika.

Ahmad Saifuddin Amran said...

Itu yang aku pelik perangai umat Islam ni. Menantikan keajaiban untuk membenarkan Islam. Tidak cukupkah Al-Quran sebagai penambah iman? Tidak cukupkah Sunnatullah sebagai bukti kekuasaan-Nya? Mengapa mesti mahu yang pelik-pelik baru mengakui keagungan Allah?

Kalimah Allah pd buah-buahan, daging lembu, sarang lebah dan sebagainya cumalah kebetulan. Dalam surah An-Nahl, Allah tak pernah kata tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kalimah Allah pd sarang lebah. Sebaliknya, tanda kekuasaan-Nya adalah pada MANFAAT yg ada pada madu lebah dan lebah itu sendiri.

Kepada semua Muslim, tolonglah berhenti dari percaya benda2 mengarut macam ni.

Anonymous said...

penulis msti dah bljr teknik silap mata ni kan. lps ni mngkin boleh tunjukkan cara membuatnya secara live. baca 'cara-cara' tu mcm tak berapa faham.kena ada org tunjuk ahsan.

Ahmad Saifuddin Amran said...

saya dah alter sikit ayat yang tunjukkan cara nak buat. mungkin ayat sebelum ni agak berbelit kot. mudah je magic ni. tengok video budak tu, inshaAllah faham.

DaRk AnGeL said...

masyaALLAH.. dah tgk video ni baru lah faham mcm mana..
terima kasih lah menyedarkan saya...
haihh~~ manusia ni mcm2 ragam~
kesal sungguh dgn sikap manusia mcm ni...

ceset said...

look at this website replica bags china Going Here replica louis vuitton bags discover this info here replica louis vuitton bags