Friday, January 11, 2008

Ke arah memasyarakatkan (mengsosialisasikan) ilmu Syariah

Oleh: Ustaz Muhammad b Ab Razak, Tahun 1, Fakulti Syariah Wal Qanun,Jabatan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muqaddimah:

Pengalaman tinggal selama beberapa bulan di Mesir ternyata membuka mata hati saya dalam melihat dunia dan gelagat seisi manusia yang tinggal di dalamnya.Ternyata sesungguhnya kehidupan manusia ini sering tersasar dari arah tujuannya yang hakiki seandainya tidak disuluhi serta dibimbing petunjuk dan wahyu Ilahi secara terus-menerus. Pengalaman bercampur dan bergaul dengan bangsa Arab yang terkenal bahawa bangkit dari kalangan mereka semulia-mulia insan dan makhluk ciptaan Allah swt, Nabi Muhammad saw, nyata memberikan saya satu persepsi dan pandangan yang menarik terhadap bangsa dan makhluk bernama manusia ini.( Bukanlah maksud saya untuk menceritakan sisi buruk kaum Arab ini di dalam penulisan ini secara pukul rata dan menyeluruh terhadap mereka,anggaplah ianya sebagai pengajaran yang boleh kita sama-sama ambil iktibar daripadanya). Yang nyata dan pasti, kaum Arab pada masa kini sama dan serupa dengan mana-mana bangsa lain di muka bumi ini. Ada yang baik dan soleh dari kalangan mereka, tidak luak juga segelintir yang bersifat buruk dan jelik.

Cukuplah saya ceritakan pengalaman berurusan dengan mereka(bangsa Arab) dalam rangka menyelesaikan proses pendaftaran di Al-Azhar,sebuah institusi ilmu Islam terkemuka di timur dan barat. Seumur hidup, tidak pernah saya lihat mana-mana bahagian pendaftaran yang meminta wang demi semata-mata untuk menyelesaikan urusan pendaftaran(yang menurut sangkaan saya sudah dibayar bersama yuran pengajian) ketika mana saya diminta untuk mendapatkan cop pengesahan dari pegawai bertugas.Ternyata setelah saya tanyakan pada rakan-rakan, pembayaran wang itu adalah satu bentuk penyelewengan pekerja tersebut(menurut pendapat saya,inilah hasil kejayaan usaha campur tangan Yahudi dan musuh-musuh Islam dari pemisahan pentadbiran Al-Azhar dari majlis syuyukhnya,sehingga mencemar kredibiliti dan kemuliaan Al-Azhar As-Syarif).

Belum lagi saya ceritakan penyelewengan segelintir bangsa Arab Mesir ini dalam urusan perniagaannya yang seringkali menipu wang baki saya setelah selesai berurus niaga dengan mereka. Apa-apa pun, saya berbaik sangka dengan mereka (atas kesusahan hidup yang mereka tempuhi dan saya niatkan sedekah wang-wang tersebut) dengan beranggapan inilah hasilnya apabila manusia sudah mulai jauh dari petunjuk Tuhan (hasil pengaruh sistem kapitalisme yang mula mencengkam hidup masyarakat Mesir khususnya dan dunia umumnya). Perkara penting yang ingin saya tekankan di sini adalah melihat kepada gejala yang menimpa kaum Arab ini, yang sepatutnya terpikul tugas di bahu mereka membimbing dan berdakwah kepada bangsa lainnya,dan hasilnya adalah mengecewakan. Bangsa apa lagi ingin di harap membawa dan mengibar panji-panji Tauhid dan Syariat Allah swt ini agar berkibar megah di muka bumi?Justeru saya membuat kesimpulan apabila manusia sudah mulai jauh meninggalkan tugas mereka memahami dan beramal dengan petunjuk dan Syariah dari Allah swt, hasilnya adalah kerugian di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Bertitik tolak daripada ini,saya berhasrat, berazam dan bercita-cita untuk bersungguh-sungguh menyempurnakan tugas di bumi Kinanah (dan dimana2 tempat yang ditakdirkan kelak untuk saya mengutip cebisan ilmu2 Tuhan ini) ini mempelajari SyariahNya agar satu hari kelak(kalau tidak hari ini pun) saya menjadi salah seorang yang di pilih Allah swt untuk mati sebagai seorang tentera yang bertugas mengibar liwa’ut Tauhid (panji-panji Tauhid) setinggi-tingginya di muka bumi ini. Buat permulaan,dalam “posting” kali ini, biarlah saya sama-sama berkongsi dengan pembaca secebis ilmu yang diperolehi selama mendukung tugas menuntut ilmu di Al-Azhar yang mulia ini yang berkaitan dengan ilmu Syariah, serta serba sedikit motivasi untuk para pembaca agar bersemangat untuk turut serta dengan saya dalam jihad mengenal perintah dan larangan Allah swt,Raja segala raja,insyaAllah.

Pengenalan ilmu Syariah:

Takrif as-Syariah (الشريعة) :

Kalimat الشريعة adalah masdar (kata terbitan) dari kalimah شرع . Dari segi bahasa, kaum Arab telah menggunakan kalimah الشريعة bagi menerangkan dua maksud yang berikut, iaitu:

1) الطريقة المستقيمة yang membawa maksud “Jalan yang lurus”.
2) مورد الماء الجارى الذي يقصد للشرب yang bermaksud “ Laluan air mengalir yang digunakan untuk diminum”.

Manakala الشريعة dari sudut istilah bermaksud, الأحكام التي سنها الله تعالى لعباده علي لسان رسول من الرسول yang bermaksud “Hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya melalui lisan Rasul dari kalangan Rasul-rasulNya”.

Melihat kepada dua makna tersebuat –iaitu bahasa dan istilah- jelas menunjukkan kepada kita bahawa penggunaan kalimah “syariah” dari segi bahasa adalah zahir dan diguna pakai bagi menerangkan maksud istilahnya. Maka dari itu, dapat kita fahami bahawasa maksud dan tujuan syariah itu adalah membimbing dan membawa manusia ke arah jalan yang lurus (الطريقة المستقيمة) ,yang jauh dari segala bentuk penyelewengan dan membuahkan hasil kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama juga sepertimana apabila disebut dari segi bahasa bahawa kalimah “Syariah” membawa maksud laluan air dari sudut bahawa “Syariah” adalah satu jalan yang membawa kepada kehidupan insani dan kekenyangan akal, sama seperti mana air memberi kehidupan dan kekenyangan kepada tubuh badan manusia. (Syariat dalam perbahasan ini merangkumi Syariat-syariat samawi yang lain yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad saw).

Terbit daripada ini pula adalah perkataan الشريعة الاسلامية , yang membawa maksud istilahi sebagai :
مجموعة الأحكام التي سنها الله تعالى للناس جميعا علي لسان رسوله محمد صلى الله عليه و سلم في الكتاب و السنة yang bermaksud “Sekumpulan hukum-hakam yang diturunkan kepada manusia keseluruhannya di atas lisan RasulNya Nabi Muhammad saw di dalam al-kitab dan as-sunnah”. Syariah Islamiah menurut maknanya di sini membawa maksud terhad kepada masa Nabi Muhammad saw sahaja dan bukan selepas itu.Hal ini kerana, baginda adalah penyampai dan utusan dari Allah swt dan tidak ada lagi utusan selepas baginda secara mutlak dan pasti. Manakala apa-apa yang timbul dari ijtihad para sahabat, tabi’en dan para ulama’ bukanlah bermaksud Syariat secara hakiki, bahkan ia hanyalah semata-mata aplikasi pengetahuan mereka terhadap asas-asas qawaid kulliah (kaedah-kaedah menyeluruh) Syariah yang diturunkan oleh Allah swt melalui Nabi Muhammad saw terhadap perkara-perkara juz’ie yang baru muncul, dan istinbat(penentuan) mereka terhadap hukum-hakam daripada masadir(sumber2) Syariah Islamiah menurut pemahaman mereka dari Al-Quran,Hadith, Ijma, Qiyas dan sebagainya.

Ruang lingkup as-Syariah al-Islamiah (الشريعة الاسلامية):

Syariah Islamiah menurut maknanya yang istilahi(seperti yang telah disebut sebelum ini) mencakupi seluruh jenis hukum-hakam yang diturunkan Allah swt kepada hamba-hambaNya, iaitu:

1) الأحكام الاعتقادية (Hukum-hakam I’tiqadiyyah)

Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam I’tiqadiyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan asas dan usul agama iaitu Akidah yang merangkumi keimanan kepada ketauhidan Allah swt, para Rasul, Kitab, dan perkara-perkara sam’iyyat seperti malaikat, jin, hari kebangkitan, syurga, neraka, dan sebagainya.Maka mencukupilah ilmu Tauhid(Usuluddin) bagi menerangkan perbahasan hukum-hakam I’tiqadiyyah ini.

2) الأحكام الوجدانية (Hukum-hakam Wujdaniyyah)

Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam wujdaniyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlak batin dan naluri insani yang mulia sepert izuhud,wara’,sabar, lemah lembut, pemurah dan sebagainya.Maka mencukupilah ilmu akhlak ataupun tasawwuf dalam menerangkan perbahasan aspek hukum-hakam wujdaniyyah ini.

3) العملية الأحكام (Hukum-hakam ‘Amaliyyah)

Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam ‘amaliyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan amal perbuatan hamba yang boleh dikesan pacaindera manusiawi seperti solat,puasa, zakat, jual beli, , meninggalkan riba, arak, zina, mencuri dan sebagainya yang diperintah Allah swt untuk melakukannya dan ditegahNya agar ditinggalkan perbuatan tersebut.Maka mencukupilah ilmu feqh dalam menerangkan perbahasa mengenai hukum-hakam ‘Amaliyyah ini.

Kehendak dan keperluan manusia kepada syariat

Manusia diciptakan oleh Allah swt dalam keadaan yang serba kekurangan dan lemah. Manusia juga terdiri dari dua komponen utama iaitu komponen fizikal dan ruhi yang mana terkandung di dalamnya unsur kekuatan aqal,naluri kemanusiaan,hawa nafsu, kecenderungan dalam menilai dan sebagainya. Kedua-dua komponen tersebut memerlukan kepada instrumen ataupun bahan lain bagi meneruskan kelangsungan kehidupan diri manusia. Seperti yang maklum diketahui, tubuh badan manusia memerlukan makanan bagi mendapatkan tenaga, maka seperti itu juga sifat dan tabiat semulajadi unsur ruhi manusia yang memerlukan sesuatu yang lain untuk dipenuhi kehendak dan tuntutannya.

Keadaan ini berterusan semenjak permulaan penciptaan makhluk bernama manusia di mana mereka hidup ditengah-tengah pertarungan antara akalnya yang sihat yang membimbing ke arah kesejahteraan dan nafsunya yang menyeru ke arah perkara-perkara buruk.Kedua-duanya saling bekerja keras di setiap waktu bagi menarik manusia ke arahnya.Seandainya manusia menyerahkan urusan meletakkan keputusan itu kepada hawa nafsu nescaya ia akan membawa kepada persaingan sesama jenis mereka(manusia). Hal ini seterusnya membawa manusia ke arah pertelingkahan serta peperangan yang tidak berkesudahan di mana setiap pihak ingin memenuhi kehendak serta tuntutan nafsu masing-masing.

Seandainya tidak terdapat satu sistem yang mampu mengatur kehidupan manusia dan memberikan keadilan sejagat kepada mereka nescaya ia akan membawa kehancuran serta malapetaka yang maha hebat dalam dunia ini.Maka kezaliman akan menyelubungi serta kejahatan akan tersebar.Bertitik-tolak daripada ini, maka tidak dapat tidak bagi masyarakat manusia itu satu sistem perundangan yang berfungsi menyusun serta menentu arah tujuan kehidupan mereka ke arah kesejahteraan mutlak.Allah swt selaku pencipta bagi makhluk bernama manusia ini tidak pernah meninggalkan mereka terkapai-kapai dalam mencapai maksud dan tujuan tersebut.Justeru oleh kerana itulah, maklum diketahui bahawasanya Allah swt menurunkan SyariatNya melalui utusan-utusanNya, bagi menjamin keadilan serta kesejahteraan sejagat bagi kehidupan manusia.

Bersambung dalam siri seterusnya…..